Bantuan Salam: “Tak Bayar, Kami Viral!”

“Tak Bayar, Kami Viral!”

“Encik, tolonglah saya encik, saya dah tak tahu nak mengadu kat siapa,” rayu seorang pakcik dalam perbualan di telefon.

“Ye pakcik, ada apa boleh saya bantu?” tanya Adnin.

“Encik, saya diugut. Rumah sewa saya duduk ni dah dua bulan tertunggak. Dulu pernah tertunggak juga tapi saya dah habis bayar dah. Itu pun lepas beberapa kali saya terima ugutan macam-macam daripada pihak sana..” jelas pakcik itu lagi dengan nada sayu.

“Pakcik ada dapat bantuan zakat tak?” Adnin cuba bertanya.

“Saya kalau boleh taknak mohon zakat. Sebab rasanya ada ramai lagi orang lebih susah daripada saya. Sebab tu saya tak mintak,” balasnya.

Hairan. Apa sebenarnya masalah yang berlaku? Jelas terpancar sifat ingin tahu pada muka Adnin. Lalu perbualan pun diteruskan.

“Bila saya merayu minta tangguh bayar, saya dimaki, diugut. Kata mereka, mereka nak viralkan gambar saya, maklumat saya semua. Saya taklah jahat mana nak lari daripada bayar, encik. Saya bayar. Cuma ada masanya saya kesempitan,” jelas pakcik itu panjang lebar.

“Dulu kalau saya bayar, saya minta resit bayaran, mereka tak bagi. Minta banyak kali pun tetap tak bagi. Contohnya kalau saya minta resit pagi ni, dia suruh tunggu sampai tengahari. Kalau dah sampai tengahari, dia tunda malam.

Dah malam, dia senyap, tunda ke esok. Macam tulah yang jadi setiap kali saya minta resit,” jelasnya lagi dengan nada kesal.

“Saya dah banyak kali minta dia nombor tuan rumah, tapi sampai hari ni dia taknak bagi. Pernah dulu dia hantar seseorang untuk cabut suis elektrik utama di rumah saya. Ataupun ada juga, saya dah bayar bil untuk bulan lepas melalui dia.

Tiba-tiba bulan ni, datang lagi bil dengan jumlah yang sama. Macam saya tak bayar pulak.

Dan yang terbaru ni, akibat tunggakan sewa yang saya belum mampu bayar, kami sekeluarga diugut untuk dihalau. Katanya, dah kena halau, tidur jelah kat masjid!”

“Pakcik berurusan dengan siapa yang ugut tu?” tanya Adnin.

“Agen,” jawabnya.

***

Bertugas sebagai Unit Salam yang menerima aduan-aduan daripada asnaf bukanlah suatu yang mudah. Salah satu kes yang agak berat ialah kes ini. Pakcik ini dikenali sebagai Pakcik Zaidi, salah seorang asnaf yang mengadu dirinya diugut teruk oleh agen rumah sewanya.

Dahulu Pakcik Zaidi merupakan seorang petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Namun akibat tekanan kerja yang dihadapi, Pakcik Zaidi mengambil keputusan untuk berhenti. Dan kini Pakcik Zaidi sedang mencari kerja baharu.

Buat pengetahuan semua, Pakcik Zaidi pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris dan berpengalaman mengajar di empat buah sekolah rendah ketika menetap di negeri kelahirannya, Sabah beberapa tahun yang lalu. Selain itu, Pakcik Zaidi juga pernah berniaga kuih dan nasi berlauk sebagai pendapatan keluarga.

Isterinya, Makcik Zuraini pula ialah seorang guru di sekolah yang berhampiran dengan rumahnya. Anak mereka pula hanya dua orang; Amirah Hazwani, 23, sedang menuntut di sebuah universiti awam di Selangor dalam jurusan media, dan  Aniq Irsyad, 14, bersekolah di sekolah menengah berhampiran rumah.

Selepas menerima panggilan aduan daripada Pakcik Zaidi, Adnin terus menghubungi Ustaz Firdaus daripada Lembaga Zakat Selangor untuk bantu dalam kes ini. Dalam waktu yang sekejap, pihak zakat HQ segera mengarahkan zakat kawasan untuk menghubungi Pakcik Zaidi bagi tindakan lanjutan.

Difahamkan, keesokan harinya, wakil zakat kawasan telah datang ke rumah Pakcik Zaidi bagi membantu menyelesaikan kes ini. Berdasarkan hasil pemerhatian pihak zakat, agen rumah sewa tersebut memang agak bermasalah. Rupa-rupanya sebelum ini pun seringkali terjadi konflik sebegini.

Setelah perbincangan dibuat, akhirnya pihak zakat bersetuju untuk membantu melangsaikan tunggakan sewa rumah Pakcik Zaidi. Dengan penuh rasa bersyukur, Pakcik Zaidi mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak zakat dan Adnin atas bantuan segera yang diberikan.

Sehari selepas pihak zakat datang ke rumahnya, giliran Adnin pula bertandang untuk mendapatkan hasil maklumat mengenai kes tersebut. Ziarah ke rumah dan temubual asnaf adalah salah satu SOP gerak kerja Unit Salam.

Pakcik Zaidi menunjukkan sekali mesej-mesej perbualannya bersama agen rumah sewa itu. Apa yang membuatkan Adnin terkejut ialah bahasa yang digunakan oleh agen itu agak kasar. Seperti apa yang diceritakan Pakcik Zaidi, agen rumah sewa tersebut seringkali menangguhkan pemberian resit bayaran.

Seolah-olah dia hendak mempermainkan Pakcik Zaidi. Begitu juga dengan kes suis rumah dicabut. Makcik Zuriani menunjukkan sebuah suis utama yang pernah dicabut. Berkemungkinan orang tersebut diupah oleh agen rumah itu.

Kedatangan Adnin ke rumahnya pada hari tersebut disambut dengan perasaan syukur dan gembira. Pakcik Zaidi berulang-kali mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah menyampaikan kes ini ke pihak zakat. Sudah tercatat dalam tugasan Unit Salam, apabila dapat aduan mengenai kes yang memerlukan perhatian zakat, Adnin akan segera berhubung dengan pihak zakat.

Dengan bantuan segera ini, Pakcik Zaidi boleh menghela nafas lega kerana mereka sekeluarga terselamat daripada dihalau. Jumlah tunggakan tersebut akan diuruskan oleh pihak zakat secara terus dengan agen rumah sewa.

Namun walaubagaimanapun, pihak zakat menasihati Pakcik Zaidi agar segera melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya agen rumah sewa tersebut masih mengulangi masalah yang sama.

Sama-sama kita doakan agar Pakcik Zaidi akan dapat pekerjaan baharu untuk menampung kewangan keluarganya, juga mendapat kehidupan yang tenang. Apa yang kita harapkan ialah semoga tiada lagi tindakan kasar dan mencurigakan daripada pihak agen rumah sewa tersebut. Semoga Allah membalas setiap apa yang diperlakukannya.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.