Projek #PenaMVM -Aku Seorang Pengembara Oleh Nur Atila Binti Ibrahim
Hai volunteers, yay tahniah kepada semua pemenang #PenaMVM bulan Oktober yang telah diumumkan sebelum ini. Hari ini, admin nak kongsikan kepada anda cerpen daripada pemenang tempat pertama iaitu Nur Atila Binti Ibrahim . Tahniah diucapkan kepada Atila. Semoga perkongsian daripada beliau dapat memberi manfaat kepada kita semua. Selamat membaca!
Penulis: Nur Atila Binti Ibrahim
“Tidakkah engkau memerhatikan kapal-kapal belayar di lautan dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya?Sesungguh yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti untuk berfikir bagi tiap-tiap mukmin yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur” (Luqman 31:31)
Cukup dengan satu ayat ini untuk menceritakan tentang betapa besarnya hikmah mengembara. Didalam kalam tulisan Allah dan juga hadis, banyak sekali himpunan ayat tentang betapa mengembara ini sangat digalakkan.
Tetapi,
Sekejap!
Sejauh mana sebenarnya kita memaknai erti sebenar mengembara dan menjadi seorang pengembara?
Bila disebut sebagai seorang pengembara, yang pertama sekali terlintas dibenak fikiran semestinya adalah wang dan tempat yang cantik dan menarik,bukan?
Ya, itu pandangan aku suatu ketika dahulu. Cukup sekadar jalan –jalan dan sekeping dua gambar untuk dijadikan kenangan. Namun, cara pandang aku berubah setelah aku terjebak dijalan kemanusiaan dan sukarelawan ini.
Kemanusiaan dan sukarelawan ini mengubah persepsi aku terhadap kehidupan. Aku pernah merentas Tanah Jawa. Dari Jawa Barat, Jawa Tengah, dan juga Jawa Timur, semua pernah aku jejak. Namun, itu hanyalah sekadar jejak yang aku tinggalkan tanpa memberi manfaat selain hanya untuk kepuasan diri.
Antara Alam dan Kemanusiaan
“Korang, beg aku hilang” kata sahabatku Fatin kepada kami beberapa tahun lepas ketika kami bermusafir ke Jawa Timur.
Dari seawal jam 3 pagi, kami mengharungi perjalanan ke puncak Bromo, masing-masing terlalu teruja untuk menunggu sang mentari memunculkan diri sehingga lupa akan tujuan sebenar kami. Terlalu asyik dengan keindahan alam dan terlalu leka dengan kamera ditangan, memenuhi ruang selfie sebagai kenangan. Seusai turun dari Bromo, kami ke air terjun Madakaripura, salah satu air terjun tertinggi di Pulau Jawa dan kedua tertinggi di Indonesia. Sama, kami masih leka,tenggelam didalam keterujaan alam sehinggalah Tuhan menegur kami dengan teguran penuh kasih sayang. Fatin kehilangan beg yang dimana segala pasport , dompet dan dokumen perjalanan dia ada didalam beg tersebut.
Dia tidak boleh pulang ke Bandung tanpa segala dokumen dan tiket perjalanan pulang. Lebih malang lagi, apabila kami tidak punya cukup waktu untuk mengejar keretapi seterusnya yang sudah kami beli dan perjalanan pulang bakal mengambil masa selama 12 jam.
Kami cuma ada dua pilihan ketika itu.
Pulang dahulu meninggalkan Fatin, atau bersama-sama terlepas keretapi dan mencari alternatif lain.Masing-masing sebenarnya sudah buntu. Namun aku melihat wajah sahabat aku satu persatu. Disaat genting seperti itu, tiada seorang pun yang melenting marah. Mereka mulai mencari sumber air, berwudhuk.Memanjatkan doa ialah cara yang terbaik kerana pada ketika itu hanya Tuhan sahaja yang mampu membantu.
