Bantuan Salam: “Dalam Lima Saat, Kami Boleh Mati.”

“DALAM LIMA SAAT, KAMI BOLEH MATI.”

Oleh: Nur Adnin Abdul Razak

Insiden lima saat, satu tragedi ngeri, tiga nyawa kritikal. Itulah satu episod hitam dalam kehidupan mereka sekeluarga.

Pada 16 November lalu, En. Hery, Kak Noraini serta anaknya menaiki motosikal bertiga dalam perjalanan menuju dari Kuala Selangor ke Port Dickson.

Ketika masih dalam ‘highway’, sewaktu itu mereka dah sampai kawasan Dengkil, sedang En. Hery menunggang motosikal di lorong kiri (lorong kecemasan yang menjadi laluan motosikal), tiba-tiba muncul sebuah kereta dari arah belakang masuk ke lorong kecemasan.

Kereta itu memintas secara mengejut. Akibat tindakan ‘tiba-tiba itu’, En. Hery sangat terkejut dan tidak sempat menekan brek bagi mengelak daripada merempuh belakang kereta tersebut.

Dalam kadar lima saat sejurus kereta itu mencelah, motosikal mereka tidak mampu mengelak dan akhirnya ‘terpaksa’ merempuh belakang kereta itu.

Kelihatan ramai orang awam cuba membantu di tempat kejadian.

Akibat rempuhan kuat, motosikal ‘melekat’ di bonet kereta dan mengakibatkan En. Hery mengalami kecederaan serius; patah tulang tangan dan kakinya. Manakala Kak Noraini dan anaknya pula melambung tercampak ke atas jalan.

Selepas perlanggaran dahsyat itu berlaku, dikatakan banyak penunggang motosikal berhenti untuk memberikan bantuan.

Si pemandu kereta itu pula turut berhenti dan membantu ketika itu. Ketika kejadian, mereka bertiga pengsan serta tidak sedarkan diri, dan kembali sedar beberapa minit selepas itu.

Menurut Kak Noraini, kemalangan berpunca apabila si pelanggar itu menerima satu panggilan kecemasan di telefonnya.

Akibat mahu segera menjawab, dia terus masuk ke lorong kecemasan TANPA MEMBERI SIGNAL. Kerana itulah, suaminya langsung tidak menjangka bahawa kereta itu mahu ke tepi.

Ini dibuktikan dengan gambar dan siasatan pihak polis trafik yang mengesahkan bahawa pemandu itu jelas berlaku salah kerana tidak memberi signal sebelum keluar dari lorong.

Dan situasi itu berlaku dalam lima saat, memang tidak sempat untuk bertindak apa-apa melainkan ‘terpaksa’ merempuh kereta tersebut.

Ambulans dipanggil dan tiba di lokasi kejadian. Tanpa membuang masa, mereka dikejarkan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan kecemasan dalam kadar segera, kemudian dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

Keadaan motosikal En. Hery yang rosak teruk di bahagian depan akibat menghentam belakang kereta tersebut.

Impak tragedi ngeri itu menyebabkan Kak Noraini mengalami kepatahan pada tulang pinggulnya. Ianya agak mengerikan kerana boleh mengakibatkan fungsi semulajadi wanitanya boleh musnah.

Selain itu, sebahagian tulang peha kirinya juga turut patah, ditambah dengan luka-luka badan yang teruk. Manakala En. Hery pula tangan dan kakinya patah hingga terpaksa dimasukkan besi. Bagaimana pula dengan si anak?

Anak kecil mereka turut mengalami pendarahan di kepala, pipi dan bahagian-bahagian luaran lain yang agak parah juga. Motosikalnya pula rosak teruk. Sekelip mata, hidup mereka berubah.

Setelah menjalani rawatan, mereka dibenarkan untuk pulang ke rumah.

En. Hery ketika menjalani rawatan di wad hospital.

BERMULA KEHIDUPAN BAHARU

Bagai dilahirkan semula, En. Hery dan Kak Noraini memulakan hidup baharu dengan cara yang berbeza. Akibat kemalangan itu, En. Hery terpaksa bergantung kepada tongkat untuk bergerak.

