DSP6.0 : “Kali ini saya rasa tidak dipermainkan lagi, malah bantuan kalian sangat realiti” – Sebak Abang Mat.
Luahan kata-kata Abang Mat ini membuatkan kami semua terharu dan sebak. Jika anda mengikuti cerita Abang Mat yang kami bantu ini, beliau adalah seorang buta sejak kecil lagi. Isteri beliau yang digelar Kak Teh juga mempunyai masalah penglihatan mata. Keluarga ini pernah ditipu dengan satu organisasi yang janji nak bantu mereka.
Lagi teruk, organisasi tersebut janji untuk tambah baik rumah Abang Mat dengan tukar perabot dan kelengkapan rumah kepada yang baru. Tapi apa yang berlaku sebaliknya, mereka tukar barangan rumah Abang Mat kepada barang terpakai dan ada juga tidak dipulangkan langsung.
Rezeki Allah Itu Sangat Luas.
“Tak lambat tak cepat, rezeki tak salah alamat”. Abang Mat ini adalah salah seorang penerima bantuan di dalam program korban Malaysia iaitu santuni asnaf beberapa bulan yang lalu di mana kami santuni keluarga-keluarga asnaf di bandar bagi membantu mereka yang memerlukan dan cerita Abang Mat ini antara yang menarik untuk dibantu dalam DSP kali ini.
Rezeki buat beliau kali ini apabila Melihat pada ketabahan dan kesukaran yang menimpa Abang Mat sekeluarga sebagai penerima bantuan dan berkat kesabaran beliau dengan ujian hidup sebelum ini, pihak MVM telah sebulat hati untuk memilih beliau sebagai penerima bantuan bagi program Di Sebalik Pintu 6.0.
Bagi anda yang masih belum “familiar” dengan program-program di MVM, Di Sebalik Pintu merupakan salah satu program tahunan dimana kami berusaha untuk membantu transformasi kediaman penerima bantuan dan juga bantuan ekonomi serta keperluan sesebuah keluarga tersebut.
Alhamdulillah DSP6.0 ini telah berjalan dengan jayanya pada 26 Oktober 2019 (Sabtu) dengan dibantu seramai 30 orang #VolunteerMVM yang sangat-sangat awesome !
Sukarelawan telah dibahagikan kepada 3 kumpulan berikut :
Kru Rumah :
Kru Rumah telah bertungkus-lumus untuk mentransformasikan rumah Abang Mat agar lebih selesa dan ceria buat mereka sekeluarga. Antara tugasannya adalah seperti berikut :
- Mengemas rumah
- Mengecat
- Pertukangan
- Dekorasi dalaman
Kru Rumah juga telah dibantu oleh Interior Stylist & Decorator iaitu Fabello Design. Alhamdulillah, tahun ini buat pertama kalinya Fabello Design sudi bersama MVM untuk membantu penerima bantuan ini.
Kru Mesra :
Kru Mesra telah bersama dengan keluarga Abang Mat membawa mereka berjalan-jalan sementara memberi ruang kru rumah membersih dan mendekorasi rumah mereka. Abang Mat sekeluarga dibawa untuk membeli-belah pakaian di Mydin Subang Jaya. Abang Mat dan Kak Teh sangat teruja apabila diberi peluang untuk membeli pakaian baru terutama sekali anak-anak mereka. Mereka jarang sekali dapat pakaian baru.
Kak Teh memberitahu kami bahawa anak-anak mereka jarang keluar berjalan-jalan disebabkan dengan keadaan mereka yang begitu. Jelas sekali terlihat keseronokan anak-anak mereka apabila sampai ke destinasi mereka bersorak keriangan dan berlari anak keliling sambil dipantau oleh volunteer yang membantu.
Selepas itu, mereka dibawa makan di kedai western food iaitu Cabin Heritage atas permintaan Kak Teh yang teringin makan spaghetti. Walaupun hujan yang sangat lebat, ianya tidak menjadi penghalang untuk menggembirakan Abang Mat sekeluarga untuk berjalan-jalan. Abang Mat dan Kak Teh sangat berterima kasih kerana telah menghiburkan mereka pada hari itu. Banyak kenangan yang terukir bersama volunteer dan keluarga Abang Mat. Cukup jelas terpancar kegembiraan diraut wajah mereka.
