Garam, Air Dan Ujian

Kita tidak akan dianggap sebagai manusia yang sedang hidup jika kita tidak pernah ditimpa ujian. Mustahil untuk kita lari dari ujian. Seperti mustahil untuk kita tidak menerima hujan. Kerana walau apa pun berlaku hujan tetap akan turun. Begitu juga  ujian.

Cuma apa yang boleh kita ubah adalah bagaimana kita memberi reaksi terhadap ujian. Samada kita mahu melihat ujian itu daripada sudut positif yang akhirnya ia menjadi hikmah atau kita melihat ujian itu dari jendela negatif yang akhirnya membuat kita terus lemah.

Kalau boleh saya katakan ujian itu sebenarnya adalah seperti tangan-tangan. Tangan-tangan inilah yang menolak kita untuk lebih hampir kepada Allah. Kalau pun ia menolak kita dengan kasar ke depan, ia tetap akan membuat kita selangkah lebih hampir dengan Allah. Ujian ini juga adalah tangan-tangan yang mengejutkan kita pada waktu malam. Kejutkan kita dari tidur lena yang panjang. Lalu kita mencari sejadah untuk kita sujud. Solat malam dan menadah tangan meluah rasa pada Allah. Saat ini hanya kita dengan Allah. Waktu yang paling istimewa. Ujian kejutkan kita untuk merasa nikmat solat malam dan berinteraksi dengan Allah. Sungguh nikmat. Betapa Allah itu sentiasa menunggu kita untuk bangun pada malam hari dan berkeluh kesah dengan-Nya. Merintih kepada-Nya. Sehinggakan ketika ini Allah sanggup turun ke langit dunia semata-mata untuk mendengar keluh kesah hamba-Nya. Rasulullah S.A.W bersabda :

 “Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap malam yaitu ketika sepertiga malam terakhir, (kemudian) Dia berfirman, ‘Barang siapa berdoa kepada-Ku, niscaya akan Aku kabulkan, barang siapa meminta kepada-Ku, niscaya akan Aku berikan, dan barang siapa memohon ampun kepada-Ku, niscaya akan Aku ampuni.”

( HR. Bukhari 1145, Muslim 758 )

Teringat saya sebuah kisah seorang pemuda dan seorang lelaki tua yang bijaksana. Pemuda ini sedang dilanda masalah yang terasa tidak tertanggung olehnya. Maka dia berjalan – jalan tanpa tujuan. Di dalam perjalanannya itu, dia terserempak dengan seorang lelaki tua. Dari air muka pemuda ini lelaki tua itu sudah tahu yang dia sedang berada dalam kesedihan lantaran ujian yang melanda.

“ Kenapa dengan kamu ni nak? Kelihatan seperti sedang menanggung masalah.” Santun lelaki tua itu.

“ Ya, pakcik saya sedang dilanda masalah yang saya rasa rasakan amat berat untuk saya tanggung.” Pemuda itu mula berbicara dan bercerita perihal masalahnya.

“ Nak, boleh kau buat sesuatu?” Lelaki tua itu bertanya sambil tersenyum. Wajahnya sungguh tenang.

“ Apa dia pacik?” Pemuda itu tidak keruan untuk tahu.

“ Ambil segenggam garam dan segelas air” Lelaki tua itu menyuruh lembut.

Tanpa bertanya kenapa? Mengapa? Nak buat apa? Pemuda itu turuti sahaja suruhan lelaki tua tersebut.

“ Sekarang masukkan garam yang kau genggam  ke dalam gelas itu.”

Pemuda itu terus sahaja menuruti tanpa ingkar.

“ Minum air di dalam gelas itu.”

Pemuda itu minum tanpa banyak bertanya. Hanya sedikit tegukan sahaja pemuda itu terbatuk dan  menjelirkan lidahnya.

“ Pakcik, mana mungkin saya boleh minum air ni. Masin sangat.” Ngomel pemuda itu.

Lalu lelaki tua itu memegang bahunya dan mengajaknya ke sebuah perigi.

“ Sekarang ambil lagi segenggam garam dan masukkan ke dalam perigi ini.”

Pemuda itu turuti sahaja dengan lidahnya masih lagi melekat rasa masin air garam tadi.

“ Ambil air perigi ni dan minum.” Lelaki tua menyuruh lembut.

Pemuda tadi itu mengambil air perigi itu lalu minum. Harapnya masin di lidah tadi akan hilang dan menghilangkan hausnya.

Lalu lelaki tua tadi bertanya, “ Masih terasa masin?”,

“ Tidak pakcik, malah airnya sejuk dan menghilangkan dahaga” Jawab lelaki itu laju.

Lelaki tua itu senyum dan menepuk bahunya, “ Begitulah juga ujian anakku. Segenggam garam tadi adalah diibaratkan ujian dan segelas air dan perigi ini adalah jiwa kita. Besarkan jiwamu anak, maka ujian itu tidak akan kamu rasakan. Seperti mana bila kamu meletakkan garam ke dalam perigi besar ini, garam itu tidak memasinkan airnya dan tidak juga mengubah warnanya. Malah ia mampu menghilangkan dahagamu.” Nasihat lelaki tua itu penuh hikmah.

Hanya dari segenggam garam  itu, lelaki muda ini beroleh pengajaran. Segenggam garam yang sama dimasukkan kedalam 2 tempat yang berbeza akan memberi kesan yang berbeza. Akhirnya kita tidak boleh menyalahkan garam tersebut tetapi kita perlu menyalahkan sikap yang kita tunjuk dalam mengendalikan ‘garam’ itu.

Begitulah kisah garam, air dan ujian. Begitu juga dengan kehidupan kita. Besarkan kolam jiwa. Besarkan dengan mendekatkan diri kepada Allah. Kerana pasti akhirnya kita menjadi tenang dan lapang dan ujian yang melanda itu tidak akan ‘memasinkan’ hidup kita seperti garam tadi yang tidak akan memasinkan air di dalam perigi itu.

 

“ Allah tidak akan membebankan seseorang hamba itu melainkan dengan apa yang terdaya olehnya” ( Surah Al : Baqarah : 286 )

Tulisan : Azam Abdullah