Bantuan Salam : “Akak dah tak larat kerja..” -Kak Ramlah

Bantuan Salam: “Akak dah tak larat kerja..”

Membesarkan sembilan orang anak, dan tujuh daripadanya bersekolah, bukanlah sesuatu yang mudah. Itulah yang dirasai oleh Ramlah bt. Zulkifli, salah seorang asnaf penerima bantuan barangan asas Pure Heart 2018.

Sebagai kerani jualan, angka jumlah pendapatannya akan nampak kecil apabila dibahagikan untuk menanggung persekolahan tujuh orang anak serentak. Suaminya pula berniaga burger sepenuh masa setiap hari.

Pulang dari tempat kerja, Kak Ramlah terus bersiap untuk bantu suami di gerai burger dari petang hingga ke lewat malam. Kurang masa rehat , kurang masa melepaskan lelah. Semuanya dikorbankan demi keluarga tercinta.

Di rumah Kak Ramlah, tiada sebarang perabot yang mewah. Ruang tamu depannya kosong. Hanya ada almari baju, sebuah meja kecil dan televisyen terpakai yang dibelinya dengan duit sendiri. Kereta Proton Iswara lama kepunyaan suami pula sering mengalami kerosakan. Dengan kereta itulah mereka sekeluarga bergerak, berniaga dan sebagainya.

DULU PERNAH BERNIAGA

Kak Ramlah pernah menjual kuih karipap frozen mengikut tempahan. Pada masa itu, rutin sehariannya sangat padat. Seperti biasa, pulang dari tempat kerja, Kak Ramlah akan terus ke gerai burger dan sempat bantu suami berniaga burger sehingga waktu Isyak sahaja.

Kemudian Kak Ramlah pulang ke rumah bagi berehat sebentar kerana akan bangun semula jam 2 pagi untuk buat kuih pula sehingga pagi. Pada waktu pagi pula, Kak Ramlah akan menyiapkan sarapan untuk anak-anak dan menyiapkan dirinya untuk ke tempat kerja. Begitulah keadaannya setiap hari.

Padat dan penat. Kadangkala tempahan agak tinggi namun Kak Ramlah kekurangan keupayaan untuk memenuhi tempahan tersebut. Akibat kekangan masa, Kak Ramlah hanya mampu buat sekadar yang termampu sahaja. Memandangkan kudrat tenanganya tidak mencukupi, tambahan pula tiada kelengkapan kuih yang lengkap, ada ketika Kak Ramlah tidak dapat mengambil tempahan tersebut.

Menyentuh berkenaan kuih karipap frozen, stok kuihnya akan disimpan dalam peti sejuk biasa di dapur. Akibat ruang yang terhad, ini menyukarkan Kak Ramlah untuk menghasilkan stok kuih dalam jumlah yang banyak.

Namun, harga bagi sebuah freezer bukan murah. Kak Ramlah belum mampu untuk membelinya sendiri. Atas sebab itu, Kak Ramlah menyatakan hasratnya pada MVM agar memberikannya sebuah freezer baharu yang boleh digunakan untuk simpanan stok kuih frozen.

Kegunaan penting freezer ini adalah Kak Ramlah boleh membuat kuih karipap sedikit demi sedikit, kemudian bungkuskan dan simpan di dalam freezer dalam jumlah yang banyak sebagai stok. Dengan cara ini, Kak Ramlah hanya menunggu tempahan daripada pembeli sahaja. Dapat tempahan, boleh terus jual.

Kaedah ini lebih memberi pulangan yang banyak. Sebab itu Kak Ramlah amat yakin dengan keputusannya untuk kembali memberi fokus pada penghasilan kuih karipap frozen. Ini sangat membantu kewangan rumahnya. Masakan tidak, duit yang ada pada satu-satu masa sentiasa berpusing untuk kegunaan tertentu.

Walaupun suaminya berniaga burger, hasil pendapatan jualan burger tidaklah menjanjikan pulangan yang lumayan. Banyak asap di kuali, banyaklah juga wang di poketnya. Itu belum tolak lagi kos modal, sewa gerai dan sebagainya. Itupun tenaga kerja yang boleh membantu suaminya berniaga adalah anak-anak mereka sendiri.

Suami isteri bekerja, menyara keluarga besar dan menanggung tujuh anak yang bersekolah. Justeru, MVM bersetuju untuk memberikan Kak Ramlah sebuah freezer baharu bagi memudahkannya menghasilkan stok kuih frozen dengan lebih banyak. Semoga langkah ini dapat membantu keluarga Kak Ramlah keluar dari kesusahan.

HARI YANG DITUNGGU TELAH PUN TIBA

Pada 25 November lalu, selepas selesai program Di Sebalik Pintu (fasa perniagaan) di rumah salah seorang penerima bantuan Pure Heart MVM iaitu Pakcik Rosli, Unit Salam masih meneruskan tugasnya untuk menghantar Bantuan Salam ke kediaman Kak Ramlah.

Seperti yang dijanjikan,  impak daripada usaha gigih Kak Ramlah dalam menyara keluarga, akhirnya hasrat Kak Ramlah untuk memiliki sebuah freezer sendiri tercapai. Sebuah freezer telah disumbangkan oleh MVM kepada Kak Ramlah hasil daripada sumbangan orang awam ke tabung Bantuan Salam.

 

Kak Ramlah melahirkan rasa bersyukur yang tidak terhingga setelah menerima sumbangan freezer tersebut. Dengan adanya freezer ini, Kak Ramlah boleh kembali memberi fokus pada penghasilan kuih karipap frozen itu. Semoga dengan usaha ini, Kak Ramlah mampu membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan dan memberi inspirasi kepada asnaf lain untun mengubah kehidupan mereka satu hari nanti.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.