Oleh: Imran Abd Moin, Intern Unit Salam MVM
Anak yang sepatutnya menjaga kedua orang tua tidak termampu kudratnya apabila beliau terkena serangan angin ahmar pada bulan Ogos 2018 yang lepas. Sudah hampir enam bulan beliau hanya mampu baring dan duduk sahaja kerana lumpuh separuh bahagian kanan badannya.
Ermy tinggal dengan ayahnya yang merupakan seorang pesara tentera juga menghidap penyakit buah pinggang bernanah sehingga menyebabkan si ayah terpaksa membuat rawatan dialisis setiap dua hari sekali.
Melihat kecekalan emaknya, Puan Esnon Ariffin, cekal menjaga suami dan anak tunggalnya itu walau pun hakikatnya beliau tidaklah sekuat mana pun.
“Kadang-kadang, makcik pun terasa tak larat. Menggigil tangan ini”, luahnya.
Kos perbelanjaan Ermy bagi ubat-ubatannya mencecah RM 300 sebulan, iaitu ubat kencing manis, ubat saraf dan ubat pengawalan darah tinggi yang menjadi penyebab utama serangan angin ahmar tersebut.
ADA BAKAT TERSENDIRI
Percaya ataupun tidak, ketika Ermy sihat dahulu, beliau mempunyai satu hobi dan kemahiran unik, yang jarang ditemui pada insan-insan lain.
Ermy mempunyai bakat dalam pembuatan replika model kapal terbang pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Sebelum ini memang tiada kerja tetap, tak menentu. Buat model kapal terbang pejuang ini ada lah hasilnya, paling kurang RM 300 untuk sebuah model boleh terjual”, jelasnya.
KORBAN DEMI MAK AYAH
Antara punca beliau tidak mempunyai kerja tetap dahulu adalah disebabkan faktor kesihatan kedua emak dan ayahnya, beliau lah yang akan membawa mereka ke hospital apabila ada pemeriksaan kesihatan.
Sampai begitu sekali Ermy berkorban, tidak kisah tentang diri sendiri, asalkan kebajikan mak dan ayahnya terjaga.
Sementara itu, anak buah Puan Enson, Nur Azizah Jaafar, salah seorang sukarelawan MVM juga sering membantu menguruskan kehidupan mereka sekeluarga.
IZINKAN ERMY BANGKIT
Selain itu, beliau hanya terdampar baring di atas sebidang toto yang sangat nipis dan tidak empuk, terletak di ruang tamu.
Setakat ini, Ermy hanya boleh bergerak ke tandas dengan cara mengengsot sahaja memandangkan tempat pembaringannya berdekatan dengan tandas.
Setiap hari, Ermy melakukan senaman tangan menggunakan alat khas kepunyaan ayahnya untuk proses menguatkan kembali urat dan otot tangan kanannya.
Kekangan berlaku apabila Ermy tidak mampu untuk bergerak jauh. Lantas mengakibatkan dirinya tidak dapat menjalani rawatan fisioterapi di luar kerana tidak mampu berjalan, tambahan pula rumahnya berada di tingkat 2.
Apa yang kami lihat, Ermy adalah seorang yang ingin kembali bangkit dari keadaannya sekarang. Beliau cuma memerlukan masa lebih dan terus cekal.
Semoga suatu masa nanti Ermy akan kembali menjadi penjaga kepada kedua orang tuanya, dan kembali normal seperti dulu.
Jika anda mahu menyumbang kepada insan-insan seperti Ermy dan lain-lain, anda boleh hulurkan sumbangan anda di Tabung Bantuan Salam. Kami sangat mengalu-alukan sumbangan anda.
Moga Allah kembalikan kekuatan kepada Puan Enson sekeluarga, InsyaAllah.