Projek #PenaMVM- Aku Seorang Sukarelawan Oleh Nur Irdina Hakimah binti Nor Azali
Hai volunteer,
Insyallah pada hari ini, kami akan kongsikan kepada anda artikel #PenaMVM .Beliau yang merupakan salah seorang volunteer aktif di MVM iaitu Nur Irdina Hakimah Binti Nor Azali. Semoga anda mendapat manfaat daripada tulisan beliau. Selamat membaca!
Penulis : Nur Irdina Hakimah binti NorAzali
Baktinya luar biasa walaupun di mata dunia dia hanya insan biasa. Dia adalah seorang insan yang bercita-cita tinggi yang ingin namanya bergegar nun jauh di langit tinggi sana didoakan para Malaikat, kerana apalah gunanya jika namanya hanya disebut manusia di bumi sahaja. Dia adalah hero yang tidak pernah didendang namun, baktinya mekar mewangi di sisi insan yang memerlukan. Menyemai kebahagiaan dan menyebarkan kegembiraan kepada insan lain adalah suatu kepuasan dan ketenangan jiwa baginya. Benarlah apa yang dikatakan ahli falsafah terkemuka Plato. “Jika orang lain berasa gembira kerana kegembiraan kita, berlipat gandalah perasaan itu.” Siapakah insan berjiwa besar ini? Dia adalah seorang sukarelawan.
Memetik buah fikiran yang masyhur daripada Alyarham Prof Dr. H.A. Karim Amirullah (HAMKA) di dalam salah sebuah magnum opusnya iaitu “Peribadi”, beliau menghuraikan bahawa orang yang berani memanjat harus berani menghadapi kejatuhan. Keberanian bukan sahaja ketika mendaki tetapi juga pada saat turun. Kita perlu berani menghadapi cabaran dan tidak takut akan kegagalan kerana takut gagal sebelum gagal adalah kegagalan yang sebenar.Hal in telah menjentik hati untuk turut bersama menyahut cabaran guru saya untuk mengendalikan sebuah kem motivasi di salah sebuah sekolah rendah sehingga akhirnya diri ini bergiat aktif sebagai fasilitator. Kem motivasi ini bukan sekadar pemantapan disiplin dan jati diri semata-mata, tetapi ianya holistik merangkumi segenap aspek termasuklah pengukuhan spiritual.
Menerima sesuatu tugasan dengan hati yang rela akan menumbuhkan kebebasan dalam jiwa kita. Tiada lagi peperangan di dalam jiwa yang akan meletus kerana kita terlebih dahulu sudahpun berdamai dengan diri sendiri. Inilah yang kita dambakan iaitu ketenangan dalam diri yang puas dicari. Namun,hanya ditemui apabila segala tugasan disandarkan pada Ilahi. Niat yang benar adalah perkara asas perlu dipasakkan dalam jiwa. Kita lihat hadis yang pertama di dalam kitab Hadis 40 karangan Imam Nawawi menggariskan tentang niat dalam melaksanakan pekerjaan. Ironinya, hanya sukarelawan yang memiliki tujuan yang jelas sahaja ternyata masih teguh berdiri pada hari ini berletihan di bawah jemuran mentari atau di bawah sinaran bulan purnama pada saat yang lain sedang dalam kerehatan. Siang dan malam tidak pernah kenal erti jemu dan putus asa dalam menabur bakti. Permulaan pekerjaan adalah sesuatu yang sukar. Berterusan dalam melakukan anjakan paradigma itu tahap yang lain pula,hanya mereka yang memiliki niat yang benar sahaja akan terus berbakti dan bertahan pada jalan ini.
