Oleh: Seripadukashahirah
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah keadaan kehidupan Encik Zulkifli sekeluarga. Encik Zulkifli, 49, atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Mat adalah merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai masalah penglihatan sejak kecil.
Hasil perkahwinan dengan Kak Teh, 36, mereka telah dikurniakan tiga orang cahaya mata berumur antara 4 tahun hingga 10 tahun. Mereka sekeluarga tinggal di sebuah rumah kos rendah di PPR Kerinchi hampir 10 tahun.
Isterinya, Kak Teh pula telah disahkan menghidap penyakit kanser otak sejak usia muda dan sudah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali. Alhamdulillah ketumbuhannya beransur hilang hingga sekarang masih lagi mendapatkan rawatan lanjutan pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Namun begitu, lebih menambah duka mereka sekeluarga, ekoran daripada penyakit tersebut telah menyebabkan Kak Teh juga hilang penglihatan.
Rasa Tanggungjawab Kunci Kekuatan
Rasa tanggungjawab untuk menjaga amanah Allah yang diberikan adalah merupakan sumber kekuatan Abang Mat untuk terus berusaha mencari rezeki yang halal. Dengan kemahiran mengurut yang dimiliki menjadikan ia sebagai sumber pendapatannya.
Selain itu, dia juga yang menguruskan sendiri segala kerja rumah seperti memasak, membasuh dan menguruskan anak-anak dan isterinya tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Baginya, jika dia bersikap lepas tangan dengan amanah yang diberi mungkin hidupnya selamat di dunia tetapi tidak di akhirat kelak.
Bagi Abang Mat, dia tidak menyangka isterinya tetap menerima kelemahannya sejak dari awal perkahwinan dan sentiasa disisinya hinga ke hari ini. Dia sempat berpesan pada kami ketika berkunjung ke rumahnya. Nak mencari pasangan hidup, carilah suami bukan lelaki. Carilah isteri bukannya perempuan.
Pada penulis, pasangan ini sangat unik. Walaupun serba kekurangan tetapi mereka saling melengkapi untuk menyempurnakan antara satu sama lain.
Tetap Bersangka Baik
Sepanjang dia menetap di PPR Kerinchi, pernah sekali ada sebuah NGO yang menawarkan untuk membantunya menggantikan peralatan dan kelengkapan rumah yang baru. Namun, semuanya adalah satu sandiwara di mana NGO tersebut telah mengambil barangan rumahnya dan menghilangkan diri sehingga ke hari ini.
“Apa yang kami kesalkan, mereka menawarkan kami untuk menukarkan barang-barang rumah. Barang tak sampai, barang kami diambil. Tapi tak apalah, Allah kan ada”, luah Abang Mat.
Jujurnya kami risau pelawaan kami ini bakal ditolak kerana pengalaman lalunya. Namun, sangkaan kami meleset kerana baginya tidak semua manusia itu sifatnya adalah sama dan dia juga tidak memukul rata setiap NGO itu juga adalah penipu seperti yang pernah dialaminya.
Dia dengan hati terbuka telah memberi kami peluang tersebut untuk membantu dan menggembirakan ahli keluarganya. Sifatnya yang terbuka, positif dan bersangka baik telah membuatkan kami terharu.
Sekiranya anda ingin menyumbang, boleh menyumbang secara online di Website Donation MVM: https://donationmvm.org/donations/di-sebalik-pintu-6-0-celik-mata-hati-abang-mat/
Harapan kami, semoga projek DSP 2019 ini akan mengukirkan senyuman buat mereka sekeluarga.