Oleh: NUR ADNIN ABDUL RAZAK

Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini memuat naik foto batu Hajar Aswad yang terletak di sudut Ka’bah dari jarak dekat dan beresolusi tinggi serta belum pernah dipaparkan secara umum sebelum ini.

The General Presidency for the Affairs of the Two Holy Mosques memaklumkan, foto batu suci itu diambil dengan teknik baharu yang menggunakan konsep ‘panorama fokus bersusun’.

Memetik laporan Alarabiya, kira-kira tujuh jam diperlukan bagi membidik satu foto batu berkenaan dalam kadar resolusi paling tinggi.

Dalam masa sama saiznya dikatakan berukuran sehingga 49,000 megapiksel dan memerlukan tempoh waktu selama 50 jam untuk mengembangkannya.

Difahamkan ini adalah paparan foto Hajar Aswad paling terperinci yang dikongsikan pihak kerajaan Arab Saudi buat pertama kalinya.

Hajar Aswad pada asalnya berwarna putih, namun kini kelihatan hitam kemerahan. Bentuknya agak lonjong dan saiz diameternya mencapai sehingga 30 sentimeter. Ia diletakkan di penjuru Ka’bah.

Berikut di bawah adalah foto-foto Hajar Aswad beresolusi tinggi seperti yang dilaporkan:-

Batu Hajar Aswad | Foto: Haramain
Gambar batu Hajar Aswad yang diambil dengan resolusi tinggi | Foto: Haramain
Gambar batu Hajar Aswad yang diambil dengan resolusi tinggi | Foto: Haramain

Gambar bekas tapak kaki Nabi Ibrahim AS

Kalau anda pernah pergi ke Masjidil Haram, mesti takkan boleh lupa untuk singgah ke salah satu tempat suci di sana iaitu Makam Ibrahim. Makam ini terletak di kawasan Mataf, tidak jauh daripada kiblat umat Islam iaitu Ka’bah.

Makam Ibrahim (The Station of Abraham) yang terletak berhampiran Ka’bah menempatkan bekas tapak kaki Nabi Ibrahim AS. Perlu difahami, ia bukanlah tempat pemakaman Baginda Nabi Ibrahim AS, sebaliknya merupakan tempat berdirinya Baginda semasa membina Ka’bah.

Dalam Makam Ibrahim ini, ada sebongkah batu berukuran empat segi yang tersimpan dalam peti kaca dan besi. Pada bongkah batu itu pula terdapat dua lekukan berbentuk bujur yang dalam. Itulah bekas tapak kaki Nabi Ibrahim AS.

Dua lekukan pada batu dipercayai bekas tapak kaki Nabi Ibrahim AS | Foto: Haramain

Memetik perkongsian di laman portal Madain Project, bekas tapak kaki itu dikatakan wujud ketika Baginda Nabi Ibrahim AS sedang membina struktur Ka’bah, di mana anaknya Nabi Ismail AS berada di atas kedua-dua bahunya ketika itu.

Bekas tapak kaki tersebut berwarna putih, gelap dan perang-keperangan. Panjang bekas tapak kaki itu pula dikatakan mencapai sehingga kira-kira 50 sentimeter, merujuk perkongsian Haramain Sharifain.

Gambar yang dikongsikan oleh Haramain Sharifain ini dikatakan diambil menggunakan teknologi moden terkini. Jelas kelihatan, dua lekukan pada batu yang pernah menjadi tempat Baginda Nabi Ibrahim AS berpijak.

Dua lekukan pada batu dipercayai bekas tapak kaki Nabi Ibrahim AS | Foto: Haramain

Kewujudan Makam Ibrahim AS ini sudah disebut dalam Al-Quran melalui firman Allah pada Surah Al-Baqarah ayat 125 yang bermaksud:

“Dan ingatlah ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk ibadat haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Maqam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah rumahKu (Ka’bah dan Masjidilharam daripada segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud,”

Dua lekukan pada batu dipercayai bekas tapak kaki Nabi Ibrahim AS | Foto: Haramain

Jika diperhatikan betul-betul, jelas kelihatan kesan tapak kaki tersebut pada batu yang masih ‘elok’ terukir walaupun sudah beribu tahun lamanya. Mungkin inilah tanda kekuasaan-Nya untuk dijadikan tatapan umat Islam hari ini.

 

 

Sumber:

1- Saudi Arabian authorities release never-before-seen images of Kaaba’s Black Stone
2- Detailed photo of the Hajar Al Aswad (Black Stone)
3- Maqam Ibrahim, The Station of Abraham