Projek #PenaMvm -Aku Seorang Pengembara Oleh Idayu Nur Illyani Binti Daud

Hai volunteers, yay tahniah kepada semua pemenang #PenaMVM bulan Oktober yang telah diumumkan sebelum ini. Hari ini, admin nak kongsikan kepada anda cerpen daripada pemenang tempat kedua iaitu Idayu Nur Illyani Binti Daud. Tahniah diucapkan kepada Idayu.  Semoga perkongsian daripada beliau dapat memberi manfaat kepada kita semua. Selamat membaca!

Penulis: Idayu Nur Illyani Binti Daud

Bismillah. Dari Ibnu Umar ‎​رضي الله عنه  berkata: “Rasulullah صلى الله عليه وسلم  pernah memegang kedua pundakku seraya bersabda, “Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir”. Ibnu Umar berkata: “Jika engkau berada di petang hari jangan menunggu datangnya pagi dan jika engkau berada pada waktu pagi hari jangan menunggu datangnya petang. Pergunakanlah masa sihatmu sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum mati” (HR. Bukhari)

Rasulullah menyampaikan nasihat ini kepada Ibnu Umar yang pada waktu itu baru berusia 12 tahun. Muda kan? Aku menutup buku yang bertajuk “Fazakkir” itu dan terus duduk. Aku berfikir sejenak. Mesti ramai suka mengembara kan? Begitu juga dengan diriku. Aku dengan dunia kembara bagai tidak boleh dipisahkan. Entah kenapa hati ini terus menerus ingin mengembara.

Bermula ke Lombok, Indonesia pada tahun 2012. Lombok terkenal sebagai tempat beristirehat dan mempunyai pelbagai aktiviti menarik. Antara aktiviti yang aku lakukan ketika itu ialah “parasailing”. Aku sukakan aktiviti lasak. Walaupun aku anak tunggal dalam keluarga, aku tidak terlalu dimanjakan oleh kedua orang tuaku. Jadi aku bebas untuk melakukan apa saja yang aku inginkan. Di sebabkan itu juga, aku dapat mengembara ke serata dunia.

Aku juga pernah ke United Kingdom (UK) pada tahun 2013 secara berseorangan. Bagiku, satu kepuasan apabila dapat bergerak bebas, mengembara seorang diri. Aku pergi ketika musim sejuk. Salah satu sebab aku pergi pada musim sejuk ialah tiketnya murah. Almaklumlah, siapa nak berjalan musim sejuk kan? Tapi ini lah peluang pengembara macam aku nak jalan- jalan. Antara tempat yang aku pergi ialah Hyde Park, Buckingham Palace, London Eye dan London Bridge. Tempat yang aku suka pergi bila ke UK ialah ke Hyde Park. Jika datang ke UK pada musim sejuk, tempat yang mesti dilawati ialah “Winter Wonderland”. Ada banyak tempat yang boleh kita makan dan makanannya semua dijamin sedap. Selain itu, “Ice Skating” juga ada di situ, dan aku tidak akan lepaskan peluang untuk bermain di sana.

Boleh dikatakan setiap tahun aku akan mengembara setidak-tidaknya ke sebuah negara. Aku selalu kongsikan pengalaman sepanjang pengembaraanku bersama Ain. Ain, insan pertama yang aku jumpa sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke matrikulasi. Kehidupannya sungguh sederhana, tapi aku kagum dengan agamanya. Dia yang banyak menasihat, mengingatkan aku apabila terleka.

“Woi, kau berangan eh?”, sergah Ain yang membuatkan khayalanku terhenti serta-merta. “Alah kau ni, kacau lah. Aku tengah tulis jalan cerita tempat-tempat yang aku pernah pergi dulu ni”, jawabku sambil mencebik ke arah Ain.

Memang hobiku adalah hanya mengembara sejak daripada aku kecil sehingga lah sekarang. Aku bersyukur dilahirkan dalam keadaan keluarga yang senang. Bagiku,tak semua orang diberi kesempatan untuk mengembara ke sana sini.

