Wukuf Di Arafah – Berhentilah Sejenak

Labbaikallahumma Labbaik

Labbaika La Syarikalaka Labbaik

Innalhamda Wan Ni’mata

Laka Wal Mukl

Laa Syarikalak

“ Aku memenuhi panggilan Mu ya Allah aku memenuhi panggilan-Mu. Aku memenuhi panggilan-Mu tiada sekutu bagi-Mu aku memenuhi panggilan-Mu. Sesungguhnya pujian dan nikmat adalah milik-Mu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagi-Mu.”

Wukuf  di Arafah adalah puncak kepada ibadah haji. Saat ini kita melihat ribuan manusia dari pelbagai penjuru dunia  tidak kira bangsa, bahasa dan warna kulit berkumpul di Padang Arafah yang berkeluasan 18km persegi. Rasulullah S.A.W bersabda : Haji adalah ( wukuf ) di Arafah.

Lokasi Arafah ini terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram sejauh 22 kilometer. Dan kawasan itu dianggap juga sebagai Tanah Haram. Di kawasan lapang inilah semua jemaah haji berkumpul pada 9 Dzulhijjah .

Arafah berasal dari kata ‘arafa yang bermaksud kenal atau mengerti. Dinamakan Arafah adalah kerana tempat suci itu adalah lokasi pertemuan atau perkenalan antara Nabi Adam a.s dan Hawa di bumi ini. Adam diturunkan di India dan Hawa di Jeddah. Akhirnya dipertemukan oleh Allah S.W.T di padang Arafah.

Wukuf dari sudut bahasa adalah bermaksud ‘berhenti’ walau sejenak. Barangsiapa yang berhenti walau sejenak di Padang Arafah setelah tergelincirnya matahari 9 Zulhijjah, maka wukufnya adalah sah.

Walaupun kita tidak berada di sana, pada waktu itu cubalah untuk kita berwukuf sekejap. Iaitu berhenti sejenak dari memikirkan hal-hal dunia. Renung sejenak ke dalam hati dan kembalikan renungan itu ke alam semesta ciptaan Allah dan tanyakan pada diri kita apakah hakikat kewujudan kita di dunia ini. Muhasabah setiap perjalanan yang telah kita lakukan sepanjang kita hidup. Berapa banyak telah kita berbuat kebaikan dan berapa kerap sudah kita bertaubat. Perkara ini mampu kita renungkan apabila kita ‘wukuf’kan hati kita sebentar dan serahkan hati kita yang berkecamuk itu kepada Allah.

 

Kelebihan Hari Arafah

Ya, Hari Arafah adalah hari pembebasan. Membebaskan kita dari api neraka dan hari di mana Allah S.W.T turun ke langit dan berbangga dengan hamba-hambanya di depan malaikat. Rasulullah S.A.W bersabda :

“ Tidak ada satu hari pun yang Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari ‘Arafah kerana pada hari itu Dia turun kemudian membanggakan-banggakan di depan para Malaikat seraya berfirman : ‘Apa yang mereka inginkan?’ ( Sahih Muslim 3275 )

Selain merupakan hari pembebasan dari api neraka, Hari Arafah juga adalah simbol kepada sudah sempurnalah agama hamba-Nya. Sebagaimana firman Allah di dalam surah Al- Maidah ayat 3 :

“ Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu dan aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”

Pada hari ini adalah waktu paling mustajab doanya. Maka ambillah kesempatan pada hari Arafah untuk kita mengangkat tangan dan berdoa jika sekarang kita sedang dirundum masalah. Jika sekarang kita sedang mengumpul kekuatan untuk berubah. Jika sekarang ini kita sedang bergelut dengan dosa-dosa yang tiada sudah. Maka hari inilah peluangnya. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita lantas menguatkan hati kita untuk menempuh hari-hari yang mendatang.

Sabda Rasulullah S.A.W :

“ Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan rasul sebelumku ungkapkan ialah ‘tiada tuhan melainkan Allah..” ( Riwayat at-Tirmizi )

Hari Arafah bagi tahun 2017 jatuh pada 31/08/2017 mulai jam 12.21 tengah hari ( Khutbah Arafah ). Untuk doa yang paling mustajab bagi kita yang berada di Malaysia adalah dalam waktu solat Asar jam 5.21 petang hingga jam 6.21 petang. Rebutlah 1 jam yang penuh istimewa ini untuk kita angkat doa ke langit Allah.