MUSIM pandemik COVID-19 ini mungkin agak membataskan segala pergerakan dan urusan yang perlu kita lakukan setiap hari.
Namun, di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijangka akan diteruskan sehingga 31 Disember ini, sebenarnya keterbatasan itu boleh dimanfaatkan untuk hal-hal kebaikan.
Benar, sebagai manusia, situasi wabak yang belum berakhir ini sedikit sebanyak membuatkan kita rasa lemah, tidak berdaya mahupun mengeluh – tanpa sengaja.
Pernahkah kita mendengar istilah, “Kita bantu orang, Allah bantu kita”?
Menurut perkongsian oleh pakar psikiatri, Dr. Rozanizam Zakaria, sebenarnya ‘tekanan’ yang dihadapi ramai orang ketika musim wabak ini boleh dilenturkan melalui kerja-kerja kebajikan.
Memetik Surah Al-Ma’arij ayat ke-19, Allah berfirman dengan maksudnya;
“Sungguh, manusia diciptakan dengan sifat suka mengeluh,”
Merenung situasi hari ini, ramai antara kita yang sudah mengeluh kerana mengalami tekanan hidup akibat COVID-19.
Ekonomi lumpuh, pengajian tergendala, pergerakan terkawal, aktiviti-aktiviti dihadkan serta limitasi dalam menjalankan sebarang urusan antara punca tekanan.
Dalam masa sama, boleh dikatakan hampir segala-galanya berubah dan kita perlu hidup dalam norma baharu demi usaha memutuskan rantaian jangkitan.
Bagaimanapun, sifat mengeluh dan stress ini dapat ‘diselesaikan’ melalui beberapa cara yang membawa kepada kebaikan diri. Allah menjawabnya menerusi ayat 22 hingga 27 yang bermaksud;
“Kecuali orang-orang yang melaksanakan solat (22),
Mereka yang tetap setia melaksanakan solatnya (23),
Dan orang-orang yang dalam hartanya disiapkan bahagian tertentu (24),
Bagi orang (miskin) yang meminta dan yang tidak meminta (25)
Dan orang-orang yang mempercayai Hari Pembalasan (26)
Dan orang-orang yang takut terhadap azab Tuhannya (27)”
Berbalik kepada isu, salah satu solusi yang Allah nyatakan untuk kita ‘keluar’ daripada keluhan yang dialami kini adalah dengan menginfakkan harta (atau kemampuan) kepada mereka yang memerlukan.
Secara literalnya, kebaikan yang boleh kita sumbangkan kepada manusia lain lebih-lebih lagi ketika waktu pandemik ini adalah melalui kerja-kerja kesukarelawanan.
Kesukarelawanan itu sendiri membawa maksud yang besar; sama ada sukarela menyalur bakti melalui tenaga, harta, masa, ilmu dan sebagainya.
Seperti yang kita lihat sebelum ini, ramai pihak sudi tampil menginfakkan bakti mereka buat petugas-petugas barisan hadapan dalam usaha memerangi penularan COVID-19.
Ada yang sukarela menyumbang wang ringgit, ada yang menyumbang berdasarkan kemahiran tertentu seperti menjahit alat perlindungan diri (PPE), memasak untuk kakitangan hospital, sukarela menjalankan kerja-kerja sanitasi awam dan sebagainya.
Walaupun berbeza cara, namun tujuannya tetap sama; memberi manfaat untuk pihak yang memerlukan, selain turut permudahkan urusan mereka.
Namun, adakah kita sedar bahawa setiap sumbangan yang disalurkan itu, hakikatnya bukan sahaja untuk mereka, tetapi untuk diri kita sendiri.
Dr. Rozanizam menjelaskan perihal ini dengan menyatakan firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 7 yang bermaksud;
“Jika kamu berbuat baik (beerti) kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri. Dan jika kamu berbuat jahat, maka (kerugian kejahatan) itu untuk dirimu sendiri… (sehingga akhir ayat),”
Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga membuktikan tentang manfaat membantu orang lain untuk membantu diri sendiri ini melalui sepotong hadisnya.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”
(Hadith riwayat al-Bukhari, No.2442, 6901, Muslim, No.2580)
Jika difahami konteks nas Quran dan hadis di atas ini, memang Allah dan Baginda Rasulullah SAW telah pun membuktikan, dengan mempermudahkan urusan orang lain, urusan kita pula akan dipermudahkan Allah. Ini janji-Nya.
