Bantuan Salam: Kisah Si Nelayan & Iron Lady

Oleh: Imran Abd Moin, intern Unit Salam MVM

Sepanjang sesi lawatan ke rumah keluarga asnaf ini di Kampung Olak Lempit, Banting, kami sentiasa dilayan dengan ramah sekali oleh tuan rumah, Puan Zihan dan suaminya Encik Zulkifli.

Senyuman manis yang sentiasa terukir di bibir Puan Zihan sepanjang kami menyantuninya, ditambah lagi dengan gelak tawanya yang riang, membuatkan kami rasa senang di hati. Benar lah orang kata, biar miskin harta jangan miskin jiwa.

Si suami, Encik Zulkifli mengalami kecederaan kekal di tangan kanannya kerana pernah terlibat dalam  tragedi nahas jalan raya pada 2011 yang menyebabkan tangan kanannya itu lumpuh dan tidak lagi berfungsi sehingga hari ini.

Langsung tidak boleh digunakan, Encik Zukifli bergantung sepenuhnya pada tangan kiri sahaja. Kejadian tersebut juga menyebabkan sebahagian besar badannya terbakar teruk hingga meninggalkan kesan parut kekal.

MASIH CEKAL

Namun, Encik Zulkifli tidak pernah sesekali berhenti berjuang untuk nasib diri dan keluarganya. Berbekalkan kudrat tangan kiri dan semangat jati diri, beliau mencari rezeki buat isteri dan anak-anak dengan menjala ikan di sebuah tasik bekas lombong berdekatan kampungnya.

“Saya tangkap ikan pakai jala, kadang-kadang itu kena marah juga dengan orang yang pakai joran sebab saya kacau hasil tangkapan mereka,” luahnya.

Beliau yang merupakan salah seorang asnaf penerima zakat sangat berterima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor kerana telah memberi bantuan enjin bot, jaring menjala dan peralatan perikanan melalui Bantuan Perniagaan Asnaf.

Selain menjala, pasangan suami isteri ini turut mencari pendapatan sampingan dengan mengutip besi buruk untuk dijual semula ke kilang besi secara timbangan.

Turut dibantu oleh si suami bagi kerja-kerja pemotongan besi buruk sebelum dijual dengan harga yang sangat rendah iaitu hanya 80 sen untuk 1 kilogram.

Bayangkan, berapa sahaja keuntungan menjual besi buruk ini dengan harga yang sedemikian rupa. Hendak dijual mahal, bimbang tiada yang sudi membeli. Jadi, terpaksalah menjual dengan harga yang seadanya.

Tetapi itu tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan perniagaan tersebut, malah mereka menggunakan ruang tepi rumah sewa mereka sebagai bengkel mini bagi kerja-kerja pemotongan besi buruk.

Apa yang mengagumkan kami ialah suasana bengkel tersebut yang bersih dan sangat teratur, seperti bengkel yang diuruskan oleh pekerja bengkel profesional.

KONKLUSI

Puan Zihan dan Encik Zulkifli mempunyai semangat yang tinggi untuk meneruskan kehidupan, meskipun dengan cara yang bersederhana. Keceriaan yang jelas terukir di air muka mereka berdua ketika berbual bersama kami, menunjukkan bahawa mereka bahagia dengan keadaan mereka.

Melalui kisah keluarga asnaf ini, apa yang dapat kita teladani adalah biarlah susah mana pun perjalanan hidup tetapi jangan sesekali mudah untuk berputus asa.

Kami di MVM berdoa agar keluarga ini terus cekal menghadapi kehidupan yang mendatang, moga dilimpahkan dengan rezeki yang lebih luas.

Jika anda mahu menyumbang kepada insan-insan seperti keluarga Puan Zihan dan lain-lain, anda boleh hulurkan sumbangan anda di https://donationmvm.org/donations/bantuan-salam-mvm-2019/. Kami sangat menghargai sumbangan-sumbangan yang anda salurkan.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.