Kru Dobi
Kru Dobi pula tugas mereka membasuh segala baju yang ada di rumah Abang Mat. Volunteer-volunteer bertungkus lumus mengumpul baju-baju dan cadar katil untuk membasuh di dobi iaitu Laundrybar Mega Store Taman Sea Petaling Jaya. Laundrybar ini juga sudi bersama MVM bagi membantu memberikan sponsor kepada penerima bantuan ini. Setelah dibasuh kesemua pakaian Abang Mat, Kak Teh dan anak-anaknya, mereka melimpat dan menyusun semula di almari pakaian mereka yang baru.
Penampilan Istimewa Inteam dan Ustaz Hasbullah Menceriakan Tim MVM Dan #VolunteerMVM
Kemudian, pada jam 5 petang setelah selesai semua kerja-kerja mengemas, mengecat, membasuh dan sebagainya, sementara menunggu keluarga Abang Mat pulang ke rumah, sesi perkongsian santai bersama Ustaz Hasbullah iaitu pendakwah bebas telah diadakan bersama-sama volunteers yang ada. Topik yang sangat menarik dikongsikan oleh Ustaz Hasbullah iaitu hubungan sesebuah kekeluargaan dan bagaimana membina keluarga yang harmoni.
Di samping itu juga, volunteers dihiburkan dengan penampilan istimewa iaitu Inteam. Jemputan Inteam ini juga adalah untuk memberikan kejutan untuk keluarga Abang Mat dengan memberikan persembahan nyanyian pendek untuk Abang Mat sekeluarga setibanya mereka di rumah nanti.
Kejutan Buat Abang Mat dan Kak Teh Yang Dinanti-nanti
Setelah hampir 10 jam berusaha untuk mencantikkan kediaman Abang Mat ini, membawa mereka berjalan-jalan sekitar Selangor dan Putrajaya, akhirnya masa yang dinantikan tiba iaitu untuk memberi kejutan istimewa kepada Abang Mat dan keluarga.
Pada jam 6.00 petang, kami membawa Abang Mat ke Masjid untuk solat terlebih dahulu sementara kru rumah bersiap sedia untuk sesi kejutan untuk “rumah baru” mereka. Abang Mat dan keluarga telah disambut bagaikan seorang Raja oleh para sukarelawan MVM yang cukup berdebar menantikan reaksi beliau terhadap kejutan ini. Kehadiran Inteam juga telah memeriahkan lagi suasana program hari tersebut.
Rasa Syukur Yang Tidak Dapat Diungkapkan Oleh Abang Mat Dan Kak Teh
Senyuman dan gelak tawa Abang Mat setibanya dirumah beliau sahaja cukup menggambarkan kebahagiaan Abang Mat dan Kak Teh walaupun mereka tidak dapat melihat sepenuhnya terhadap segala “hadiah” yang diberikan oleh RAKYAT MALAYSIA melalu program Di Sebalik Pintu 6.0 ini. Mereka disambut dengan meriah sekali bersama volunteer-volunteer dan kumpulan Inteam dengan sedikit acapella untuk Abang Mat sekeluarga.
Suasana menjadi sebak apabila Abang Mat memberikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga yang mengatakan kali ini mereka tidak ditipu lagi malah bantuan kali ini sangat memberikan makna yang besar buat beliau sekeluarga. Abang Mat juga berpesan jadikan contoh untuk peristiwa sedih beliau kepada kami.
Syukur, ya Allah kerana telah memudahkan segala urusan program pada hari tersebut.
Terima kasih kepada semua #VolunteerMVM yang terlibat dalam program kali ini. Tidak lupa juga penaja-penaja iaitu Fadeco Group Sdn Bhd, Leyna by Flenaz HQ, Bantal Hotel The Sultan, Butik Anis Othman, Butik SitiMurni dan Laundrybar Mega Store Taman Sea PJ yang membantu menaja kepada penerima bantuan kali ini.
Akhir sekali, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menghulurkan sumbangan ikhlas dalam menjayakan program Di Sebalik Pintu 6.0 ini. Hanya Allah sahaja mampu membalas jasa baik anda.
Kami kongsikan gambar-gambar sepanjang program Di Sebalik Pintu 6.0 disini :