Untukmu Dunia Dan Seisinya, Sebuah Senyuman Yang Kita Harapkan Bersama.

Oleh Amirah Harun : 25 August 2019

Untukmu Dunia Dan Seisinya, Sebuah Senyuman Yang Kita Harapkan Bersama.

Oleh: Nusrah Rabiha

 

Terimalah secebis perkongsian yang tak seberapa. Untuk menikmati perkongsian ini,

kalian boleh membacanya sambil mendengar lagu “Selamat Malam Rohingya” nyanyian

kumpulan Sahabat dan lagu “Starfeather” oleh Faizal Tahir.

 

“Selamat malam Rohingya

Meski lenamu di sisi mayat

Jangan menangis sahabat

Ini Tuhan mengujimu

 

Selamat malam Rohingya

Dunia sedang tidur lena

Kami doakan untuk mu

Sejahteralah selalu,”

 

(1) Imbas kembali, suatu ketika dahulu pada 2017

Masih segar dalam ingatan aku, pada 25 Ogos  2017, kita dikhabarkan di dada-dada akhbar dan media antarabangsa yang menyiarkan pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik pelarian Rohingya oleh tentera junta Myanmar.

 

Penderitaan yang tidak mampu dibayangkan oleh akal fikiran. Meskipun hati ini pedih dan sesekali juga aku mencuba untuk meletakkan diri dalam ‘kasut’ mereka, akan tetapi rasa itu tidak akan pernah sama dengan mereka yang mengalami sendiri situasi getir ketika melihat isteri sendiri diratah di hadapan mata, rumah tempat berteduh dibakar tanpa belas kasihan, malah ada juga yang dibakar hidup-hidup.

 

Ratusan ribu pelarian mencuba nasib dengan melarikan diri ke negara-negara terdekat dengan menaiki bot. Syukur, ada yang selamat. Namun, ada jua yang gugur terkorban di tengah laut.

 

Aku ingat lagi. Ketika itu, aku masih lagi berjuang di medan ilmu demi menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Kajian Antarabangsa di sebuah universiti tempatan.

 

Izinkan aku berkongsi. “Genocide” itu bermaksud pembunuhan beramai-beramai. Dan apa yang berlaku ke atas pelarian  Rohingya hari ini adalah satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan sememangnya tidak boleh dimaafkan sama sekali. Mereka dilayan seperti binatang!

 

Krisis pelarian Rohingya ini boleh dikatakan sebagai satu krisis yang agak rumit disebabkan ‘Non-interference in the internal affairs of one another’; iaitu satu perkara yang tertakluk dalam piagam ASEAN itu sendiri.

Ketika mana negara-negara ASEAN sendiri seperti Malaysia antaranya, tidak terlepas dalam menghamburkan kutukan sekeras-kerasnya dan bantahan kepada Myanmar atas perbuatan kejam penghapusan etnik Rohingya, namun bantahan itu seperti tidak memberikan apa-apa kesan kepada negara itu.

 

Prinsip ‘tidak campur tangan’ dalam kalangan urusan negara-negara ASEAN seolah-olah memberi ‘lampu hijau’ kepada Myanmar untuk terus menafikan hak-hak kemanusiaan etnik Rohingya.

 

“Rata-rata komuniti antarabangsa mendesak  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menarik semula Nobel Peace Prize yang dimenangi oleh Aung San Suu Kyi kerana ternyata gagal mengiktiraf hak asasi dan keperluan manusiawi etnik Rohingya yang hakikatnya merupakan rakyat Myanmar sendiri,” kata salah seorang penyarah aku ketika membincangkan isu pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya sewaktu dalam kelas dahulu.

********

 

(2) Travelog : Melihat sendiri keadaan pelarian Rohingya di Kem Kutupalong, Cox Bazar, Bangladesh

 

Alhamdulillah, bagi program kembara Ibadah Qurban Bangladesh MVM pada tahun ini, sebanyak 33 ekor lembu telah berjaya ditumbangkan hasil daripada penyertaan korban rakyat Malaysia yang prihatin.

 

Daging-daging lembu qurban ini telah selamat diagihkan kepada pelarian Rohingya di Kem Kutupalong dan beberapa kem pelarian lain yang terletak di Cox Bazar, Bangladesh.

 

Dalam kebanyakan memori yang berlaku dalam hidup aku, sejujurnya inilah antara memori yang aku paling aku tidak dapat lupakan, bila mana di saat membaca nama penama qurban yang berniat untuk melakukan qurban, daging itu diniatkan untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan di sini.

 

Sesekali cuma, perasaan sebak bercampur sayu datang menerpa. Terasa bagai ada debu-debu kecil yang datang entah dari mana-mana menyerang mata aaku Perasaan sayu itu bertambah kuat apabila sewaktu kali pertama menjejakkan kaki ke Kem Kutupalong ini; iaitu sebuah kem yang menempatkan lebih 620,000 pelarian etnik Rohingya dan merupakan penempatan pelarian terbesar di dunia.

 

Setelah lebih kurang lima jam sesi penyembelihan dan pelapahan daging lembu qurban di salah sebuah perkampungan di Kutupalong, maka sekitar jam 8 malam, kami  bergegas ke kem pelarian tersebut untuk mengagihkan daging-daging qurban.

 

 

(3) ~~~“Jika dulu aku hanya melihat mereka dalam akhbar dan journal, serta video dari CNN, BBC dan Al-Jazeera, kali ini yang ‘real’ berlaku depan mata aku.

