BANTUAN SALAM: 2019, SATU REFLEKSI

Oleh Imran Abd Moin : 6 January 2019

BANTUAN SALAM: 2019, SATU REFLEKSI

Oleh: Nur Adnin Abdul Razak

2019…SATU REFLEKSI

2018 sudah pun meninggalkan kita. Sepanjang enam bulan saya berkhidmat sebagai Unit Salam di bawah Jabatan Program & Komunikasi MVM, terlalu banyak perkara yang saya belajar.

Segalanya adalah menyentuh tentang erti kehidupan; bagaimana seseorang manusia itu menguruskan hidup dalam keadaan tangannya serba kekurangan.

Sasaran bantuan MVM khususnya penerima Bantuan Salam ialah golongan asnaf, di mana status asnafnya telah disemak melalui pihak zakat.

Seperti yang kita faham, asnaf ini ialah satu golongan yang kurang berkemampuan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal kewangan dan sara hidup.

Kebanyakan asnaf yang saya lawati ialah asnaf bandar, di mana mereka sekeluarga tinggal di rumah flat.

Jika sesebuah kawasan perumahan flat itu nampak cantik daripada segi warnanya, suasananya dan sebagainya, saya nasihatkan agar jangan cepat menilai.

Dalam 100 rumah untuk satu blok yang warnanya cantik, pasti ada 10 rumah yang sudah pudar, kusam dan ‘hilang seri’.

Dalam 10 rumah yang dikatakan pudar itu, pasti hanya ada dua atau tiga rumah sahaja yang sangat memerlukan dan layak dibantu.

Asnaf bandar ini tidak sama dengan asnaf luar bandar. Asnaf bandar, mereka tinggal di rumah flat kos rendah yang spesifikasinya tidak setanding dengan flat sederhana dan kaya.

Perkara biasa yang saya lihat, flat kos rendah ini agak mampat penduduknya, dicampur lagi dengan kebanjiran warga asing yang turut menyewa di kawasan tersebut.

Ruang dalaman rumah juga tidak begitu luas, ditambah lagi dengan ruang kaki lima yang sempit, ini menimbulkan lagi kadar ‘kesesakan’ mereka.

Selain itu, faktor suasana juga mempengaruhi pembesaran kanak-kanak di mana kanak-kanak yang membesar di kawasan rumah flat ini lebih mudah terdedah dengan suasana negatif akibat kemampatan penduduk yang bercampur-aduk personalitinya.

Namun, kita sebagai masyarakat yang hidup dalam keadaan selesa tidak boleh memandang secara ‘judgmental’ akan keadaan sebegini, apatah lagi menyelar setiap tindakan mereka secara pukul rata.

Benar, ada kes kita pernah dengar tentang remaja perumahan flat yang terlibat dengan dadah. Tapi bukan semua kan?

Di sebalik mampatnya penduduk rumah flat yang sebahagiannya didiami oleh golongan asnaf bandar, ada juga daripada mereka yang masih menjaga harga diri walaupun hidupnya tidak seberapa.

Berdasarkan pengalaman saya, biasanya asnaf sebegini ialah mereka yang datang daripada keluarga yang baik-baik, namun ‘kurang’ rezeki daripada segi duit dan harta.

Jadi mereka memilih untuk tinggal di perumahan flat tersebut dalam keadaan kurang berkemampuan.

Meskipun begitu, mereka tidak mengalah begitu sahaja dengan menyerah nasib 100% kepada bantuan orang lain.

Ada di antara mereka yang gigih survive untuk hidup dengan menjalankan bisnes kecil-kecilan seperti jualan nasi lemak, aiskrim, bengkel sendiri, menjahit dan sebagainya.

Lihat? Mereka asnaf, tinggal di rumah flat kos rendah, rumah mereka tidak berapa gah, tapi mereka melihat bahawa usaha itu lebih mahal nilainya berbanding segalanya.

Dengan usaha itulah mereka mampu menyara keluarga, cukup makan pakai, hidup dan tidur dengan selesa mengikut definisi mereka sendiri.

ITU SEMUA CERITA LAMA

Satu perkara ingin saya kongsikan, mengenai sesebuah rumah yang kita nampak luar dan dalamnya kelihatan seakan berharta, tapi memohon bantuan tertentu untuk meneruskan kehidupan.

Saya pernah menguruskan satu kes di mana seorang bapa ini mengadu ingin memohon Bantuan Salam daripada MVM.

Apabila saya melawat rumahnya, saya sedikit terkejut kerana luar rumahnya nampak cantik dengan pasu bunga.

