BANTUAN SALAM: “KENA GIGIH DIK, NAK CARI DUIT,”
Oleh: Nur Adnin Abdul Razak, Unit Salam MVM
Suraya Noor Appandi, 32, seorang ibu tunggal beranak empat, menetap bersama neneknya di Sg Buloh, Selangor Darul Ehsan merupakan peniaga asnaf yang menyara keluarga dengan menjual pisang goreng cheese dan potato spring.
Memandangkan tugasnya besar kerana dialah ibu, dialah juga ayah, maka rutin hariannya agak padat. Setiap pagi, Kak Suraya akan memulakan hari dengan membuat servis home cleaning di rumah-rumah berhampiran tempatnya secara persendirian. Kadar caj yang dikenakan ialah RM 15 sejam.
Kemudian, ketika tengahari selepas selesai servis home cleaning, Kak Suraya pulang ke rumah untuk menyiapkan keperluan jualan pisang goreng pula. Sekitar jam 2 petang, dia akan ke gerainya yang terletak tidak jauh dari rumah dan memulakan jualannya.
Bagi jualan hari bekerja dari Isnin hingga Khamis, Kak Suraya memerlukan 7kg – 10 kg pisang sehari, manakala Jumaat hingga Ahad, jualan meningkat naik di mana pisang yang digunakan sebanyak 10 kg – 12 kg sehari. Kadar pisang yang digunakan bergantung juga pada cuaca dan keadaan semasa.
Kak Suraya berniaga dari jam 2 petang hingga 7 malam. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia berpindah lokasi dari tepi jalan kampung ke depan rumahnya sahaja. Ini kerana jika ada sambungan elektrik, dia boleh menambah jualan lain seperti ice-blended pada sebelah malamnya pula. Namun lokasi gerainya kini sudah agak ‘selesa’ kerana ramai pelanggan lebih ‘familiar’ di situ.
Usai berniaga di senja hari, Kak Suraya menghidupkan malamnya pula dengan menggoreng pisang dari rumah, kemudian buat penghantaran ke rumah pelanggan yang berdekatan. Jualan pisang goreng pada waktu malam bergantung kepada permintaan. Banyak order, banyaklah senyumnya.
GIGIHNYA DIA
Lihat? Dari awal pagi hingga ke malam, Kak Suraya tidak ada waktu rehat yang cukup. Gigihnya dia sanggup berkeringat mencari rezeki untuk sara nenek dan anak-anak. Jika sibuk begini, bagaimana dia menguruskan makan minum anaknya?
“Akak sediakan bekal je dik untuk anak-anak. Kalau nak bagi duit belanja, memang tak mampulah akak,”
Setiap hari anaknya, Nur Iman Fatihah, 10, dan Muhd Iman Mikail, 7, akan ke sekolah yang tidak jauh dari rumah dengan menumpang orang. Manakala Nur Iman Qistina, 4, dan Nur Iman Raihana, 2, tinggal di rumah bersama nenek. Usaha Kak Suraya dalam mendidik anak-anak untuk tidak kisah hidup susah ternyata berjaya. Makan nasi berlaukkan telur dan kicap itu perkara biasa.
“Akak pernah satu tahap tak dapat belikan baju sukan sekolah anak sebab takda duit. Sampailah ada parent ni baik hati, diorang belikan baju tu untuk anak akak,”
SEJARAH LAMPAU
Bekas suaminya tidak menjalankan amanah sebagai ketua keluarga dengan baik. Ketika Kak Suraya sedang sarat bersalinkan anak bongsu di hospital, bekas suami tidak berusaha untuk mencari wang bagi meringankan bebannya. Akur dengan pelbagai konflik yang tidak membahagiakan, akhirnya Kak Suraya rela ‘pulang’ ke pangkuan nenek bersama anak-anak.
Nur Iman Qairana ialah kembar kepada Nur Iman Qistina. Namun akibat menghidapi saluran pernafasan sempit dan paru-paru berkuman sejak lahir, akhirnya si kecil itu pergi menghadap Ilahi pada usia enam bulan. Maka tinggallah empat adik-beradik comel yang membesar dengan ibu dan nenek.
RAGAMAN
Kak Suraya berhadapan dengan pelbagai ragam manusia yang menjadi pelanggan servis home cleaning. Antaranya, walaupun kadar caj RM 15 sejam itu sudah cukup murah, namun masih ada segelintir tuan rumah yang mahu kadar lebih murah lagi. Katanya, jika letak kadar lebih RM 15, mereka akan mengupah pembantu warga asing sahaja. Jika kadar asal, mereka minta kurang pula.
Pisang pun ada ragamnya. Kak Suraya pernah terputus pendapatan sehingga sebulan kerana tiada stok pisang langsung. Selain itu, Kak Suraya terpaksa bersaing dengan hujan yang mendominasi cuaca. Namun baginya, apalah sangat hujan yang turun kalau nak dibandingkan dengan sesuap nasi.
DI SEBALIK PINTU
Rumah yang mereka duduki ini ialah milik neneknya. Kak Suraya memang tinggal bersama nenek sejak dia kecil lagi, sehinggalah sudah ada anak kini. Namun rumah ini agak uzur, lebih-lebih lagi di bahagian dapur dan bumbung.
“Kalau waktu hujan, nak mandi dalam bilik air, tak payah bukak paip. Tadah je badan bawah bumbung tu,” ujarnya sambil menujunjukkan bahagian bumbung bilik air yang terbuka luas.
Terdapat banyak lagi kebocoran bumbung di bahagian lain, termasuklah ruang tamu, dan ruang depan. Jika hujan, memang wajib untuk tadah air dengan besen dan baldi.
BUKAN BIASA-BIASA
Kak Suraya pernah menyertai kursus asas perniagaan di bawah Lembaga Zakat Selangor dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS), kursus masakan, Mykasih dan sebagainya. Dia memang sangat minat berniaga dan berhasrat mahu mengembangkan lagi jualannya. Terbaru, Kak Suraya mahu belajar menjahit dan mungkin ianya berpotensi untuk menjadi sumber mata pencariannya kelak.
Berdasarkan pemerhatian kami, kanopi dan dapur yang digunakan untuk niaga pisang goreng hanyalah pinjaman orang. Itupun sudah uzur. Kalau hujan, tempiasnya pasti membasahkan jualannya. Kak Suraya perlukan yang baharu agar lebih mudah untuk berniaga.
Insya Allah, di peringkat MVM, kami akan berbincang bersama pihak pengurusan untuk membantu perniagaan Kak Suraya. Sama-samalah kita semua mendoakan agar usaha gigih Kak Suraya ini mendapat ganjaran dan hasil di sisi Allah Taala. Kak Suraya, akak memang kuat!