Manakala Kak Noraini pula terpaksa bergantung pada kerusi roda setiap masa. Tulang pinggulnya masih belum menunjukkan tanda stabil sehingga kini.

Sejak kejadian itu, insan yang paling banyak membantu kehidupan mereka sekeluarga ialah mak En. Hery, iaitu mertua Kak Noraini.

Memandangkan mertuanya itu memang orang kampungnya juga, maka keraplah dia bertandang ke rumahnya untuk bantu menguruskan beberapa perkara seperti memasak, gosok baju sekolah anak dan lain-lain.

“Dulu mertua akak la yang selalu masakkan. Sekarang akak dah boleh usaha masak sendiri sikit-sikit,” kata Kak Noraini.

Tidak kurang juga, seorang lagi insan yang sangat bertanggungjawab dalam bantu menghantarkan kedua-dua anaknya yang bersekolah ialah adiknya, Yusuf.

Walaupun Yusuf baru berumur 19 tahun dan seorang OKU lembam, namun dia berjaya melaksanakan tugasan itu dengan baik.

 

MENGIMBAU SEMALAM

Sewaktu sebelum kejadian, En. Hery mencari nafkah untuk menyara keluarga dengan menjalankan kerja-kerja kampung seperti potong rumput, kontrak bina rumah, longkang dan sebagainya. Pendapatannya pula tidak tetap.

Manakala Kak Noraini pula bekerja sebagai petugas di salah sebuah klinik swasta di Kuala Selangor. Namun akibat kemalangan tersebut, kini mereka berdua tidak lagi mampu bergerak jauh ke mana-mana, apatah lagi keluar bekerja.

En. Hery bersama dua orang anak perempuannya, Nur Damia Safiya dan Nurin Erina.

Ibu kepada empat orang anak ini menyatakan bahawa mereka masih perlu menanggung persekolahan kedua-dua anaknya.

Setiap hari, Kak Noraini memperuntukkan RM 2.00 duit belanja sekolah untuk dua orang anaknya. Seorang RM 2.00, dua orang sudah RM 4.00. Tambahan pula, kedua-dua anaknya itu bersekolah di sesi pagi dan petang (sekolah agama).

Jadi jumlah keseluruhannya ialah RM 8.00 sehari. Segala duit belanja itu menggunakan wang simpanan ketika Kak Noraini bertugas di klinik swasta tersebut.

“Inipun duit tu dah tinggal sikit..”

KEJAP DUDUK, KEJAP BARING

Kak Noraini menyatakan kepada kami bahawa dia tidak boleh duduk terlalu lama di kerusi rodanya. Adakalanya perlu baring juga. Doktor pun menasihatkan agar banyakkan bergerak untuk kembali stabilkan tulang.

Di ruang tamu rumah mereka terdapat dua katil untuk kegunaan Kak Noraini dan suaminya yang turut lengkap dengan segala peralatan sokongan rehabilitasi seperti frame walker, bekas buang air kecil dan sebagainya.

Dua buah katil kegunaan En. Hery dan Kak Noraini setiap hari yang terletak di ruang tamu rumahnya.

Untuk memasak pula, dapur telah dipindahkan ke ruang tengah yang lebih dekat dengan ruang tamu, serta lebih rendah bagi memudahkan Kak Noraini masak.

Terbit rasa kagum dalam hati kami apabila melihat keadaan Kak Noraini yang sebegitu, namun masih tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu.

Ruang dapur yang kecil dan rendah memudahkan Kak Noraini memasak dari atas kerusi roda sahaja.

DI MANA KEADILAN?

Untuk pengetahuan semua, kes ini telah dibawa ke muka pengadilan. Pihak berkuasa memaklumkan bahawa proses dakwaan kes ini agak mengambil masa yang lama.

