Projek #PenaMVM -Aku Seorang Pengembara oleh Nur Azizah Jaafar
Hai volunteers, yay tahniah kepada semua pemenang #PenaMVM bulan Oktober yang telah diumumkan sebelum ini. Hari ini, admin nak kongsikan kepada anda cerpen daripada pemenang tempat ketiga iaitu Nur Azizah Jaafar. Tahniah diucapkan kepada Azizah. Semoga perkongsian daripada beliau dapat memberi manfaat kepada kita semua. Selamat membaca!
Penulis: Nur Azizah binti Jaafar
Aku berminat untuk mengembara sejak kecil. Namun, kekangan ekonomi keluarga membuatkan minat itu terpendam buat satu tempoh masa. Alhamdulillah aku kini telah bekerjaya, punya duit sendiri dan mampu untuk mengejar minatku itu. Aku punya impian untuk mengembara ke seluruh Malaysia. Tak perlu berangan-angan tinggi untuk mengembara ke seluruh dunia, cukup sekadar dalam Negara sendiri dulu.
Sehingga habis belajar Master, seluruh semenanjung aku pernah jejak. Maksud aku, semua negeri aku pernah check in. Sabah dan Sarawak sahaja yang belum sampai. Aku punya seorang kenalan yang berasal dari Kuching, Sarawak. Kami belajar bersama-sama sejak Degree hingga ke Master. Aku pernah menyatakan angan-anganku kepadanya untuk mengembara ke Sabah dan Sarawak.
Katanya, “Datanglah Sarawak. Nanti aku bawa kau jalan-jalan.”
Kata-kata itu menaikkan lagi semangatku. Aku membalas kata-katanya, “InsyaAllah, majlis kahwin kau nanti aku sampai.”
Dengan izin Allah S.W.T, aku berjaya menjejakkan kaki ke Sarawak pada hari sahabatku itu diijabkabulkan. Banyak suka duka yang aku tempoh sepanjang tempoh pengembaraanku itu. Bermula sejak nak tempah tiket penerbangan dan hotel penginapan. Aku dan tiga lagi rakan berbincang untuk mengembara bersama. Di saat nak tempah apa yang patut, mereka bertiga main tarik tali. Nak pergi Sabah Sarawak ni, tiket penerbangan kena tempah sekurang-kurangnya enam bulan awal, baru dapat murah. Letih menunggu jawapan daripada rakan-rakan, aku tempah satu tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching untuk diriku sahaja dahulu. Dua hari kemudian mereka pula tempah tiket, hari penerbangan yang sama tapi waktu yang berbeza. Dalam erti kata lain, aku akan MENGEMBARA SEORANG DIRI.
Kelakar apabila teringat bahawa aku hampir terlupa tarikh penerbangan. Mungkin sebab terlalu sibuk dengan hal kerjaya barangkali. Mungkin juga sebab segala tempahan aku uruskan enam bulan awal. Sibuk dengan urusan Rumah Selangorku yang baru nak naik di tapak projek, aku tak mempersiapkan diri dengan baik sebelum pengembaraanku bermula. Salah satu yang aku terlupa adalah passport. Bagi warganegara Malaysia yang ingin menjejakkan kaki di Sabah dan Sarawak dari Semenanjung, passport perlu ditunjukkan di kaunter imigresen. Nasib baik ada pilihan kedua iaitu aku diberi sekeping kertas yang berupa pas pelawat menggantikan passport. Kertas itu nampak kecil tapi sangat berharga kerana dikhuatiri jika hilang, boleh ditahan dengan Pegawai Imigresen. Oh no! Aku tak mahu dikatakan pendatang tanpa izin. Kertas keramat itu aku simpan dengan baik. Dari pengalaman itu, aku belajar bahawa setiap sesuatu itu perlulah ada perancangan yang teliti untuk mengelakkan masalah di kemudian hari. Aku belajar bahawa persiapan awal itu penting.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, aku menghantar pesanan ringkas kepada bakal pengantin. Pesanan itu tidak dibalas, barangkali sibuk dengan urusan majlisnya. Sementara menunggu tiga lagi rakan yang akan tiba malam itu, aku berjalan seorang diri di sekitar Kuching Waterfront. SubhanAllah, indahnya alam ciptaan Tuhan. Aku berjalan merentasi Sungai Sarawak dengan Jambatan Darul Hana. Kagum dengan rekabentuk dan struktur jambatan itu yang hebat. Moden dan elegan. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa ditemani pemandangan sungai yang indah. Sampan kecil dan Cruise bersilih ganti. Telah lama ketenangan seperti itu tidak aku rasai, selama ini asyik berpenat lelah dalam membina kerjaya.
