BANTUAN SALAM: “ADIK..TUNGGU DULU..KEJAP DIK..”

BANTUAN SALAM: “ADIK..TUNGGU DULU..KEJAP DIK..”

Oleh: Adnin Razak, Unit Salam MVM

Kemalangan jalanraya secara langgar lari pada 2014 dahulu hampir membuatkan dia kehilangan nyawa. Sejurus dilanggar, dia bersama motosikalnya tercampak ke dalam longkang. Boleh dibayangkan, betapa ngerinya tragedi itu hingga menyebabkan dirinya koma tidak sedarkan diri.

Sepanjang tempoh rawatan, sebanyak tujuh kali pembedahan dijalankan di bahagian tengkorak depan yang pecah akibat hentakan kuat ketika kemalangan. Pembedahan tersebut amat berisiko kerana ianya melibatkan otak secara langsung. Setelah sebulan kaku di atas katil, akhirnya kelopak matanya kembali terbuka untuk melihat dunia dan bermulalah episod baharu kehidupannya sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

 

Amer Ashraf, 26, merupakan mangsa tragedi kemalangan ngeri pada 2014 lalu. Impak daripada kemalangan insiden tersebut, sebahagian kepalanya di bahagian dahi kanan mempunyai lekuk ke dalam. Mata kanannya juga tidak berfungsi. Lebih memilukan, deria baunya juga sudah tiada.

Amer ialah bekas pelajar jurusan seni bina di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. Menurutnya, tragedi kemalangan itu berlaku ketika dia masih dalam tempoh pengajian. Akibat daripada itu, pengajiannya tidak dapat diteruskan.

Namun begitu, berbekalkan ilmu dan pengalaman yang sempat dicari ketika belajar dulu, kini Amer menjalankan servis melukis pelan secara freelance. Walaupun berstatus OKU dan buta mata kanannya, dia masih lagi boleh survive untuk teruskan hidup.

Dulu mereka pernah mempunyai kereta, namun terpaksa dijual atas desakan hidup. Hanya dengan sebuah motosikal, itulah kenderaan utama keluarganya untuk urusan hidup setiap hari. Itupun dia tidak boleh bergerak jauh memandangkan kondisi mata kanannya yang buta serta saraf otak yang tidak stabil boleh menyebabkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu isterinya, Ainaa, 23, seorang penghidap athma kronik sejak kecil, kini menyara kewangan keluarga dengan menjual baju secara dropship di atas talian (online). Komisen yang diterimanya hanyalah sekitar RM 50 dalam seminggu, bergantung kepada kehendak dan permintaan pelanggan.

Amer dan Ainaa mempunyai dua orang cahaya mata, iaitu Raudhatul Mariyah, 2, dan Ukhail Rasyad, 1. Namun, membesarkan kedua-dua anaknya ini memerlukan ketabahan kerana mereka berdua ialah penghidap athma kronik juga.

Sebelum ini, mereka pernah ditaja oleh seseorang untuk menjalankan perniagaan pisang goreng berdekatan rumah. Namun, akibat penyakit athma yang sering menyerang Ainaa, ditambah pula perlu membawa kedua-dua anak kecil yang turut mempunyai athma, mereka tidak mampu untuk meneruskan perniagaan kerana perlu menumpukan perhatian sepenuhnya pada penjagaan anak dan kesihatan diri mereka sendiri.

 

TIGA TAHUN MENDERITA

Sebelum ini mereka pernah memohon bantuan zakat dan sara hidup Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tergendala kerana Amer tiada laporan kesihatan. Kisahnya, sewaktu selepas kemalangan pada 2014 dulu, Amer dirawat di Hospital KPJ Damansara. Segala bil rawatan yang mencecah ribuan ringgit itu ditanggung penuh oleh insurans syarikat tempat ayahnya bekerja.

Selepas pulih daripada pembedahan dan rawatan, Amer perlu mendapatkan rawatan susulan pula bagi tempoh-tempoh tertentu. Namun disebabkan mengalami masalah kewangan, kali terakhir Amer menjalani rawatan tersebut  ialah pada Mei 2015. Dan akibatnya, Amer tidak mendapat sebarang rawatan dan ubatan sehinggalah September 2018.

Suasana bilik mereka sekeluarga. Lagi sebuah bilik dijadikan stor.

Hampir tiga tahun jugalah Amer menderita sakit. Nak ke hospital, tiada kenderaan. Matanya buta sebelah, mana mungkin mampu untuk menunggang motosikal dari Cheras ke KPJ Damansara, itu belum lagi jika diserang sawan secara tiba-tiba.

