BANTUAN SALAM: HADIR TERANG SETELAH GELAP
Oleh: Nur Adnin Abdul Razak
Ingat lagi kisah Makcik Noraini dan suaminya Pakcik Nazli yang dibelenggu masalah tunggakan bil api, serta terpaksa berpenat mencari duit untuk bayar pinjaman perniagaannya itu?
Team Unit Salam MVM membawa kisah Makcik Noraini ini ke pihak pengurusan untuk dibincangkan tentang kelulusan memberikan Bantuan Salam kepada mereka sekeluarga.
Memandangkan kami semua nampak kesungguhan Makcik Noraini berniaga dan menyara keluarga, maka pihak pengurusan meluluskan Bantuan Salam kategori perniagaan kepada mereka.
BANTUAN TIBA
Pada hari yang ditetapkan, kami menuju ke kediaman Makcik Noraini di Cheras untuk menyampaikan barangan Bantuan Salam.
Kali ini kami membawa seoran rakan staf daripada Jabatan Kewangan, iaitu Nadia untuk turut sama membantu dalam misi serahan barangan Bantuan Salam ini.
Sampai sahaja di rumahnya, kedatangan kami disambut dengan senyuman. Mungkin Makcik Noraini gembira kerana permohonannya untuk mendapat Bantuan Salam diluluskan.
Barangan perniagaan yang kami bawakan ialah sebuah periuk nasi berkapasiti 10 liter dan sebuah kanopi niaga bersaiz ukuran 8 x 8.
Periuk nasi itu diberikan supaya Makcik Norani tak perlu lagi berpenat untuk memasak nasi lemak berulang-kali menggunakan periuk nasi kecil.
Dengan adanya periuk nasi bersaiz besar ini, cukup sekali atau dua kali sahaja Makcik Noraini boleh masak dengan kuantiti yang lebih banyak serta menjimatkan masa.
Manakala kanopi baharu pula diberikan kerana Makcik Noraini tak perlu lagi meminjam kanopi lama itu daripada kawannya.
Rasanya kita sendiri pun biasanya lebih selesa menggunakan barangan milik sendiri tanpa meminjam orang lain.
Saiznya yang berukuran 8 x 8 itu sangat sesuai untuk perniagaan kecil seperti nasi lemak, malah akan ada ruang lebihan untuk dijadikan sebagai tempat duduk.
MEREKA TAKKAN BERGELAP
Menyentuh tentang tunggakan bil api, Unit Salam MVM dengan kerjasama pihak Jabatan Kewangan MVM bersetuju untuk membantu melunaskan bayaran tunggakan utilitinya yang agak tinggi dan ‘menunggu masa’ itu.
Makcik Noraini sempat menarik nafas lega kerana mereka sekeluarga telah terselamat daripada hidup dalam keadaan bergelap tanpa bekalan elektrik akibat pemotongan bekalan. Alhamdulillah.
HUTANG TETAP HUTANG
Meskipun Makcik Noraini mendapat barangan perniagaan seperti periuk nasi dan kanopi serta bantuan tunggakan utiliti, namun bayaran untuk pinjaman perniagaannya itu masih perlu dilangsaikan seperti biasa.
Akan tetapi bagi Makcik Noraini, selagi hayat ditanggung badan, selagi ada nyawa, Makcik Noraini masih lagi boleh meneruskan jualan nasi lemaknya dengan lancar dalam usaha mahu melunaskan bayaran pinjamannya itu.
Seperti yang kita faham, setakat ini pun Makcik Noraini belum pernah lagi tertunggak untuk bayar pinjaman tersebut.
Cuma keadaan kurang mengizinkan bilamana peluang untuk menyimpan sebahagian pendapatan hasil jualan itu kurang sehingga menyebabkan bil api rumahnya tertunggak.
Dengan Bantuan Salam melalui sumbangan perniagaan dan tunggakan utiliti itu tadi, sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung Makcik Noraini.
Maka bolehlah Makcik Noraini meneruskan jualan nasi lemaknya itu seperti biasa untuk mencari duit menanggung ekonomi keluarga serta bayaran semula pinjaman.
Semoga bayaran pinjaman Makcik Norani dapat diselesaikan secepat mungkin dan semoga perniagaan Makcik Noraini bertambah maju pada masa akan datang.
Kami daripada Unit Salam MVM mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sumbangan dan kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk terus membantu insan-insan yang memerlukan.
Terima kasih rakyat Malaysia.