Bantuan Salam: Kembalikan Kaki Saya

Oleh: Nur Adnin Abdul Razak, Unit Salam MVM

Donisvaran menghidapi penyakit diabetes sejak 10 tahun lalu. Namun babak ngerinya bermula dengan kemunculan ketuat di tapak kaki. Sebelum ini Donis pernah berkhidmat di sebuah hospital awam.

Sebagai pengawal keselamatan, Donis wajib mengenakan sepasang kasut but sepanjang bertugas. Namun keadaan kasut but yang tebal dan tiada lubang udara itu menyebabkan kakinya mudah berpeluh.

Akibat daripada itu, ketuat di kakinya mula lembik dan membusuk. Donis berjumpa dengan doktor untuk cuci dan buang ketuatnya itu. Walaupun luarnya sudah ‘clear’, namun kuman di bahagian dalam kulit masih ada hingga menyebabkan luka dalaman.

Donis menghabiskan 24 jam sehari hanya di atas katil. Jika mandi, ibunya akan mengelap badan dengan sabun dan kain basah sahaja.

Bermula daripada itu, kuman itu merebak menjadi nanah yang teruk dan memakan daging-daging di serata kulit kaki, hingga menyebabkan dua jari kaki kirinya ‘hilang’, meninggalkan tiga jari yang sudahpun kelihatan reput.

Satu cara untuk Donis kekal hidup ialah mencuci kedua-dua kakinya. Meskipun dicuci, kakinya semakin mengecil, kini meninggalkan tulang dan kulit sahaja.

Memandangkan keluarganya tidak memiliki kenderaan untuk menghantarnya ke hospital, maka jururawat akan ke rumahnya selang sehari bagi menguruskan proses cuci dan rawatan.

Donis langsung tidak mampu berdiri kerana kedua-dua kakinya sudah lemah. Jadi, 24 jam sehari hanya dihabiskan di atas katil sahaja tanpa boleh bergerak ke mana-mana.

Team MVM sedang meneliti satu persatu set cucian luka kaki Donis. Ada yang dibekalkan oleh hospital, dan ada yang dibelinya sendiri. Itupun bergantung pada ‘ketebalan’ wang di sakunya.

Selain diabetes dan ketuat, Donis juga mengalami diarrhea (cirit-birit) yang teruk. Dalam sehari, dia akan terkena ‘serangan’ secara kerap dan memaksanya untuk menukar pampers banyak kali.

“DAH KAHWIN, SEMUA LARI”

Ibunya, Neelavathy A/P Shammugam berkata, lima daripada tujuh anaknya (Donis anak bongsu) sudah lama ‘hilang’ tanpa berita. Belanja rumah, kos rawatan Donis, tambang ke hospital semua ditanggung sendiri.

Hanya anak keempatnya sahaja yang masih sudi berbakti kepadanya, ini terbukti kerana rumah yang Puan Neela duduki ini ialah milik anak keempatnya.

Puan Neela amat berkecil hati dengan sikap anak-anaknya yang lain, semuanya bagaikan kacang lupakan kulit. Sudahlah suami ‘pergi’ 23 tahun yang lalu, kini hanya Donis sahaja peneman setia hidupnya sepanjang siang dan malam.

Donis berkata lagi, sewaktu dia di ICU, tiada seorang pun yang datang melawatnya. Segala wang simpanan dan pampasan pemberhentian kerja (kerana sakit) sudah habis digunakan untuk menampung kos rawatan.

Kini, Donis dan ibunya Puan Neela bersama-sama berkongsi kasih, cerita dan air mata dalam meneruskan kehidupan seharian. Hanya bantuan bulanan JKM sahaja harapan kewangan mereka untuk membayar segala-galanya.

TUNGGAKAN: MEREKA BAKAL DIHALAU

Bantuan sara hidup Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima Donis sebanyak RM 350 langsung tidak mencukupi.

Dengan RM 350 itulah mereka membeli barang dapur serba sedikit, bayar bil api dan air, serta membeli barangan cucian dan rawatan kaki Donis.

Berkenaan dengan status rumah, disebabkan tiada sumber kewangan utama, ditambah lagi dengan konflik keluarga (anak-anak tidak ambil kisah), tunggakan utiliti rumahnya sudah terlalu tinggi dan berisiko untuk dilelong.

Jika dihalau, di mana lagi mereka mahu tinggal?

Puan Neela sebak apabila bercerita tentang barang dapur. Mereka makan dengan begitu jimat. Nak harapkan anak-anak, ada yang menghilang. Apatah lagi saudara-mara dan kawan-kawan. Semuanya seakan ‘buta’ dan sibuk dengan kehidupan masing-masing.

APA YANG DIPERLUKAN?

Merujuk kepada keadaan semasa, Donis memerlukan sebuah tilam anti ruam kerana dia hanya duduk dan berbaring sepanjang masa. Ini bagi menjamin keselesaan serta kebersihan badan dan kakinya.

Tilam ini juga bersifat kalis air, di mana ianya sangat berguna di mana sekiranya Donis diserang cirit-birit, ibunya lebih mudah untuk menukar pampers dan mencuci bahagian yang kotor, termasuklah proses cuci luka di kakinya.

Selain itu, bagi menjimatkan waktu dan kos rawatan, Donis boleh mencuci kakinya sendiri tanpa mengharapkan kehadiran jururawat lagi. Dia hanya memerlukan stok dressing kit, cecair pencuci dan elastic bandages dalam jumlah yang banyak.

Donis juga memerlukan stok pampers dewasa. Bantuan JKM sahaja masih belum cukup untuk dia membelinya sendiri. Hygiene set seperti sanitizer, wipe tissues dan sabun mandi anti-kuman turut diperlukan bagi memastikan keadaan bilik, katil dan badannya bersih tanpa sebarang kekotoran.

Jadi, MVM menyeru kepada anda semua untuk menyumbang kepada Donis agar kita sama-sama boleh membantu memudahkan urusan perubatan kakinya. Jom kita ‘hidupkan’ kembali kakinya, boleh?

SUDIKAH ANDA MEMBANTU SAUDARA DONIS?

Hulurkan sumbangan anda sekarang disini : https://donationmvm.org/donations/kembalikan-kaki-aku/

 

 

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.