Hidup Di Dalam Kotak

Teringat saya dengan sebuah cerita Bollywood bertajuk ‘Zindagi Na Milegi Dobara’ mengisahkan tentang 3 orang kawan baik melancong ke Sepanyol. Di sepanjang pengembaraan, mereka bertemu dengan pelbagai keadaan dan peristiwa juga mencuba perkara baru. Perkara yang sebelum ini mereka takut untuk lakukan. Tapi mereka lakukannya juga. Apabila berjaya melakukannya, mereka merasa seperti menemui diri mereka yang lebih baik.

Kenapa mengapa merasa begitu? Kerana mereka berjaya mengatasi rasa takut yang mereka peram dan simpan. Rasa takut itulah yang menyorokkan potensi mereka sebenarnya. Rasa takut itulah menghalang mereka untuk hidup dengan sehidup-hidupnya. Akhirnya pengembaraan ini membuat mereka berfikir tentang kehidupan dan keputusan yang pernah mereka buat sebelum ini. Adakah kehidupan ini yang betul-betul mereka mahukan?

Antara pelakon utama adalah Hrithik Roshan dan Katrina Kaif.  Dalam babak antara Laila(dilakonkan oleh Katrina Kaif) dan Arjun (Hritik Roshan), Laila bertanya tentang apa perkara yang menggembirakan Arjun dalam hidupnya. Apa perkara yang mahu dia lakukan dalam hidup. Mahu lakukan dengan sangat-sangat. Arjuan terdiam dan menunduk seketika lalu mula berbicara.

“Saya mahu menjadi tukang masak.”

Itulah yang ingin dilakukannya sekurang-sekurangnya sebelum umur 40 tahun.

Laila menyoal mengapa perlu tunggu sehingga umur 40 tahun? Pastikah kita hidup sepanjang itu? Laila menyuruh Arjun untuk lakukan segala yang dia ingin lakukan pada hari ini. Live your life today katanya. Laila sungguh positif tentang hidupnya. Membuatkan Arjun terfikir bahwa Laila banyak mengajarnya tentang hidup. Selama ini Arjun merasakan hidupnya seperti berada dalam sebuah kotak manakala Laila seperti burung yang berterbangan bebas.

Kata Laila pada Arjun;

“Kotak(keranda) adalah untuk orang yang telah mati.”

Maka janganlah kita terus menerus letakkan kita di dalam kotak itu. Tiba masanya kita bangun dan keluar dari kotak dan melangkah jauh. Sepanjang langkah itu kita bakal bertemu dengan pengalaman baru, orang baru, peristiwa dan tempat yang boleh membuat kita menilai kembali hidup kita dengan pertanyaan ini :

“Apakah yang sebenarnya yang aku mahu dalam hidup ini?”

Apabila hati sudah terdetik begitu, maka carilah apa yang ingin kita capai dalam hidup kita. Bertindak. Hanya kita saja yang mampu mengubah hidup kita sendiri.

“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubahnasibnya (Ar-Ra’d : 11)

Oleh itu marilah kita mula untuk hidup.

Tulisan : Azam Abdullah