Sedekah Menjadikan Saya Manusia Yang Berserah – CEO Raffelinna Sdn Bhd
Bagi mendapatkan tarikh yang sesuai untuk menemuramah tokoh perniagaan ini bukan mudah bagi saya dek kerana hambatan tugas dan kerja-kerja mengurus syarikat memberi sedikit kekangan waktu bagi pemilik Raffelinna Sdn Bhd iaitu Felinna untuk ditemuramah. Namun peluang yang diberikan ketika beliau dan tim syarikatnya membuat promosi produk Caliph di sebuah pasaraya di Putrajaya ketika itu tidak saya lepaskan. Sosok wanita yang sentiasa merendah diri disebalik jubah yang dikenakan pasti membuat telahan orang ramai meleset tentang siapakah beliau suatu ketika dahulu. Namun itulah penghijrahan Felinna Nadea Ed Fattah demi mencari makna kebahagiaan hakiki. Jalan yang dilaluinya bukan mudah. Namun pengakhirannya indah.
Ditemani si suami iaitu Rafie ketika sesi temuramah, Felinna kelihatan bersahaja disebalik persalinan niqab hitam yang menutup wajahnya namun tidak dapat menyembunyikan seribu cerita yang terpancar di matanya.
Ujian Itu Sunnah
Dunia perniagaan bukanlah sebuah dunia yang asing bagi Felinna. Sebelum beliau berdiri megah bersama Raffelinna Sdn Bhd seperti sekarang, Felinna sebenarnya sudah menjalankan beberapa perniagaan yang melibatkan dunia peragaan dan pengurusan acara. Latar belakang sebagai model pada suatu ketika dahulu menguatkan lagi minatnya dalam perniagaan.
Namun sudah menjadi lumrah bagi setiap yang bergelar manusia di dunia ini pasti menerima ujian. Panas itu beliau sangkakan hingga ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari. Satu demi satu perniagaannya diuji dengan kejatuhan dan kegagalan. Yang lebih menambah perit hidupnya lagi apabila dia diuji pula dengan penyakit misteri.
“Ketika itu Kak Fel ditimpa penyakit misteri. Wallahu a’lam Kak Fel pun tak tahu sakit apa. Tapi sakit yang sehingga sudah nazak dan dibacakan Yasin.” Felinna memulakan bicara dengan menceritakan pengalaman pahitnya.
Sudah jatuh ditimpa tangga. Rupa-rupanya ujian yang membadai tidak terhenti di situ sahaja. Perniagaan ayahnya juga terpaksa gulung tikar.
“Masa Kak Fel sakit, peristiwa yang tak boleh dilupakan adalah bila perniagaan ayah Kak Fel jatuh teruk. Dia dulu adalah millionaire tapi sudah tidak punya apa-apa. Kami tak ada rumah dan kereta. Semua kena tarik. Masa itu memang kejatuhan paling dahsyat dalam hidup Kak Fel.” Bicara Felinna laju namun tenang.
Namun kehadiran seorang lelaki ketika itu yang kini menjadi suaminya banyak meringankan dan mengubati sakit yang dirasai. Rafie (suaminya kini) begitu setia menyelamatkan perniagaan Felinna.
“Kak Fel kenal suami ketika sedang sakit dan berkenalan pun masa Kak Fel memang dah tak ada rumah. Kami sekeluarga tinggal di kedai milik ayah. Tapi sewa kedai ketika itu pun dah 3 bulan tak bayar. Tunggu nak kena sita je. Jadi bermula dari situ Kak Fel cuba muhasabah diri dia atas apa yang berlaku.” Felinna mengakui bahawa setiap yang berlaku ada hikmanya.