“Untunglah, ada blog, siap cerita tempat-tempat yang dia dah pergi. Orang tu dah pergi banyak negara. Aku ni, dalam Malaysia pun tak habis jalan lagi”, kata Ain dalam nada sedih. Diriku dihimpit rasa bersalah. Seolah-olah terlampau bangga dengan pencapaian dan kepuasan yang aku dapat sepanjang hidupku. “Okay, aku mintak maaf ya Ain, aku tak ada niat pun nak buat kau terasa, memang kau tahu aku suka mengembara kan”, kataku. Aku lihat Ain kembali tersenyum.

Perjalanan sebagai seorang pelajar matrikulasi bukanlah semudah yang disangka. Aku pernah rasa ingin putus asa disebabkan rasa susahnya belajar. Walaupun banyak kali ditegur oleh ibu dan ayahku, nasihat mereka seolah-olah ‘mencurah air ke daun keladi’. Atas alasan itu juga, aku terus gian untuk mengembara. Sehingga aku lupa, aku abaikan tanggungjawabku sebagai hamba. Ya, hamba kepada Tuhan yang menciptakan alam ini. Aku rasa aku dah cukup hebat bila dapat mengembara ke sini sana. Orang lihat aku kaya, sedangkan miskin hati. Orang lihat aku bahagia, sedang hati aku sendiri kering derita.

“Ain, jom teman aku pergi Thailand hujung minggu ni”, ajakku sambil menghirup air teh panas di meja makan.

“Eh bukan kita ada kuiz ke hujung minggu ni?, tanya Ain dengan nada sedikit marah.

“Ala, kita mintaklah Madam Ros tu buat awal kuiz kita. Bukan selalu pun”, aku berkata sedikit ego. Ain yang berasa serba salah terpaksa akur dengan pujukanku. Dia tahu, jika dia membantah keputusanku, aku akan merajuk dengannya.

Sewaktu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) :

“Teman aku pergi tandas sekejap”, kata Ain sambil menarik tanganku dengan laju.

Tiba-tiba, sewaktu sedang menunggunya di luar bilik air, aku rasa ada barang yang tercicir

“Ainnnnnnnn!”, laungku.

“Kenapa kau jerit-jerit ni Nur. Malu lah orang tengok!”, marah Ain.

“Wei, passport aku hilang!” jerit aku ke telinga Ain.

“Astaghfirullah. Setahu aku, kau ni teliti orangnya. Macam mana boleh hilang ni?,tanya Ain padaku.

“Hmm entahlah Ain, aku pun tak tahu”, jawabku. Passportku hilang, merata tempat aku cari, tapi tetap tak jumpa. Terasa duniaku gelap seketika. Lututku mula menggigil. Akhirnya, aku kuburkan angan–angan untuk ke Thailand tu!

Tiba-tiba :

“Nur, bangun, bangun. Dah nak Maghrib ni. Kau dah solat Asar ke belum?”. Aku tersentak, Terus tersedar dari lena. “Ya Allah, aku mimpi rupanya!” Hanya berbisik dalam hatiku. Segera aku bangkit dari katil, terus ke bilik air untuk berwudu’. “Apa nak jadi dengan aku ni, belum solat Asar lagi. Astaghfirullah” . Rasa sedikit kesal dengan perangai sendiri, tetapi dalam masa yang sama aku bersyukur, itu semua hanya sekadar mimpi. Alhamdulillah.

Semenjak peristiwa mimpi buruk itu berlaku, menjadi detik aku berubah. Aku mula sedar yang diriku semakin jauh dengan Tuhan. Aku kembali kepada Dia, tuhan yang menciptakan bumi untuk aku mengembara.

Pada aku, pengembara bukan hanya menjelajah ke serata dunia semata, tapi juga untuk kita sedar yang kita tak punya apa-apa. Semuanya pinjaman, semuanya milik Pencipta kita. Terima kasih Tuhan, kerana memberi peluang untukku menjadikan “aku seorang pengembara”.