Selain itu, bakti-bakti yang disumbangkan itu juga boleh mengurangkan kadar tekanan yang dialami. Secara fitrahnya, siapa yang tidak berasa gembira setelah berjaya membantu orang lain keluar dari masalah?
Walaupun sekadar ucapan terima kasih yang diterima, itu sahaja sudah cukup buat kita tersenyum kepuasan kerana berasakan diri kita berjaya menjadi ‘hero’ untuk mereka. Bukankah itu juga satu kebahagiaan? Bukankah bahagia itu melenyapkan rasa sedih?
Barangkali ini bertepatan dengan konsep yang biasa kita dengar. Apabila kita beri kepada orang satu (1) kebaikan, Allah akan gantikan dengan 10 kebaikan, termasuklah rasa bahagia kerana hilangnya tekanan.
Mangsa kesihatan mental antara paling terjejas
Tahukah anda, sejak Mac hingga Oktober baru-baru ini, Talian Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima lebih 35,000 panggilan telefon daripada individu-individu yang terkesan dengan masalah kesihatan mental.
Antara yang mencatatkan jumlah panggilan tertinggi adalah daripada mereka yang mengalami masalah tekanan perasaan, kegelisahan dan kemurungan. Semua ini dipercayai adalah impak bahaya kegagalan institusi keluarga dalam menguruskan konflik rumah tangga.
Stres yang dialami akibat kehilangan sumber pendapatan, perniagaan merosot, dibuang kerja, gaji tidak dibayar dan sebagainya menambahkan lagi ‘rencah’ dalam konflik tersebut.
Justeru, peranan kita sebagai sukarelawan di lapangan adalah amat penting dalam membantu mengurangkan kadar panggilan telefon berkenaan, agar ia tidak meningkat lagi pada masa akan datang.
Mungkin ada yang belum jelas, sebenarnya membantu manusia melalui pendekatan psikologi dan kesihatan mental juga boleh dipraktikkan atas nama sukarelawan. Ilmu, kemahiran dan pemahaman tentang psikologi itu sendiri amat diperlukan bagi mereka yang terjejas.
Sama ada secara lisan, bertulis mahupun visual, hakikatnya kita mampu membantu mereka dengan mudah hatta sekadar menggunakan medium media sosial sahaja. Sebarkan ‘positive vibes’ kepada mereka, bahawa kita masih ada untuk mereka. Hari esok masih ada. Kita semua masih ada Tuhan.
Impak kesukarelawanan untuk kesihatan diri
Apakah pula hubung kaitnya menyumbang kebaikan secara sukarela dengan kesihatan diri?
Tahukah anda, kajian yang dibuat di England seperti yang ditulis McMunn, individu yang mempunyai keadaan kesihatan yang tidak baik, menghidapi sakit kronik dan tidak berdaya lebih cenderung untuk menjadi sukarelawan berbanding individu yang sihat.
Sebab utama mengapa kesukarelawanan menjadi pilihan adalah kerana seseorang itu mahu menjadi altrustic; tidak mementingkan diri. Mereka mahu berikan semula sesuatu kepada masyarakat atau organisasi yang telah membantu mereka sebelum itu.
Berdasarkan jurnal BMC Public Health, kesukarelawanan mampu membantu memanjangkan jangka hayat umur, selain turut dapat memberi kesihatan yang baik kepada diri sendiri.
Ia juga berupaya meningkatkan lagi kualiti kehidupan seharian, hubungan interaksi semasa manusia dan juga keyakinan diri. Dalam masa sama, ia turut boleh mengurangkan kadar kemurungan, tekanan, sakit tubuh badan mahupun masalah kesihatan mental.
Jika buat carian di mana-mana jurnal akademik di Google, pasti kita akan jumpa lebih banyak lagi manfaat kesukarelawanan terhadap kesihatan.
Begitulah seperti yang disarankan, dengan kesihatan dan kemampuan yang kita miliki, seharusnya salurkanlah seadanya kepada mereka yang memerlukan.
Allah mencipta dunia ini dengan ciptaan yang bervariasi dan saling memerlukan. Tinggal kita sahaja untuk memilih, bagaimana memanfaatkan segala anugerah-Nya ke arah yang lebih baik atas nama kemanusiaan.
Kita jaga kita, Allah jaga kita.
Rujukan:
1. Dr. Rozanizam Zakaria, Rahsia Mengawal Stress Menurut Surah Al-Ma’arij
2. Strategi 1, Pandemik COVID-19 dan Kesihatan Awam, Belanjawan 2021
3. Tanggungjawab Sesama Muslim, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)