 

“Tak sangka, pelarian-pelarian yang krisisnya pernah kami bincangkan dahulu dalam kelas-kelas tutor sewaktu zaman degree, kini mereka beratur di depan mata aku sendiri untuk mendapatkan daging qurban dan dibawa balik kepada keluarga yang setia menunggu di pondok kecil mereka yang dibuat daripada buluh dan plastik.

 

Ada dua situasi yang kontra. Perasaan aku ketika berbicara mengenai mereka sewaktu belajar di dalam kelas, dengan perasaan ketika berjumpa dan berhadapan sendiri dengan mereka di depan mata. Sungguh. Ia adalah satu rasa dan perasan yang sangat berbeza.

 

Berjumpa dengan mereka, perasaan empati itu lebih ‘real’ kerana ketika itu kita dapat melihat sendiri keadaan bagaimana tempat tinggal mereka, bila si anak-anak kecil girang bermain air keruh di kawasan kem. ~~~

 

Aku tenung mata dan wajah mereka satu persatu. Sewaktu menerima satu bungkusan beg plastik yang berisi daging qurban, jelas terukir satu senyuman yang paling sempurna pernah aku lihat dari bibir mereka. Masing-masing bersyukur atas rezeki yang diberikan.

 

Selesai sahaja sesi pengagihan pada hari itu, di sebelah malamnya, dalam diam diselangi kegelapan malam, tanpa aku sedar air mataku tertumpah.

 

 

(4) ~~~Cepat-cepat tangan aku menyapu air mata yang menitis perlahan, seperti sayupnya hati ini mengingati detik senyuman mereka. “Selamat malam Rohingya, sejahteralah selalu,” Tuhan, kali ini, aku benar-benar tewas dengan lagu-lagu puitis yang ditulis oleh Zainal Rashid Ahmad dan gubahan melodi oleh Syed Amran Syed Omar itu.~~~

 

**********

(5) Hidup atau mati, Tuhan saja yang mengerti. Ini ibrah di sebalik Sungai Naf

 

 

Sewaktu misi ini, aku dan tim berpeluang untuk melihat sendiri Sungai Naf, satu sungai yang terletak bandar Teknaf, Bangladesh. Pelarian malang ini terpaksa menggadai nyawa  menyeberangi laut dari Myanmar dan sungai ini pada waktu malam dengan menaiki bot semata-mata untuk mendapatkan perlindungan di Bangladesh.

 

Namun, malang biasanya tidak berbau. Ada yang mati di atas bot-bot kecil kerana terpaksa  meneguk air laut akibat terlalu haus, mungkin telah dehidrasi setelah berhari-hari menadah panas mentari. Bukan itu sahaja, bahkan wanita-wanita pula  dicabul kehormatannya oleh mereka yang bergelar manusia bertopengkan syaitan.

 

Tidak kurang juga, ada anak-anak kecil yang mati akibat terlalu lapar kerana tiada langsung  bekalan makanan di bot yang dinaiki. Semua terpaksa berserah kepada segala nasib.

 

(6) ~~~“Dalam setiap solat, saya akan selalu doakan penyumbang yang mendermakan wang mereka untuk memberikan bantuan kepada kami,”

 

Harini kita akan bertolak ke Kem Kutupalong, sekali lagi untuk menyampaikan amanah rakyat Malaysia sebelum berangkat pulang ke MMalaysia Sebanyak 100 pek makanan seperti beras,  minyak dan beberapa makanan asas lain diagihkan kepada pelarian Rohingya, kira-kira lebih kurang 5,000 orang penerima manfaat daripada agihan pek makanan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang sentiasa prihatin terhadap nasib pelarian Rohingya.

 

 

Ketika sampai di kem ini, pada kali ini, kami disambut oleh seorang kanak-kanak ‘down syndrome’ yang memakai topi. Di tangan anak kecil ini, ada sebuah beg plastik berisi kuih goreng. Anak istimewa ini sangat gembira apabila Kak Wan Fadhilah, salah seorang pertugas misi dari Global Peace Malaysia (GPM) memberikannya  sekotak kecil kismis yang diterbangkan khas dari Malaysia.

 

Pada hemat kami, kanak-kanak ini sangat pintar dan ‘genius’ kerana walaupun kurang upaya, tidak senormal insan lain dan bertutur dalam gaya bahasa yang tidak jelas, tetapi dirinya masih mampu berkomunikasi dengan baik menggunakan isyarat tangan dan dapat difahami oleh kami.

 

Dikhabarkan, ayah anak istimewa ini telah mati ditetak oleh tentera Myanmar ketika cuba menyelamatkan diri sewaktu krisis penghapusan etnik itu berlaku. Namun begitu, si anak ini sentiasa ceria, seakan tidak ada apa-apa yang berlaku kepada keluarganya pada tiga tahun yang lepas.

 

Kami juga berpeluang menyantuni dua keluarga di rumah mereka.

 

“Sudah tiga tahun, saya dan keluarga berada disini. Rumah-rumah kami dibakar, malah ada juga yang dibakar hidup-hidup oleh tentera Myanmar. Oleh itu, kami buat keputusan untuk melarikan diri ke Bangladesh,” kata salah seorang mangsa kekejaman tersebut.

 

Mereka sangat berterima kasih dan gembira  atas sumbangan pek makanan yang diberikan kepada mereka dan turut mendoakan kesejahteraan penyumbang yang dermawan dalam setiap solat mereka.

 

*********

 

(8) Terima kasih Malaysia!

 

Alhamdulillah, amanah rakyat Malaysia telah selamat kami sampaikan. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menyumbang dan menyertai MVM untuk melaksanakan ibadah qurban di Cox Bazar, Bangladesh. Semoga kita dapat bantu lagi lebih ramai lagi mereka yang memerlukan.

 

——- tamat ———