Ainaa menjelaskan, suaminya itu kerap diserang sawan ketika tidur. Itulah perkara yang sering terjadi akibat tidak mendapat rawatan. Sebagai isteri, Ainaa tidak mempunyai apa-apa lagi daya kekuatan selain menangis dan mengharap agar suaminya itu mendapat rawatan segera dan kembali pulih. Tiga tahun menunggu, bukan tempoh yang sekejap.

Perkara paling penting di sini  ialah rekod laporan kesihatan Amer yang sudah tiga tahun ‘membeku’ tanpa ada apa-apa kemas kini. Untuk mencari semula rekod laporan kesihatannya itu, ianya agak mengambil masa dan prosesnya agak panjang.

Kata Ainaa, satu-satunya cara untuk Amer boleh mendapatkan laporan kesihatan dalam kadar segera adalah dengan menghubungi terus pihak doktor pakar yang merawatnya dahulu pada 2015 lalu iaitu Dato’ Dr. Zurin Adnan Abdul Rahman, pakar neurologi KPJ Damansara bagi menjalani diagnosis komplikasi penyakit saraf, seterusnya mendapatkan dokumentasi laporan kesihatan untuk diserahkan kepada pihak zakat dan JKM dalam usaha mendapatkan bantuan hidup selayaknya.

Cuma, masalah yang timbul di sini ialah kos. Ainaa dan Amer tidak mempunyai wang simpanan yang banyak untuk menampung kos pembayaran medical check-up bersama pakar di KPJ itu. Lebih-lebih lagi KPJ Damansara adalah sebuah hospital swasta. Sudah tentu bayarannya agak mahal.

 

BANTUAN AWAL

Memandangkan permohonan zakat Amer sebelum ini belum diluluskan atas sebab tiada laporan kesihatan hospital, kami cuba menghubungi zakat dan menerangkan tentang masalah mereka sekeluarga secara terperinci. Usai penerangan, pihak zakat bersetuju untuk datang ke rumah Amer bagi tujuan bancian maklumat keluarga.

Selain daripada memerlukan laporan kesihatan daripada pakar, Ainaa dan Amer juga memerlukan beberapa barangan lain untuk teruskan hidup. Misalnya, gas inhaler athma untuk Ainaa dan kedua anaknya, susu, pampers, barangan asas dan kelengkapan dapur seperti tong gas, meja dapur dan rak dapur gas.

Pernah satu hari, Ainaa menghubungi kami melalui emel dan menyatakan bahawa mereka sekeluarga terputus bekalan makanan. Memikirkan tentang dua anak kecil itu, sementara menunggu tarikh serahan bantuan yang akan dijalankan, kami segera menempah sebuah tong gas dan menghantarnya ke rumah Ainaa segera.

Masih ingat lagi, pada hari kami menghantar tong gas tersebut, waktu itu sudah petang, kami masih risau sebab teringatkan nasib dua anak kecil yang mungkin kelaparan akibat tiada makanan. Sejurus tiba di rumah mereka, Amer menyatakan bahawa pada tengahari hari tersebut, pihak zakat telah datang menghantar barangan makanan. Baru saja dibanci beberapa hari lepas, akhirnya bantuan zakat makanan untuk mereka tiba juga tepat pada waktunya. Alhamdulillah, itu rezeki.

Dan tiba pada hari serahan Bantuan Salam pula, team MVM datang ke rumahnya dengan membawa barangan bantuan yang sudah dijanjikan seperti gas inhaler, susu, pampers, meja dapur, kotak barangan asas dan rak dapur gas. Amer dan Ainaa mengucapkan syukur dan terima kasih kepada kami atas ihsan menyumbangkan kepada mereka barangan tersebut, lebih-lebih lagi gas inhaler athma itu.

 

Namun di akhir pertemuan, setelah selesai urusan serahan Bantuan Salam, Ainaa menyuarakan satu soalan yang nada dan maksudnya penuh dengan pengharapan,

“Macamana pula ye dengan status bantuan laporan kesihatan suami saya tu cik Adnin?”

 

STRATEGI DUA TANGAN DIATUR

Kami sekali lagi menghubungi pihak zakat bagi membincangkan masalah mendapatkan laporan kesihatan Amer. Kami menerangkan secara jelas tentang kepentingan laporan kesihatan itu. Amer hanya akan layak memohon pelbagai bantuan sekiranya laporan kesihatan itu ada. Itu ibarat nyawa Amer.

Pihak zakat menyatakan bahawa mereka boleh membantu dalam kes ini, di mana mereka akan menanggung kos medical check-up tersebut. Ini adalah peluang terbaik untuk Unit Salam MVM bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor secara langsung.