Kes kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang keluar dari lorong secara tiba-tiba tanpa memberi signal dan menyebabkan berlakunya hentaman kuat oleh penunggang motosikal dari arah belakang sehingga mengakibatkan mangsa cedera parah dan berisiko mengalami kecacatan kekal.

Kes ini bukan kes yang ringan. Ianya melibatkan undang-undang jalan raya, pembelaan peguam, tuntutan insurans, rawatan kritikal, risiko dan sebagainya.

Mereka perlu tunggu sehinggalah dipanggil ke mahkamah untuk menuntut hak mereka dalam perbicaraan bersama pemandu tersebut.

Yang menyedihkan, Kak Noraini memberitahu, setelah hampir tiga bulan kes ini berlalu, insan yang menyebabkan mereka kemalangan ketika kejadian itu masih senyap sehingga kini.

Tiada khabar berita, tiada panggilan, tiada apa-apa. Dalam erti kata lain, mereka berdua terpaksa melalui hari-hari mereka dalam keadaan kurang upaya, manakala si pemandu itu pula bebas dan hilang entah ke mana.

En. Hery bertongkat, Kak Noraini berkerusi roda. Semuanya adalah pinjaman orang. Hari mereka seakan gelap. Bagaimana mahu hidup dengan cerah kalau cahaya sendiri sudah diragut oleh mereka yang sudah pergi?

BANTUAN UNTUK BERNAFAS

Sejak Disember lalu, En. Hery dan Kak Noraini mendapat bantuan sewa rumah sementara oleh pihak zakat. Selain itu, bantuan lain yang diterima ialah bantuan persekolahan dan wang sara hidup bulanan berjumlah RM 500.

Namun apabila masuk ke tahun 2019 ini, maklumat asnaf mereka perlu dibanci semula oleh pihak zakat bagi memastikan bantuan-bantuan tersebut masih diteruskan.

“Jadi macamana pula dengan bantuan JKM? Kad OKU? Rawatan fisioterapi?” kami cuba bertanya.

Bagi rawatan fisioterapi, Kak Noraini memberitahu bahawa surat doktor sudah ada padanya, namun dia belum berkesempatan untuk menghantar surat itu di klinik terdekat yang menyediakan rawatan tersebut.

Begitu juga dengan permohonan bantuan JKM dan kad OKU, dia dan suaminya masih belum menghantar sebarang permohonan atas sebab satu perkara; kenderaan.

Kereta Perodua Kancil yang dibeli beberapa tahun dahulu sudah lama rosak. Sebab itu mereka pulang ke kampung di Port Dickson hanya menunggang motosikal sahaja sehingga terjadinya kemalangan.

Motosikalnya pula sudah rosak. Jadi mereka seakan ‘tergantung’, terasa terhalang untuk bergerak ke mana-mana. Lagipun tiada siapa yang boleh membantu untuk bawa mereka ke pejabat zakat, JKM dan klinik.

Memandangkan kedua-duanya sudah tidak mampu bekerja, kami nampak Kak Noraini dan En. Hery amat memerlukan bantuan sara hidup sebegitu untuk meneruskan kehidupan mereka sekeluarga.

Antara usaha yang boleh kami jalankan ialah melaporkan kes Kak Noraini ini kepada pihak Lembaga Zakat Selangor dan JKM bagi membantu mereka daripada segi logistik untuk menguruskan permohonan-permohonan bantuan dan sebagainya.

Insya Allah, kami daripada Unit Salam MVM akan berbincang bersama pihak pengurusan untuk memberikan bantuan yang sesuai kepada mereka sekeluarga mengikut keadaan semasa.

Sama-samalah kita mendoakan agar kes perbicaraan di mahkamah nanti berjalan lancar dan kebenaran berpihak kepada mereka. Semoga urusan En. Hery dan Kak Noraini dipermudahkan Allah SWT. Allahumma ameen.

Adnin, Unit Salam MVM diiringi Najib, Unit Media MVM menyampaikan kotak barangan asas Pure Heart kepada En. Hery dan ibunya serta Kak Noraini sebagai buah tangan ketika di akhir sesi ziarah.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.