Di Sebalik Pintu, Di Sebalik Pilu..Rumah Pusaka Usang Menanti Rebah Kini Berdiri Kembali

Suasana asal rumah Iskandar | Foto: MVM

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tidak cukup sumber pendapatan yang terhad, diuji pula dengan dugaan yang mendatang tanpa diduga.

Ditambah lagi dengan igauan pandemik COVID-19, ianya membuatkan hidupnya terbungkam sepi. Hilang punca pencarian, sambil terduduk melihat siang dan malam bersilih ganti di sebalik teratak usang yang menanti rebah.

Itulah yang dirasai oleh Mohd Iskandar Sulaiman dari Kampung Tengah, Kuala Tahan di Jerantut, Pahang ini apabila satu persatu ujian hidup datang menunjal upayanya.

Ayah kepada lima orang anak ini dahulunya pernah membanting tulang mencari rezeki sebagai mekanik di sebuah bengkel di kampungnya. Namun bak kata pepatah, kais pagi makan pagi, kais petang mungkin malamnya sepi.

Suasana asal rumah Iskandar | Foto: MVM

Pendapatannya hanyalah seberapa cuma, sekadar cukup-cukup makan untuk disuap seisi keluarga. Tidak lebih tidak kurang, mana yang ada, itulah menjadi santapannya.

Namun, kehadiran wabak yang tidak diundang telah mengubah segalanya. Episod hitam bermula dengan terganggunya ekonomi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Tidak dapat tidak, bengkel kecil tempat beliau mencari rezeki setiap hari itu juga turut terkena tempiasnya. Gagal berdiri ampuh dek untung yang makin sendu, maka seorang demi seorang pekerja terpaksa dihentikan…hinggalah akhirnya giliran beliau sendiri!

33 tahun berteman dinding lusuh

Suasana asal rumah Iskandar | Foto: MVM

Hidup tujuh beranak ini tidaklah begitu indah seperti dalam drama. Hakikatnya, 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu sentiasa dilalui di dalam rumah yang ‘penuh cerita’.

Teratak usang yang mereka duduki itu bukanlah disewa apatah lagi hak milik sendiri, namun ia hanyalah peninggalan pusaka arwah ayah yang diwarisi sejak 33 tahun dahulu.

Sekali pandang, rumah berdinding papan yang lusuh tidak bercat itu hampir tenggelam dengan suasana sekeliling yang ‘dipagari’ semak-samun kering. Tiada apa yang ceria, cuma ada bahagia yang tersimpan rahsia.

Suasana asal rumah Iskandar | Foto: MVM

Namun dalam ‘syurga’ usang inilah, Iskandar tegar mencurah kasih bakti sebagai suami dan ayah tanpa jemu walau sesaat. Bukan mudah membesarkan empat cahaya mata terdahulu, kini si bongsu pula sedang lena dalam rahim isteri menanti hari untuk ditatapi.

Walaupun telah hilang kerja, namun Iskandar tetap berdiri utuh mencari rezeki lain. Atas semangat yang tergenggam kemas, beliau tekad berniaga roti canai bersama isteri tercinta. Adakalanya jua sanggup mengambil upah membaiki motosikal siapa-siapa.

Rebah hilang berganti sinar

Benar kata orang, semiskin mana pun kita, jika sanggup melupakan rasa malu dan terus jalan berusaha, pasti akan ada sinar di penghujung masa.

Demikianlah yang dirasai Iskandar sekeluarga apabila kesusahan mereka selama ini akhirnya didengari pihak berwajib. Maka berbondong-bondonglah bantuan yang mencurah dari pelbagai sudut.

Bertindak atas nama kemanusiaan, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dengan kerjasama Kengkawan Project tampil turun padang dari ibu kota ke sana menghulur bakti melalui projek Di Sebalik Pintu baru-baru ini.

Suasana selepas dibaik pulih | Foto: MVM

Projek Di Sebalik Pintu yang turut mendapat sokongan penuh wakil penduduk kampung, Mohd Abdul Rani Harun itu adalah bertujuan untuk membaik pulih serta dekorasi semula ruang kediaman. Mana yang lumpuh, dibaiki semula hingga kukuh.

Sepanjang projek berjalan, hujan lebat dan panas terik sentiasa menemani suasana. Namun kesukaran itu tidak menghalang tujuh tenaga kerja melibatkan tukang kayu, tukang simen, tukang atap, tukang cat dan juruteknik untuk teruskan misi mereka.

Masa berganti masa, teratak usang Iskandar yang menanti rebah itu akhirnya kembali berdiri gagah dengan wajah yang baharu. Dinding yang dahulunya lusuh, kini kemas dicat cerah.

Suasana selepas dibaik pulih | Foto: MVM

Selesai segalanya, maka terpancarlah air mata kesyukuran di riak wajahnya selepas melihat ‘syurga’ usang itu kembali berwarna nan indah. Tiada kata mampu ditinta, hanya tertunduk akur melafaz syukur.

Baik pulih serta dekorasi semula kediaman Iskandar itu menelan belanja kira-kira RM23,380 secara keseluruhannya. Tidak lain tidak bukan, duit yang digunakan itu adalah daripada hasil sumbangan orang awam melalui tabung Di Sebalik Pintu.

Kini Iskandar, isteri dan anak-anak sudah mampu tersenyum ceria. Walaupun masih perlu berusaha mencari sesuap nasi, namun rumah berwajah baharu itu sudah cukup membuatkan mereka ‘kaya’ dan bahagia. Alhamdulillah.

Suasana selepas dibaik pulih | Foto: MVM
Suasana selepas dibaik pulih | Foto: MVM

Bantu MVM untuk bantu rumah seterusnya

Buat pengetahuan semua, bersempena Ramadan yang mulia ini, MVM kini sedang menjalankan kempen Tabung Di Sebalik Pintu Edisi Ramadan: Bantuan Perumahan Asnaf.

Dalam misi kali ini, sebanyak enam (6) buah rumah asnaf terpilih akan dibantu. Kutipan sumbangan yang disasarkan adalah sebanyak RM150,000 keseluruhannya, di mana kos perbelanjaan setiap rumah adalah beranggaran kira-kira RM25,000.

Sehubungan itu, bagi yang berbesar hati ingin menyumbang, sumbangan boleh disalurkan melalui donationmvm.org di pautan INI. Sebarang maklumat lanjut, boleh hubungi wakil MVM di talian 012-2356854.

Jangan lupa ikuti Facebook Muslim Volunteer Malaysia dan Instagram @muslimvolunteermalaysia untuk ketahui segala perkembangan terkini projek-projek kemanusiaan MVM seterusnya. Salam Ramadan Karim!

 

 

Oleh:
Nur Adnin Abdul Razak
Penulis jemputan
Muslim Volunteer Malaysia

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.