Ketika itu Rafie terpaksa berulang alik setiap hari selama 2 jam dari Baling ke Alor Star semata-mata untuk meringankan beban yang ditanggungnya. Rafie yang menguruskan perniagaan fotografi bersama rakan kongsinya terpaksa korbankan perniagaannya sehingga menimbulkan salah faham diantara rakan kongsinya. Namun Semua itu sudah dalam perancangan Allah. Akhirnya pengorbanan Rafie dipandang oleh keluarga Felinna dan sepakat untuk mengahwinkan mereka berdua.
Setelah mendapat restu keluarga, Felinna dan Rafie sepakat untuk berkahwin walaupun dalam keadaan masing-masing tidak mempunyai wang simpanan yang cukup. Namun mereka berdua mencari jalan yang terbaik agar apa pun yang berlaku perkahwinan ini harus diteruskan.
Mengapa Kita Nak Hidup Macam Ni?
Bermacam-macam pekerjaan Rafie lakukan untuk survive termasuklah menjadi runner menguruskan proses tukar nama kenderaan di JPJ. Antara banyak-banyak pekerjaan yang pernah dilakukannya ada satu pekerjaan yang paling tidak boleh dilupakan iaitu mengambil upah mengutip sampah di dalam sungai.
Pendek kata ketika itu suami Felinna buat semua kerja yang ada bagi menampung kehidupan. Tapi semua pekerjaan itu tidak mendatangkan pendapatan tetap bak kata pepatah kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
Setelah merasakan begitu susahnya untuk mendapatkan pekerjaan, Rafie mengambil keputusan untuk melakukan suatu perkara yang tidak pernah terlintas di fikiran. Iaitu menoreh getah. Ini adalah keputusan yang terakhir dan dirasakan terbaik ketika itu. Namun seperti ada sesuatu yang terbuku di hati mereka berdua. Hari esok terasa sukar untuk ditempuhi. Pada malam sebelum keluar menoreh buat pertama kalinya, Fellinna dan Rafie duduk dan bertanya pada diri masing-masing.
“Mengapa kita nak hidup macam ni”? Seringkas itu soal mereka pada hati.
Kalau diikutkan sebelum ini Felinna dan suami pernah berjaya dalam perniagaan masing-masing. Mereka pernah hidup senang dan dipandang hebat di mata orang ramai. Hati mereka tidak rela untuk menyerah kalah begitu sahaja. Bagi Felinna dan Rafie, pasti ada jalan keluar dari semua kesusahan ini. Dengan semangat yang masih lagi membara dan tidak mahu menyerah pada keadaan, mereka membuat keputusan untuk memulakan semula perniagaan walaupun sebelum ini Felinna seakan trauma dengan dunia perniagaan lantaran sakitnya sebuah kejatuhan .
Tidak mahu terus dibelenggu kisah kegagalan lalu, Rafie menyuarakan hasratnya untuk menghidupkan kembali perniagaan fotorgrafi yang pernah menjadi jantung hatinya suatu ketika dahulu.
Berbekalkan doa dan tawakal, Rafie membuka pakej fotografi untuk kanan-kanak. Alhamdulillah, percaturannya membuahkan hasil apabila mendapat 2,3 orang pelanggan pertama yang menggunakan perkhidmatan mereka. Salah seorangnya adalah pemilik sebuah butik di Baling. Oleh kerana Rafie melakukannya dengan bersunguh-sunguh, pemilik butik tersebut berpuas hati dengan hasil kerja Rafie. Hati Felinna dan suaminya kembali bersemangat. Ada titis-titis gembira yang menyentuh jiwa mereka.
Bersedekah Dan Berserah
“Setengah orang fikir bila bisnes tak berjaya dia perlu kurangkan sedekah. Itu sebenarnya tindakan salah.” Tegas Felinna.