“3 doa yang mustajab, tanpa syak padanya ialah doa ibubapa untuk anak, doa orang yang bermusafir, dan doa orang yang dizalimi”
(HR Abu Daud al-Tarmizi)
Kemudian, kami ditawarkan pulang oleh pemandu pelancong kami untuk menghantar kami ke Bandung dengan menaiki kereta, tetapi mengambil masa selama 24 jam! Kami redha. Dan sepanjang perjalanan tersebut, kami banyak merefleksi diri. Apa salah kami hingga diuji sebegitu sedang kami hanya mahu melihat alam sahaja, tiada niat yang buruk. Rupanya kami tersedar bahawa, sepanjang kami melihat alam, kami hanya melihat dengan mata dan bukannya dengan hati. Kami terlalu leka mengambil gambar kenangan, sehingga lupa untuk duduk sejenak dan berfikir tentang kebesaran Tuhan.
Menjadi seorang pengembara, bukan hanya menggunakan indera mata, tetapi menggunakan hati.Malah ketika mengembara, aku mengenali sahabatku dengan lebih mendalam. Susah senang diharungi bersama.Pergi bersama, maka pulangnya harus bersama juga.
Mengembara tidak akan menjadikan kamu miskin. Pengalaman, pengajaran, belajar tentang budaya dan masyarakat setempat, bertemu dengan manusia yang berhati mulia, itu ialah kekayaan bukan materi dengan menjadi pengembara yang tidak akan peroleh dimana-mana.
Tetapi tidak cukup sebenarnya, menjadi pengembara hanya untuk diri sendiri.Ada satu riwayat dari hadis sahih, Rasululullah bersabda;
“Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada manusia lain”
Seperti buih ditengah lautan, kelihatan banyak tetapi akan hilang begitu sahaja. Sama persis dengan jejak yang kita tinggalkan di merata tempat, hilang begitu sahaja sesudah pulang. Jadi apa manfaat yang telah kita berikan sepanjang mengembara dibumi Tuhan?”
Kemanusiaan itu ialah satu proses memanusiakan manusia,menghidupkan manusia dengan jiwa. Mengembara tidak perlu selalu ketempat yang indah dan terkenal. Cuba keluar dari zon selesa, bermusafir ke negara yang kurang bernasib baik seperti ke Indonesia,Kemboja atau Thailand. Tidak perlu melakukakan misi kemanusiaan yang besar. Cukup dengan membawa pensil untuk anak-anak disana, cukup dengan memberi bekalan buku untuk dibawa kesana. Bermalam dan menyediakan khidmat pendidikan percuma untuk anak-anak, menarik bukan?
Mungkin bukan dengan materi, tetapi ilmu yang ditinggalkan tidak akan sia-sia.Itu ialah sebaik-baik jejak yang ditinggalkan.
Indonesia.
Aku melihat sendiri, bagaimana anak-anak kecil seawal usia 1 tahun, dikendong ibu lalu dibawa dijalanan, dibawah terik mentari, dengan hanya berlapik kotak dan sebuah bekas, meminta belas ihsan dari orang di kaki lima.
Aku melihat sendiri bagaimana anak-anak kecil yang sepatutnya ke sekolah tetapi tidak mampu dan hanya menjual bungkusan makanan ringan di celah-celah sibuknya kereta di bandaraya.
Aku melihat sendiri anak-anak yang bersekolah hanya menikmati maggi goreng disetiap hari ketika waktu makan tengahari.
Aku melihat sendiri, bagaimana seorang pakcik tua berumur 70an yang selayaknya berada dirumah dan berehat tetapi tetap gagah membanting tulang mencari nafkah seharian. Kami menggelarnya Pakcik Sepatu yang bermaksud kasut didalam bahasa Melayu.
Setiap paginya seawal jam 7, dia sudah berada ditangga di satu universiti tempatan di Indonesia, memegang surat khabar sebagai jualannya yang untungnya terlalu sedikit.Dengan senyumannya yang tidak pernah lekang dibibir, wajahnya sudah berkedut dan bergaris dimamah usia, dan kemeja lusuh putih dan bertopi kusam.Dia hanya duduk sambil tersenyum mengharapkan mahasiswa yang lalu-lalang melewatinya singgah membeli jualannya.Setiap petangnya pula, dia akan berada di pintu hadapan gerbang universiti, memegang tali sepatu yang bewarna-warni untuk jualan, kau kira siapa sahaja yang mahu membeli tali sepatu?
