Bantuan Salam : “Irfan teringin nak keluar melihat dunia..”

“Irfan teringin nak keluar melihat dunia..”

Latar lokasi cerita ini terletak di sebuah pangsapuri di Lembah Klang. Di sebalik rumah yang tinggi itu, ada sekujur tubuh kecil yang terlantar di atas lantai melihat masa-masa berlalu. Adik Irfan, 10, menghidapi komplikasi Cerebral Palsy (CP) sejak lahir lagi. Kehidupan sehariannya hanya terlantar di atas tilam, tanpa boleh bergerak ke mana-mana. Siang dan malam, dia laluinya dengan cara tersendiri.

Meskipun umurnya 10 tahun, saiz fizikalnya tidak ubah seperti kanak-kanak empat tahun, kecil sahaja. Pemakanannya bukan sebarangan, adik Irfan hanya boleh makan makanan bijirin seperti Nestum, diselangi dengan susu Ensure Gold. Masalah usus yang dihidapinya agak menyukarkan untuk Adik Irfan menjamah makanan lain.

Pernah suatu ketika, Adik Irfan dikejarkan ke wad kecemasan di Hospital Serdang kerana sudah seminggu tidak membuang air besar. Apabila didiagnosis oleh doktor, rupa-rupaya semua makanan yang dicerna tersumbat dalam saluran usus sehingga mampat dan mengakibatkan ususnya bengkak.

Adik Irfan hanya bergantung sumber pemakanan dengan susu Ensure Gold Wheat sahaja. Namun harganya bukan murah. Satu tin Ensure Gold Wheat seberat 850g boleh menjangkau kira-kira RM 80.00 dan kadar kuantiti minumannya sebanyak 15 kali sehari berselang bijiran Nestum bersamaan kira-kira 10 tin sebulan.

Walaupun mendapat bekalan susu daripada pihak zakat, namun adakalanya bekalan terputus, bergantung pada kondisi kesihatan Adik Irfan sendiri. Disebabkan pemakanannya terhad kepada susu dan bijirin, ditambah pula dengan gangguan masalah usus yang kerap dialaminya, fizikal Adik Irfan hanya seberat 12 kg dan tingginya 90 cm. Ianya jauh berbeza dengan kanak-kanak normal berumur 10 tahun yang lain.

Disebabkan pergerakannya agak terbatas kerana tidak mampu berdiri, ibu ayahnya akan mengangkat dan mendukungnya ke mana sahaja. Kebiasaannya pesakit CP amat bergantung pada alatan rehabilitasi sebagai sokongan utama untuk bergerak, salah satunya adalah kerusi roda boleh laras (reclining wheelchair) khas pesakit CP.

Salah satu kepentingan kerusi roda ini adalah sebagai tempat utama untuk pesakit CP duduk. Ia mempunyai tali pinggang, pelaras kelebaran, pelaras tengkuk, pelaras pembaringan, penahan anti-gelongsor dan pelaras kaki. Fungsi ini amat penting untuk menyokong tubuh pesakit CP sepertinya yang sentiasa terlantar setiap masa tanpa apa-apa daya keupayaan.

Namun, nilainya bukanlah murah seperti kerusi roda biasa. Harga sebuah kerusi roda khas untuk pesakit CP kategori pediatric (kanak-kanak) boleh menjangkau sehingga RM 1500-RM 3000. Ianya agak tinggi dan di luar kemampuan ibu ayahnya. Tambahan pula ia perlu digunakan untuk tempoh yang panjang.

Untuk makluman, si comel ini adalah anak kepada pasangan suami isteri Kak Zaiton dan Pakcik Yusof. Rumah ini jika dilihat sekali imbas, ia seperti rumah yang lengkap tanpa ada masalah. Namun, setelah diteliti melalui kisah sebenar, semua harta yang ada dalam rumah tersebut adalah hasil pekerjaan Pakcik Yusof sebelum ini sebagai pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) suatu ketika dahulu.

Namun, disebabkan sakit jantung yang kerap menyerangnya, kondisi badannya tidak mampu bertahan lama untuk mengizinkannya agar terus bekerja. Sampai masa, Pakcik Yusof terpaksa berhenti kerja dan kini hanya mampu menyara isteri dan lapan orang anak dengan pendapatan sebagai pemandu van pekerja secara sambilan yang pendapatannya tidaklah seberapa. Ada ‘job’, adalah rezeki.

Selain si ayah yang bekerja, anak sulung mereka Khairul Izwan, 20, sudah menjalankan tanggungjawab membantu menyara keluarga. Izwan bekerja di Pasaraya dengan pendapatan RM 1200 sebulan dan sebahagian besar gaji tersebut dibelanjakan untuk keperluan rumah.

Apabila ditanya adakah Kak Zaiton mahu menjalankan perniagaan untuk bantu kewangan keluarga? Jawabnya, bukan tidak mahu tapi beliau perlu fokus 100% pada Adik Irfan setiap masa. Walaupun membesarkan dan menyara lapan orang anak itu bukan sesuatu yang mudah, namun antara wang ringgit dan nyawa anaknya, nyawa anaknya ternyata itu lebih berkali ganda harganya.

Demikianlah kisah Adik Irfan yang menghidapi Cerebral Palsy sejak lahir. Si comel ini amat memerlukan sebuah kerusi roda khas bagi pesakit CP sepertinya. Kerusi roda khas tersebut tidak lain tidak bukan hanyalah bagi mengizinkannya untuk menikmati hari-hari mendatang dalam episod kehidupannya sendiri. Biarkan Adik Irfan membesar dengan bahagia, sekaligus menjanjikan senyuman di bibir Kak Zaiton dan Pakcik Yusof untuk turut merasai bahagia yang dikecapi mereka sekeluarga.

Atas keprihatinan ini, kami di Muslim Volunteer Malaysia membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyumbangkan sedikit rezeki kepada Adik Irfan ini.

Boleh klik disini untuk terus menghulurkan sumbangan ikhlas : https://donationmvm.org/donations/bantuan-salam-irfan-nak-tengok-dunia-boleh/

Marilah bawa Adik Irfan keluar berjalan-jalan melihat dunia. Biarkan si comel ini melalui zaman indah kanak-kanaknya dengan gembira. Semoga setiap kebaikan kita semua akan dibalas dengan kebaikan daripada Allah Taala. Allahumma amen.

 

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.