Antara tips yang dikongsi Felinna apabila perniagaan mengalami masalah adalah memperbanyakkan sedekah. Menjadi lumrah kehidupan ketika kaki sedang gagah mendaki ke puncak, akan ada suatu ketika kita terjatuh ke lembah. Berkongsi pengalaman fasa kejatuhan Felinna Beauty, ketika itu perniagaan mereka tidak berjaya menjana jualan sehinggakan kakitangan yang sedia ada tidak ada tugas untuk dilakukan. Dilemanya bermula apabila tiada aliran tunai yang masuk tetapi pada masa yang sama gaji kakitangan harus dilunaskan. Duit simpanan yang ada ketika itu mereka gunakan untuk membayar gaji kakitangan walaupun hakikatnya syarikat langsung tiada wang kerana kebajikan kakitangan diutamakan.
Rupa-rupanya Allah sedang merancang sesuatu. Berkat kesabaran dan sangka baik terhadap takdir Allah, pada tahun 2015 Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik kepada mereka melalui penjualan produk makanan tambahan kanak-kanak iaitu Caliph yang mendapat sambutan hangat.
Bayangkan ketika kejatuhan Felinna Beauty, andai kata beliau memberhentikan pekerjanya ketika itu, pasti beliau tidak mempunyai tim yang hebat dalam memasarkan produk Caliph sehingga berjaya. Allah sentiasa akan menggantikan sesuatu yang lebih baik disebalik segala kesulitan dan ujian.
Bersedekah tidak hanya terlihat pada hasil untung wang ringgit sahaja. Kadang-kadang dengan asbab kita bersedekah Allah permudahkan urusan mengendalikan syarikat dengan menganugerahkan kita sebuah tim yang hebat. Mempunyai sebuat tim yang hebat dalam sesebuah syarikat adalah impian setiap pengasas syarikat.
Sedekah Dulu Baru Menjual
Ramai orang menganggap hanya perlu bersedekah selepas kita mendapat untung besar. Tapi sebenarnya adalah lebih baik kita bersedekah terlebih dahulu bak kata orang bijak pandai give before you get. Itulah yang Felinna dan suaminya Rafie amalkan dalam menguruskan perniagaan. Contohnya di dalam pengeluaran 10,000 botol Caliph, 1000 akan disimpan untuk diagihkan secara percuma. Hasilnya dapat mereka lihat apabila Allah permudahkan urusan menjual baki 9000 botol lagi.
Katanya pada permulaan kita akan terasa macam rugi. Tapi rugi itu adalah untuk sementara waktu kerana kerana Allah akan gandakan dengan hasil penjualan yang tidak akan disangka-sangka.
Felinna juga berkongsi keajaiban bersedekah ketika beliau dalam proses membuka cawangan butik pertamanya di Bangi. Pada malam sebelum majlis perasmian butik di Bangi itu berlangsung, Felinna dan Rafie merasa bimbang. Bimbang jika nanti tiada pelanggan yang datang ke butik baru mereka.
Oleh itu mereka cuba leraikan kebimbangan yang bersarang di hati dengan bersedekah kepada sebuah NGO. Ketika itu Felinna dan Rafie memang seratus peratus bergantung kepada Allah. Esoknya Alhamdulillah dengan izin Allah jualan pembukaan butik mereka mencapai RM350,000.
“Kita sedekah dengan niat supaya orang ramai terdetik hati datang ke butik. Sebab kami sangat nervous sebab itu first big event kami. Kalau orang tak datang malunya. Kalau orang tak datang rugi banyak.”
“ It always work bila kita bersedekah betul-betul datang dari hati.” Tambah Felinna.
Pre-Order Buku “Ohsemnya Sedekah, Rahsia Sebenar 6 Jutawan”
Kisah penuh kejayaan Felinna dalam membangunkan empayarnya boleh anda baca di dalam buku Ohsemnya Sedekah. Buku ini menceritakan kisah jatuh bangun 6 orang usahawan berjaya di Malaysia. Yang paling penting adalah bagaimana konsep sedekah membantu mereka untuk berjaya. Jangan lupa untuk dapatkannya. Pre Order dibuka! Sebarang tempahan boleh terus menghubungi wakil MVM di013 834 3012 / 012 235 6854 . Bacalah kisah kejayaan mereka untuk menulis kisah kejayaan kita!