Kemudian kaki ini ligat melangkah ke Taman Orkid pula. Aku bukan peminat bunga-bungaan tapi hari itu aku teruja melihat keindahan bunga-bunga orkid di situ. Pelbagai warna dan jenis. Selfie dulu. Pengunjung tidak ramai. Aku rasa selesa. Bangku kayu kecil aku temui dan duduk di situ. Aku pejam mata sebentar sambil menarik dan menghembus nafas berganti-ganti. Bibirku mengalunkan zikir perlahan-lahan. Sungguh, hati terasa sangat tenang.
Tiga lagi rakanku tiba dalam pukul 9 malam. Mereka di bilik sebelah. Aku lepak sekejap bersama-sama dengan mereka. Aku bercadang untuk mengikut mereka jalan-jalan keesokan harinya sebelum ke majlis sahabat kami itu. Ketika itu aku rasa terpinggir kerana mereka menolak cadanganku itu. Aku faham kerana mereka mahu berjalan-jalan jauh dari Kuching dan khuatir aku tak sempat catch flight ke Kota Kinabalu pula malam esoknya. Namun, terasa kecil hati kerana mereka tidak mengambil kira tentang tentatifku dalam perancangan kembara mereka. Dah la penerbangan tidak sama, bilik hotel asing-asing, nak berjalan-jalan pun tidak bersama-sama. Dari pengalaman itu, aku belajar, bukan mudah nak cari kawan yang boleh bersusah senang bersama.
Satu ucapan tahniah masuk dalam group whatsapp kami. Rupa-rupanya pengantin telah diijabkabulkan petang tadi. Dugaan betul bagi aku. Aku ingatkan dia akad nikah petang esoknya tapi ternyata salah faham rupa-rupanya. Patutlah dia tidak membalas pesanan ringkasku itu siang tadi. Baru hari pertama di bumi kenyalang, dugaan bertubi-tubi. Ketenanganku siang tadi tiba-tiba bagai diragut. Syukur aku tidak melatah. Aku redha dan aku mengerti, dalam bermusafir memang banyak ujian yang harus ditempuh. Sabar adalah peneman yang paling baik bagi seorang pengembara. Aku memujuk diri bahawa sabar itu indah. Mudah-mudahan ada pelangi selepas hujan.
Keesokan harinya aku berpecah dengan rakan-rakan yang lain. Tidak mengapa untuk mengembara sendiri. Bila lagi kan? Melalui pengembaraan kita dapat belajar untuk lebihkan kebergantungan kepada Allah S.W.T. Aku check out dan kaki ini terus melangkah. Tugu Kucing aku tujui. Selfie lagi. Hari ini aku menyeberangi Sungai Sarawak dengan sampan kecil pula. RM1 sahaja, murah. Cenderahati kek lapis Sarawak aku tidak lupa beli untuk rakan-rakan dan keluarga di Semenanjung.
Rumah pengantin aku singgah sebentar sebelum berangkat ke lapangan terbang. Majlis persandingan sebelah malam, aku tak sempat hadir kerana penerbanganku ke K.K adalah menjelang senja. Aku ingat tidak mengapa tak dapat hadir majlis malam itu tetapi hadir ketika akad nikah tapi ternyata bukan rezekiku. Perancangan Allah adalah sebaik-baiknya.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya aku setibanya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Check in di Sabah, negeri terakhir di Malaysia aku jejaki. Aku tempah hotel untuk dua orang kerana sepupuku dari Kota Marudu akan pergi ke K.K untuk menemaniku jalan-jalan. Ditakdirkan, hari itu banjir di Kota Marudu. Sepupuku tidak dapat keluar. Aku bersendirian lagi tapi kali ini di Sabah pula. Perasaan sedih dan gembira berbaur. Aku kuat, pujuk hatiku. Esoknya aku ditemani oleh seorang pemandu pelancong berjalan-jalan di sekitar Kundasang. SubhanAllah, cantiknya Gunung Kinabalu. SubhanAllah, cantiknya bunga Rafflesia. Dapat melihat bunga Rafflesia di depan mata bagaikan pelangi yang aku katakan tadi setelah dihujani pelbagai dugaan. Aku gembira kerana tak semua orang yang pernah jejak ke Kundasang dapat melihat Rafflesia, lebih-lebih lagi yang kembang mekar. Terasa bagaikan mimpi kerana tidak pernah terlintas dapat berpeluang emas seperti itu. Benar, sabar itu indah. Melalui perjalanan kali ini, aku belajar bahawa sejauh mana kita mengembara, KEMBARA CINTA ALLAH ADALAH YANG PALING INDAH.