Projek #PenaMVM – Aku Seorang Sukarelawan Oleh Azizah Jaafar
Hai volunteer,
Insyallah pada hari ini, kami akan kongsikan kepada anda artikel #PenaMVM .Beliau yang merupakan salah seorang volunteer aktif di MVM iaitu Azizah Jaafar. Semoga anda mendapat manfaat daripada tulisan beliau. Selamat membaca!
Penulis : Azizah Jaafar
Bismillahirrahmanirrahim…
Sukarelawan itu apa? Sukarelawan boleh didefinisikan sebagai individu yang melakukan aktiviti kebajikan secara sukarela dengan memberikan khidmat bantuan kepada golongan yang memerlukan. Tidak semua individu bersedia membuat kebajikan demi meringankan bebanan golongan yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan. Ada yang mampu tetapi tidak mahu dan ada juga yang mahu tetapi tidak mampu. Hendak seribu daya, mahu seribu cara. Namun, kini kita dapat lihat aktiviti kesukarelawanan semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan masyarakat khususnya belia, sama ada secara individu, berkumpulan mahupun mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Setiap sukarelawan punya cerita. Saya juga. Cerita saya tidak sehebat idola-idola saya dalam bidang yang mulia ini, namun ada cerita yang boleh dikongsi dan harap dapat menjadi inspirasi kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini. Saya masih baru dalam dunia kesukarelawanan ini. Sejak Januari 2018. Junior lagi. Sejak zaman sekolah lagi dah bercita-cita ingin menjadi individu yang berbakti kepada masyarakat cuma tidak berpeluang untuk melibatkan diri dengan mana-mana program. Niat awal yang lahir dari hati adalah hanya ingin memberi sumbangan kepada anak-anak yatim, tidak nampak lagi bahawa cabang kesukarelawanan itu luas sebenarnya. Ketika itu, saya tidak terdedah dengan mana-mana badan kesukarelawanan lagi.
“Jom.” Saya mula terinspirasi dari satu perkataan keramat yang dikongsi oleh seorang kenalan saya di Facebook. Beliau berkongsi pautan laman web Muslim Volunteer Malaysia (MVM) ketika itu. Walaupun ajakan ‘Jom’ itu adalah secara tidak secara langsung tetapi berjaya menarik hati saya untuk mula bergiat dalam bidang ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan petunjuk, ruang serta peluang untuk berbakti kepada masyarakat. Niat yang dari dulunya terpendam kini mampu terlaksana sedikit demi sedikit.
Jika tidak berkemampuan untuk memberi sumbangan wang ringgit mahupun material, kita boleh menyumbangkan tenaga. Tenaga kerja dalam melaksanakan pelbagai aktiviti menarik seperti memberikan makanan kepada golongan gelandangan, bergotong-royong membersihkan rumah anak yatim dan sebagainya. Ingatlah bahawa, “Sebaik-baik manusia adalah orang yang memberi manfaat kepada orang lain.”. Selain tenaga kerja, kita juga boleh memberikan semangat dan sokongan moral kepada penerima bantuan, tidak kira golongan asnaf, anak yatim, mahupun golongan orang kurang upaya (O.K.U).
Nak tahu apa manfaat yang kita boleh dapat dengan mengaktifkan diri dalam program-program kesukarelawanan? Banyak. Bila tulis artikel ni terasa rindu pula dengan program dan rakan-rakan sukarelawan. Hidup terasa lebih bermakna, jiwa tidak rasa kosong. Kerana apa? Kerana kita punya hala tuju untuk berbakti kepada masyarakat. Kita hidup di dunia ini bukan semata-mata demi sendiri tetapi juga untuk orang lain. Membuat kebaikan bukan hanya dengan berkongsi harta benda dan wang ringgit malah boleh berkongsi kebahagiaan kita. Mungkin hanya dengan satu senyuman dapat memberi kebahagiaan kepada individu-individu di sekeliling kita. Selain itu, dapat mengurangkan tekanan kita. Percayalah. Apabila kita berprogram, kita bertemu dengan pelbagai jenis karakter manusia. Ada yang suka berjenaka, ada yang lurus sampai menimbulkan suasana yang ceria. Kita dapat melupakan segala tekanan yang ada buat seketika. Dengan izin Allah, pelbagai isu yang kita hadapi dapat diselesaikan dengan mudah selepas kita dah kembali bertenang.
Melakukan aktivit-aktiviti kesukarelawanan sebenarnya bukan hanya memberi manfaat kepada si penerima bantuan, malah diri kita sendiri. Kita dapat menimba ilmu pengetahuan dan mempelajari kemahiran baru. Saya pernah mengikuti satu program yang melibatkan golongan cacat penglihatan. Melalui program tersebut, saya mendapat ilmu-ilmu baru seperti pengetahuan tentang jenis-jenis cacat penglihatan dan juga cara-cara mengendalikan golongan O.K.U ini. Baik dari cara membantu mereka melintas jalan mahupun cara menikmati hidangan makan tengah hari atau makan malam.
Di sini, saya ingin menyeru pembaca-pembaca artikel ini untuk sama-sama menyertai mana-mana aktiviti kesukarelawanan demi kebaikan bersama. Saya sedar bahawa kita perlu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sukarelawan kepada pembangunan masyarakat. Jika dengan ajakan “Jom” daripada kenalan saya, saya kini aktif dalam menyertai kesukarelawanan, kini saya pula mengajak para pembaca untuk “Jom sama-sama menjadi seorang sukarelawan”.
Terima kasih atas kesudian untuk membaca.