Bantuan Salam: Suntikan Untuk Masa Depan

Oleh Imran Abd Moin : 13 September 2019

Ada orang yang didatangi penyakit seawal umur satu hari, ada orang yang didatangi penyakit semasa sudah bergelar warga emas. Tidak ada sesiapa pun dapat menghindarinya, adakah sakit itu ujian atau anugerah? Terpulang kepada persepsi masing-masing, hanya Allah yang Maha mengetahui apa yang terbaik untuk setiap makhlukNya.

Bantuan Salam kali ini membantu dua insan yang berbeza jarak umur. Diumpamakan seorang atuk dan seorang cucu, jarak umur mereka 51 tahun. Insan pertama bernama Mohamad Naim Abdul Wahab, 51, manakala insan kedua iaitu Nur Fatimah Mikayla Muhammad Quzaireel, enam bulan.

Mohamad Naim atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Naim merupakan seorang guru sekolah agama di Baling, Kedah. Dia menghidap penyakit komplikasi buah pinggang tahap empat.

Penyakit tersebut telah disahkan sejak beberapa tahun lalu, namun selepas Hari Raya Aildilfitri tahun ini, kondisi Ustaz Naim dikatakan menjadi lebih kritikal berbanding sebelum ini.

Sudah menjadi lumrah bagi pesakit komplikasi buah pinggang, rawatan dialisis merupakan jalan utama bagi merawat pesakit tersebut. Rawatan itu dapat membantu membersihkan sisa buangan yang tidak dapat dibersihkan oleh ginjal.

Kos rawatan dialisis ini juga menelan perbelanjaan yang tinggi, ia disebabkan faktor harga mesin dialisis tersebut dan prosedurnya. Sesetengah pesakit buah pinggang tidak dapat membuat rawatan dengan kerap kerana kosnya yang amat tinggi.

Isteri Galas Tanggungjawab

Ustaz Naim kini mendapat rawatan dialisis di Hospital Kulim secara tiga kali seminggu. Kadangkala, dia juga turut mendapatkan rawatan di pusat dialisis di luar. Purata kos untuk sekali rawatan adalah  RM 250.

Itu baru rawatan dialisis sahaja, belum termasuk lagi kos-kos barang perubatan, minyak kereta serta makan dan minum mereka seisi keluarga. Pastinya, Puan Noraini memainkan peranan paling penting ketika ini.

Dialah ibu, dialah bapa, dia juga merangkap jururawat serta pemandu kereta. Pendek kata, dia ialah wanita yang sungguh serba boleh. Pasti tidak terbayang dek akal ketabahan hati nurani isteri kepada seorang Ustaz ini.

Ustaz Naim disamping isterinya ketika diziarahi oleh Wan Man

 

Harapan Seorang Bapa

Kisah mengenai penerima seterusnya, Adik Fatimah yang lahir sebagai bayi pra matang. Dia dilahirkan sekitar lima bulan sebelum tempoh yang sepatutnya dia dilahirkan iaitu sehingga mencecah sembilan bulan.

Menurut bapanya, Ahmad (bukan nama sebenar), ketika Fatimah dilahirkan saiz badannya hanya sebesar sebotol air mineral 750 milileter.

Tidak dapat digambarkan depan mata penulis apabila melihat sekujur tubuh sekecil itu. Hanya si bapa dan si ibu yang menjadi saksi kelahiran bayi bertuah itu.

Alhamdulillah, kini Fatimah makin membesar. Beratnya sudah hampir mencecah 6 kilogram ketika ditemui di kediamannya.

“Saya bersyukur sangat, walaupun lahir dalam keadaan pra matang, tapi dia tiada sebarang penyakit lain yang kronik,” ujar si bapa.

Fatimah Mikayla juga seorang bayi yang jarang menangis

 

Berilah, Walaupun Sedikit

Fatimah memerlukan lima suntikan khas yang diperlukan untuk bayi pra matang. Suntikan tersebut telah disahkan kegunaannya oleh pakar di Hospital Selayang.

Suntikan khas tersebut atau nama saintifiknya (Palivizumab) synagis perlu diberikan kepada Fatimah sebanyak lima suntikan. Terima kasih kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur kerana telah menaja tiga daripada lima suntikan itu.

Hanya berbaki dua lagi suntikan yang diperlukan oleh Fatimah Mikayla. Begitu juga dengan Ustaz Naim yang amat memerlukan rawatan dialisis bagi kelangsungan kehidupan sehariannya.

Jadi, apakah tindakan kita untuk membantu insan-insan ini?

Jika anda ingin menyumbang kepada insan-insan yang memerlukan, anda boleh hulurkan sumbangan anda di https://donation.mvm.org.my/donations/bantuan-salam-mvm-2019/. Sumbangan anda amatlah dihargai oleh kami, semoga Allah membalas jasa.