Jarang sekali ada yang mahu.Tetapi,dia tidak pernah berputus asa. Ada sahabat kami yang pernah berbual dengannya. Katanya, dia tinggal jauh, hanya pulang kerumah 2 minggu sekali. Dia akan tidur disurau berdekatan, sebagai imbalannya, dia akan membersihkan surau tersebut secara percuma.Hasil jualan yang tidak seberapa itu dikumpul lalu dihantar kerumah buat bekalan isteri dan anak-anak.
Dia antara “guru” sepanjang aku menjadi pengembara di bumi Indonesia. Seusai sahaja pulang ke Malaysia, aku mendapat khabar bahawa dia sudah meninggal dunia. Namun dia masih kekal diingatan orang yang pernah bertemu dengannya. Dia disebut-sebut oleh setiap mahasiswa yang pernah bertemu dengannya.Kebaikan apa yang dia telah lakukan sehingga sering disebut? Sosok yang mungkin tidak berharta namun kekayaan hati yang dia miliki kekal selamanya.
Jalanan banyak mengajar aku untuk sentiasa melihat kebawah dan bersyukur. Jika aku merasakan hidup aku susah, rupanya ada yang lebih susah dari aku. Tatkala aku sudah berputus asa, aku akan mengenangkan perjalanan hidup mereka yang jauh lebih berliku tetapi mereka tidak pernah berputus asa.
Aku belajar mendidik hati selama bertemu dengan mereka yang memerlukan disepanjang perjalanan kehidupan.Untuk selalu mensyukuri apa adanya, untuk sentiasa memberi walau dengan seulas senyuman.
Aku ingin menjadi seorang pengembara yang jejaknya masih kekal walau setelah kepulangan. Yang apabila dicampak kemana-kemana, akan menyebarkan benih-benih kebaikan dan menanamkan pohon-pohon keamanan dimana sahaja kaki ini melangkah.
Pencari Tuhan
“Jadilah engkau didunia ini seperti orang asing atau orang yang sedang melewati tempat persinggahan. Ibnu Umar berkata:Jika kamu berada di petang hari, jangan menunggu sehingga pagi hari,dan jika kamu berada dipagi hari jangan menunggu sehingga petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu”
(Riwayat Bukhari)
Akhir sekali, aku ingin membawa kalian melihat pengembara dari sisi yang lain, iaitu sebagai seorang hamba. Dunia hanya tempat sementara, sebelum bertemu dengan pengakhiran yang pasti, sebagai tempat mencari bekal hitungan akhirat kelak. Kita terlalu dihimpit dengan banyaknya kerja dunia, mengejar masa yang tersangat pantas berlalu. Apa saham yang kita ada? Kebaikan apa yang sudah kita lakukan sepanjang penjadi pengembara satu perjalanan yang panjang ini untuk menuju Tuhan?
Ada orang punya masa tetapi tidak punya wang, maka jadilah tangan yang membantu.
Ada orang yang punya wang tetapi tidak punya waktu, maka sumbanglah untuk kebaikan.
Ada orang tidak punya wang dan juga tidak punya waktu untuk membantu, jadi apa pilihan yang dia ada?
Adakah sekadar mampu melihat?
Tidak.
Titipkan doa buat mereka yang memerlukan dan sebarkan maklumat mereka yang memerlukan, sudah itu mencukupi kerana kebaikan dari sekecil-kecil zarah mampu memberatkan timbangan diakhirat nanti.
Menjadi seorang pengembara tidak perlu keluar jauh, cukup kita tahu yang setiap langkah kaki di bumi Tuhan ini sebenarnya cerita perjalanan pengembaraan kita, maka berbuat baiklah walau dengan hanya sekecil perkara dimana-mana sahaja. Menawarkan senyuman, membuang sampah di tempatnya, membuang halangan dijalanan, cukup,itu sudah cukup.
Maka,pengembara itu bukan sekadar berjalan dibumi Tuhan, mentadaburi alam, malah pengembara menuju Tuhan.
Semoga kita bertemu didestinasi terakhir semua.
☺