Setelah disepakati, pihak zakat akan membantu dari segi kos pembayaran bil, manakala kami pula akan menguruskan urusan temu janji bersama pihak pakar, penetapan tarikh dan logistik. Akhirnya tarikh temu janji yang ditetapkan oleh pihak pakar ialah pada 24 September 2018.

Tepat pada tarikh tersebut, seawal jam 8 pagi, kami menuju ke rumah mereka di Cheras untuk dibawa ke KPJ Damansara bagi tujuan temu janji dan medical check-up bersama pakar. Tiba di sana, Amer meneruskan sesinya bersama pakar manakala kami dan Ainaa beserta dua anaknya hanya menunggu sahaja di ruang menunggu.

 

CEMAS

Ketika sedang menunggu giliran, tiba-tiba Ukhail Rasyad, anak kecil mereka diserang athma. Dadanya berombak dan nafasnya sesak. Kata Ainaa, ini kali pertama anaknya diserang athma sebegini. Dalam waktu yang singkat dan cemas itu, kami terpaksa merancang satu pelan kecemasan dan mesti dilaksanakan dalam kadar segera.

Hairudin, unit media yang mengiringi urusan ini diminta untuk terus berada di bilik menunggu bagi menemani Amer, manakala Adnin, Unit Salam akan segera membawa Ainaa dan anaknya Ukhail Rasyad ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan athma.

Dalam masa kurang 10 minit, Adnin bersama Ainaa dan Ukhail tiba di Klinik Famili TTDI yang terletak di seberang KPJ. Tiba sahaja di klinik, Ainaa terus membawa anaknya ke bilik rawatan athma untuk menyedut gas.

Selepas hampir setengah jam, nafas Ukhail kembali normal. Ainaa dan Adnin menarik nafas lega kerana anak kecil itu selamat daripada sebarang musibah yang tidak diingini. Adnin menguruskan pembayaran caj rawatan kepada pihak klinik. Situasi cemas itu sudah pun berakhir dan kami kembali ke KPJ dengan tenang.

 

OTAK SELAMAT DIIMBAS

Setibanya kami di KPJ, barulah giliran Amer dipanggil untuk masuk ke bilik pakar. Agak lama juga dia menunggu gilirannya. Mungkin sebab ramai pesakit lain yang turut ada temu janji bersama pakar tersebut pada hari itu.

Mula-mula Amer berjumpa dahulu dengan Dr. Zurin. Ada perbincangan dan penerangan yang ditunjukkan Dr. Zurin mengenai proses diagnosis Amer. Lalu Amer diminta untuk pergi ke bahagian imbasan MRI bagi mengimbas keadaan tengkorak dan otaknya.

Setelah menjalani imbasan MRI, Amer kembali ke bilik Dr. Zurin. Setelah itu, Dr. Zurin menunjukkan keputusan imbasan MRI yang dijalani sebentar tadi. Ternyata ada perkembangan positif pada keadaan otak Amer.

Usai medical check-up, Dr. Zurin memberikan satu dokumentasi laporan medical check-up kepada Amer. Itulah benda yang paling Amer perlukan selama ini. Amer, Ainaa dan kami team MVM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Zurin atas keperihatinannya membantu menguruskan laporan kesihatan Amer.

Dengan adanya laporan kesihatan itu, Amer boleh mendapatkan rawatan susulan untuk kesihatan otaknya. Maknanya selepas ini, Amer tidak perlu lagi bersusah-payah untuk ke KPJ Damansara bagi mendapatkan rawatan kerana laporan kesihatan yang dikeluarkan oleh Dr. Zurin itu boleh dibawa ke Hospital Kajang dan Amer boleh menjalani rawatan susulan di situ sahaja.

Berbanding KPJ Damansara, caj rawatan di Hospital Kajang jauh lebih murah. Selain itu, dengan berpindahnya lokasi rawatan Amer, ianya sangat membantu daripada segi kemampuan Amer sendiri kerana jarak dari rumahnya ke Hospital Kajang agak dekat. Amer juga boleh ke hospital dengan menaiki motosikalnya sahaja. Lihat, betapa pentingnya laporan kesihatan tersebut.

Di akhir sesi medical check-up, kami ke kaunter pembayaran bagi menguruskan bayaran caj rawatan. Kos keseluruhan bagi medical check up tersebut yang merangkumi konsultasi pakar, imbasan MRI, rawatan dan ubatan ialah berjumlah sebanyak RM 717.15 dan kos itu ditanggung penuh oleh pihak zakat. Amer dan Aina mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan yang diberikan oleh MVM dan zakat. Kira-kira jam 4 petang, kami pun beredar meninggalkan KPJ Damansara dengan rasa puas hati.

