Bantuan Salam : “Izinkan Aku Melihatmu Kembali..”
Rumah teres dua tingkat, biasanya sukar untuk ditakrifkan sebagai rumah asnaf, apatah lagi jika ada peti kipas penyaman udara di bahagian luar rumah. Dahulunya dianggap seperti rumah agam. Waktu itu, segalanya indah dan bahagia. Dunia ini bagai tercipta oleh kenikmatan-kenikmatan hidup yang pernah dikecapinya satu masa dulu.
Sejarah di waktu mudanya disisipkan dengan kejayaan demi kejayaan yang bertunjangkan nilai ilmu. Namun, semua itu hanyalah satu episod silam yang pernah tercatat dalam sejarah hidup seorang lelaki dalam kisah ini.
Kamal bin Kuzi, ataupun lebih mesra dipanggil En. Kamal, berumur 49 tahun, beliau menderita sakit gout sejak 10 tahun lalu. Bermula dengan gout yang kronik hingga memberi kesan pada seluruh badan terutama tangan dan kaki, kini kesakitannya memuncak apabila kesan gout itu mengakibatkan kedua-dua matanya mengalami masalah penglihatan kritikal.
Boleh dikatakan, beliau hanya mampu melihat dalam 20% sahaja. Selebihnya, penglihatannya terlalu kabur hingga menyebabkan beliau agak sukar untuk bergerak, berjalan dan sebagainya. Malah ketika sesi temubual bersama Unit Bantuan Salam MVM, beliau sendiri tidak nampak dan tidak tahu dengan siapa beliau bercakap.
Merujuk kepada status kediaman, rumah teres dua tingkat ini tidak sekali-kali boleh disalah erti. Logiknya, jika dilihat dari jauh, ia tidak ubah seperti kediaman teres yang lain. Namun, segala sangkaan yang tercipta pasti akan berubah apabila masuk ke dalam rumah untuk melihat cerita apa yang tertulis di sebalik pintu. Ternyata, ianya berbeza.
Rumah yang dahulunya tersergam indah, kini ia sudah seakan tidak terurus. Benar, terdapat penyaman udara di dalamnya. Namun setelah diteliti, ianya sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Malah di sekelilingnya sudah bergantung habuk-habuk yang melekat sekian lamanya. Itu menandakan sudah lama ia tidak berfungsi.
Jika disingkap semula sejarahnya, bapa kepada lima orang anak yang masih bersekolah ini adalah bekas graduan lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang undang-undang. Ini terbukti dengan sebuah bingkai gambarnya ketika majlis graduasi yang tergantung di satu sudut dinding ruang tamu rumahnya.
Beliau bukan insan biasa-biasa. Selepas berkhidmat sebagai peguam pada awal kerjayanya, beliau juga berjaya menggunakan kemahiran memasak yang dimilikinya apabila turut pernah mengusahakan sebuah restoran di Subang Jaya. Tidak kurang juga, selepas era perniagaan restoran, beliau menyambung legasi kerjayanya dengan bekerja sebagai ejen hartanah. Pada waktu itu, segala urusan kewangan keluarga hanya dalam tangannya.
Namun, ujian Allah itu perlahan-lahan datang menjemput. Apabila bermulanya sakit gout yang semakin hari semakin serius hingga menyebabkan matanya separuh buta, beliau terpaksa menggadai apa yang ada di tangan satu persatu demi menyambung kelangsungan hidup.
Sepanjang temubual tersebut, perkara paling menyentuh hati yang terpacul dari bibir beliau ialah;
“Pakcik rasa bersalah sebab tak mampu jalankan tanggungjawab sebagai suami yang baik, tak mampu bagi nafkah pada isteri..”
Kata-kata yang telus itu keluar bersama titisan air mata. Walaupun sakit, kabur dan tidak nampak apa-apa, sepasang matanya itu masih berupaya untuk rasa sebak dan menangis bila bercakap soal nafkah dan tanggungjawab.
Buat masa ini, segala belanjawan isi rumah adalah tanggungan penuh isterinya. Beliau berkata, jika diberi keupayaan untuk berniaga, beliau mahu menjual ‘jelly kelapa’ untuk dijual di sekolah melalui anak-anaknya bagi membantu meringankan beban isteri yang bekerja.
Seakan dunia ini gelap tanpa matahari, impiannya itu amat menikam kalbu. Masakan tidak, dalam keadaan separuh buta dan serangan gout yang kronik itu, beliau masih lagi boleh menitikberatkan soal nafkah. Sifat tanggungjawab sebagai seorang bapa dan suami itu amat konkrit dalam dirinya.
Segala perancangan dan usahanya untuk mencari nafkah pasti boleh dimulakan sebaik sahaja matanya pulih dan mampu melihat dunia kembali satu hari nanti. Pihak MVM amat yakin, jika matanya sudah sembuh, beliau pasti akan segera bertindak untuk mulakan semula perniagannya, juga menguruskan keadaan rumah, sekaligus mampu mengubah wajah kehidupan keluarga secara keseluruhannya.
Justeru, pihak MVM menyeru agar rakyat Malaysia bersama-sama dapat membantu memberi sumbangan rawatan mata agar kehidupan beliau akan kembali cerah secerah penglihatannya yang akan melihat dunia kembali satu hari nanti.