Masuk pula ke dalam rumah, ada TV plasma tergantung di dinding, cat dinding nampak cantik dan macam-macam lagi, seperti rumah orang lain.

Tapi apabila saya tunduk ke lantai, mata saya tertumpu kepada sekujur tubuh kecil yang sedang baring di atas tilam, dalam keadaan kaki dan tangannya cacat.

Tidak kurang juga, saya melihat keadaan rumahnya yang banyak barang, seperti kepunyaan anak-anak.

Setelah ditemubual, barulah saya faham bahawa tubuh kecil yang baring di ruang tamu tadi ialah anaknya yang menghidap Cerebral Palsy sejak lahir.

Manakala barangan kepunyaan anaknya yang banyak itu pula menandakan bahawa mereka ialah keluarga yang besar, dia dan isteri menanggung seramai lapan orang anak, di mana lima daripadanya masih bersekolah.

Jadi bagaimana si bapa ini boleh dikatakan sebagai tidak mampu? Kan rumahnya cantik, ada pasu bunga banyak, ada TV plasma dan sebagainya?

“Itu semua cerita lama..ketika saya masih bekerja dulu..disebabkan saya selalu sakit, sekarang dah tak kerja..lagi pulak nak menanggung anak ramai dan OKU ni..kadang-kadang orang tak faham..kita yang dalam rumah ni je yang faham..”

Itu satu pernyataan yang membuatkan akal saya tersentak. Benarlah, hidup ini umpama roda. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Dan si bapa ini telah pun merasai ‘tempias’ roda tersebut.

Sebagai masyarakat yang hidupnya selesa, kita jangan mudah judgemental pada orang sebegini, sebab kita tidak tahu apa sebenarnya yang mereka lalui.

Daripada mata kasar, kita sangka mereka bukan orang susah, tapi hakikatnya? Hanya Allah dan tuan empunya badan sahaja yang tahu.

JOM REFLEKSI

Tahun 2018 sudah pun meninggalkan kita. Cuba refleksi diri semula, sepanjang tahun 2018, sudah berapa ringgit kita dermakan untuk mereka yang memerlukan?

Sudah berapa banyak masa dan tenaga kita dihabiskan untuk membantu manusia-manusia lain secara sukarela dan ikhlas?

Bersempena dengan tahun baharu ini, saya ingin menyampaikan beberapa nasihat berdasarkan pengalaman saya sendiri sepanjang mengendalikan Bantuan Salam ini.

Pertama, jangan mudah ‘judgemental’. Baca balik kata-kata saya di perenggan atas mengenai keadaan rumah yang luarnya nampak cantik tetapi cerita di dalamnya agak ‘misteri’.

Kedua, apabila ada orang susah datang kepada kita untuk meminta bantuan, bantulah sekadar termampu.

Jika tidak mampu bantu, serahkanlah mereka kepada orang lain yang mungkin lebih mampu membantu.

Walaupun kita tidak keluarkan wang, tenaga dan sebagainya, namun bila ada orang lain yang boleh bantu kita untuk membantu mereka, maka kebaikan kita itu akan tercatat di langit.

Dan ketiga, ringankanlah hati dan tangan untuk bersedekah dan berbakti kepada sesiapa sahaja, sama ada manusia, haiwan dan alam sekitar.

Jadikan 2019 ini sebagai tahun pemula untuk kita menjadi insan yang lebih baik daripada tahun lepas.

Variasikan bakti kita, mulakan dengan perkara-perkara kecil dahulu, kerana perkara kecil inilah yang akan menghasilkan perkara yang lebih besar.

Untuk manusia, jika ternampak orang tua melintas jalan, berhentikan kenderaan kita dan utamakan mereka dahulu.

Untuk haiwan, jika ternampak kucing-kucing jalanan di kawasan rumah kita, sediakanlah sedikit makanan kucing di luar rumah supaya kucing-kucing itu akan datang dan makan.

Dan untuk alam, perkara paling asas dalam menjaga kelestarian alam sekitar kita ialah tidak membuang sampah merata-rata.

Jumpa sahaja sampah kecil di laluan kita, kutip dan buangkan ke dalam tong sampah.

Lihat? Semua in hanyalah usaha kecil sahaja, tapi percayalah, kebaikan kita ini akan dihebahkan di langit dan syurga nanti bahawa Allah yang Maha Melihat itu sendiri menyaksikan perbuatan baik kita.

Akhir kata, jomlah kita refleksi diri dan berazam mahu menjadi lebih baik. Wallahualam.