Bantuan Salam: Aisyah, Jangan Ragu-Ragu Dengan Cinta Ini

BANTUAN SALAM: AISYAH, JANGAN RAGU-RAGU DENGAN CINTA INI

Oleh: Nur Adnin Abdul Razak, Unit Salam MVM

Sejak 13 tahun lalu, Aisyah membesar dalam keadaan kurang sempurna kerana menghidapi komplikasi Cerebral Palsy (CP). Ketika kami melawat ke rumahnya, Aisyah hanya duduk di atas kerusi rodanya.

Ayahnya, Aderay Shabari merupakan pekerja pembersihan dan ibunya, Haslinda Endut ialah suri rumah sepenuh masa.

Bagi rawatan susulan, Aisyah akan berurusan dengan tiga pakar yang berbeza di Hospital Kajang dan Hospital Serdang; iaitu pakar kanak-kanak bagi komplikasi CP, pakar mata kerana matanya rabun dan pakar sakit puan atas sebab masalah kitaran haid yang tidak teratur.

Kata Makcik Haslinda, sudah lama Aisyah tidak datang haid. Buat masa sekarang, dia masih dalam tempoh diagnosis dan pengesahannya pada Disember ini.

Selain itu, Aisyah turut menghidapi athma kronik; alahan pada habuk dan suhu sehingga pernah dimasukkan ke wad ICU. Dia juga merupakan suspek penghidap kanser pangkal rahim dan suspek penyakit tiroid.

Biasanya pesakit CP seperti Aisyah memerlukan alatan sokongan rehabilitasi. Kerusi roda, katil hospital, kerusi mandi khas pesakit CP, almari dan televisyen di rumahnya adalah sumbangan daripada insan-insan yang bersimpati terhadapnya.

Hasil pemerhatian kami, Aisyah memerlukan beberapa alatan perubatan untuk membantu kehidupannya. Makcik Haslinda memohon sumbangan sebuah kerusi kereta khas pesakit CP yang boleh ditempah oleh Zee Innovator yang berlokasi di Seremban.

Encik Hazizi, pemilik Zee Innovator berkata, tempahan kerusi kereta khas pesakit CP berpandukan ketinggian pesakit, berat badan pesakit, jenis kain kerusi dan jenis kereta. Tempahan boleh memakan masa hingga dua atau tiga minggu mengikut kondisi semasa.

Aisyah juga perlukan mesin nebulizer sendiri. Ianya sangat berguna sebagai persediaan rawatan setiap masa. Lagipun selama ini, apabila Aisyah diserang athma, Makcik Haslinda akan membawanya ke klinik berdekatan dengan berjalan kaki sahaja kerana kereta digunakan oleh suami untuk ke tempat kerja.

Selain itu, Aisyah perlukan tube ripple mattress iaitu sejenis tilam bertiub yang digunakan bagi mengelakkan pesakit mengalami ruam panas dan luka di belakang badan. Pulse oximeter juga diperlukan bagi mengesan kadar denyutan nadi Aisyah pada waktu-waktu tertentu.

Demikianlah barangan perubatan yang Aisyah perlukan. Kami daripada MVM bersetuju untuk memberikan sumbangan barangan bantuan tersebut demi kelangsungan hidup Aisyah. Semoga langkah usaha ini dapat membantu Aisyah menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

Atas nama kemanusiaan dan kebajikan, pihak MVM akan sedaya upaya membantu demi Aisyah tercinta. Aisyah, jangan ragu-ragu dengan cinta ini.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.