 

TENANG YANG KEMBALI CEMAS

Ketika dalam perjalanan menuju ke Cheras melalui lebuhraya SKVE, sekali lagi Ukhail Rasyad diserang athma. Suasana perjalanan yang tadinya sepi kini menjadi cemas. Kali ini keadaan Ukhail Rasyad lebih parah daripada yang sebelum ini. Nafasnya tersekat-sekat, badannya lembik, mukanya pucat kebiruan dan diam tidak merengek.

“Adik..tunggu dulu..kejap dik..”

Rayu Ainaa dengan nada yang penuh sayu dan tidak keruan. Sebagai ibu, tiada apa lagi yang penting di dunia ini pada waktu itu selain nyawa anaknya selamat. Adnin yang memandu kereta juga sudah mulai cemas. Kajang masih jauh, jalan pula mungkin akan sesak sebab waktu petang ialah waktu orang balik ke rumah dari tempat kerja.

Kebetulan ketika di laluan tersebut, tertera arah Hospital Kajang di signboard jalan. Dengan sedikit pecutan, serta-merta Adnin memberi signal kiri untuk keluar dari lebuhraya tersebut dan menuju ke Hospital Kajang dengan kadar segera.

Namun perjalanan agak terganggu kerana jalan raya menghala ke Hospital Serdang mengalami kesesakan teruk. Tindakan terbaik yang perlu dibuat ialah menyalakan lampu kecemasan. Alhamdulillah pemandu-pemandu lain faham tindakan kami lantas memberi laluan untuk kami segera menuju ke arah hospital.

Ainaa pula masih mengusap belakang anaknya itu yang sudah senyap dan lembik. Di saat genting itu bibirnya tidak henti-henti berselawat, berzikir dan membaca apa sahaja ayat-ayat penyembuh, demi nyawa anaknya. Pada waktu kritikal sebegini, emosi perlu dijaga. Boleh cemas, tapi jangan serabut, jangan koyak. Lebih baik tenang dan fokus agar masalah boleh diselesaikan.

Setibanya di perkarangan Bahagian Kecemasan, Ainaa, Amer dan dua anaknya terus keluar dari pintu kereta dan meluru ke dalam untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Buat pengetahuan semua, serangan athma adalah termasuk dalam kategori rawatan kecemasan yang perlu tindakan segera.

Sementara menunggu Ainaa dan Ukhail Rasyad menyedut gas, Adnin dan Amer bersama Raudhatul Mariyah hanya  menunggu di kawasan tempat duduk luar sahaja. Suasana hingar hospital pada petang itu terasa sunyi dek debaran yang menguasai dada dan fikiran; bagaimana keadaan Ukhail pada waktu itu. Selamatkah?

Saat berganti saat, setelah hampir 40 minit, akhirnya Ainaa muncul membawa Ukhail keluar dari bilik rawatan dalam keadaan selamat. Jelas terpampang riak kesyukuran di wajah Ainaa dan Amer apabila Ukhail selamat kembali bernafas dengan normal.

Setelah mengambil ubat di kaunter farmasi, kami semua kembali ke kereta dan beredar meninggalkan Hospital Serdang dengan perasaan yang pelbagai. Tidak dijangka, dalam satu hari, anaknya boleh diserang athma sebanyak dua kali di dua lokasi berlainan dan dua waktu berbeza. Sepanjang perjalanan, Ainaa kelihatan lega dan bersyukur apabila mengenangkan situasi cemas tadi.

Tepat jam 7 petang, akhirnya kami selamat tiba di rumah. Ainaa dan Amer mengucapkan terima kasih banyak-banyak kerana sudi membawa mereka sekeluarga berurusan dengan pakar seharian, dari pagi hingga lewat petang.  Kami menerima penghargaan tersebut dengan rasa bersyukur kerana dapat menjalankan tugas dengan baik.

Sungguh tak dijangka, pada hari tersebut kami dapat banyak pengalaman baharu; iaitu berurusan dengan doktor pakar, berpecah tugas ketika bawa Ukhail Rasyad ke klinik semasa tengahari itu, bertugas seharian dari awal pagi hingga lewat petang dan paling penting, dapat bertindak pantas menyelamatkan nyawa seorang anak kecil.

Dengan senyuman yang mengiringi, kami bersalaman dan melambai ke arah mereka lalu perlahan-lahan beredar meninggalkan mereka di perkarangan flat itu. Semoga apa yang kami jalankan hari itu menjadi asbab untuk kita semua terus melakukan kebaikan kepada mereka yang memerlukan.

Tahniah Encik Amer kerana bakal mendapat rawatan kembali dan bantuan-bantuan hidup yang lain. Semoga berbahagia. Jumpa lagi!

 

 

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.