Pernah atau tidak kita bayangkan bagaimana hidup kita tanpa ada oksigen selama dua minit? Lemas! Sesak nafas! Ibarat ikan hidup di daratan.Cuba kita fikirkan sejenak, walaupun kita hampir mati tadi tetapi sebenarnya kita telah mencapai sesuatu yang tidak pernah kita perolehi sebelum ini! Rekod menahan nafas yang baharu bukan? Kita telah keluar daripada zon selesa kepada zon yang lebih mencabar. Beginilah apa yang dilalui oleh saya sewaktu menjadi fasilitator. Murid-murid mulai bising, dewan sekolah pula ibarat padang bola buat mereka. Bertempiaran mereka lari ,sudah tidak dihiraukan lagi arahan daripada kami. Sudah menjadi lumrah kanak-kanak fikirannya hanya untuk berseronok sahaja. Kami berjaya mengawal keadaan yang haru-biru itu dengan bantuan guru yang sudah terlebih dahulu makan garam daripada kami. Peristiwa kejar-mengejar dan usaha untuk mengawal keadaan murid yang bising tadi meningatkan saya Manoj Anora di dalam “From The Rat Race to Financial Freedom” mengatakan bahawa “ Keluar dari zon selesa anda adalah sukar pada mulanya, lintang pukang di tengah-tengahnya dan hebat di akhirnya!” Benarlah, situasi bersama murid-murid sekolah rendah tadi tidak pernah saya lalui sebelum ini. Keluar daripada zon selesa membolehkan kita mengenali kemampuan maksimum diri kita yang sebelum ini belum diteroka. Beruntunglah mereka yang dilindungi daripada sikap terlalu mencintai keselesaan. Kesusahan dalam menghadapi cabaran itu lumrah. Berpeganglah dengan janji Allah: “Sesungguhnya setiap kesukaran itu disertai kesenangan” (Al-Sharh:. 6) Tenanglah wahai jiwa!
Menjadi sukarelawan ternyata mendidik jiwa untuk sentiasa peka dan prihatin dengan keadaan dan orang sekeliling kita. Telinga kita mendengar dan mata juga seolah-olah mendengar jeritan kesengsaraan dalam diri insan lain. Kedua-dua mata hati dan mata fizikal memainkan peranan yang penting sebagai seorang sukarelawan. Murid tahun empat tiba-tiba menangis semasa kami melakukan aktiviti sukan di padang sekolah. Saya mendekati kanak-kanak bermata bulat comel ini dan bertanyakan masalahnya. Tidak pandai bermain menjadi alasannya. Kelihatan juga beberapa kawannya yang mengejek dan merendah-rendahkan potensi anak kecil ini. Saya cuba untuk tidak mengeruhkan keadaan sebaliknya mendamaikan mereka. Malam itu, saya mendekati lagi anak kecil ini,berkongsi cerita, bergelak ketawa dan saya menangis dalam hati. Anak kecil ini bukanlah tidak pandai bermain tetapi kakinya mengalami sedikit kecederaan yang mengehadkan pergerakannya. Namun, dia berusaha membuktikan dia mampu untuk bermain seperti kawan-kawannya yang normal. Saya hadir untuk membimbing mereka, ternyata Maha Hebat perancangan Allah hadirkan mereka untuk mendidik jiwa saya supaya tidak cepat berputus asa dalam hidup! Suka untuk saya kongsikan watak guru yang dilakonkan oleh bintang popular Amir Khan di dalam filem India yang berjudul “The Star on Earth” iaitu Nikumbh. Kegigihan,keprihatinan dan pengorbanan seorang guru untuk membantu anak kecil bernama Ishaan yang mengalami “dyslexia” wajar dipraktikkan oleh kita. Ishaan yang pada awalnya dianggap anak dan murid yang tidak berguna kerana sering gagal dalam akademik akhirnya bangkit menjadi anak kecil yang berjiwa besar dan bercita-cita tinggi. Inspirasi, perlu selalu dipercikkan ke dalam hati yang malap agar ia kembali bercahaya dan menerangi yang lain.
Meraih kepopularan bukanlah matlamat dan tujuan yang utama di jalan bakti ini. Biarlah tampak biasa sahaja di bumi tetapi di langit popular kerana semangat dan kecekalannya dalam berbakti dengan penuh keikhlasan di hati. Aku seorang sukarelawan dan ini jalanku. Aku akan tetap berdiri di sini dan terus menabur bakti hingga akhir nanti.