Jangan Lupa Derma Walau Gaji Sikit – Yaya Mohammad (CEO Moha Group Sdn Bhd)

Jangan Lupa Derma Walau Gaji Sikit – Yaya Mohammad (CEO Moha Group Sdn Bhd)

Pengalaman terpaksa berpindah dari sebuah rumah  ke sebuah rumah lain adalah perkara biasa yang berlaku dalam hidup Yaya Mohammad. Beliau membesar dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan. Tidak cukup makan dan tiada duit untuk bayar sewa rumah adalah antara fasa-fasa hidup yang perlu dilaluinya.

“Keluarga kami ni dikategorikan sebagai keluarga yang susah. Bapa saya dulu kerja bawa teksi. Susahnya kami dulu sampai satu peringkat tu pernah kena halau sebab tak mampu bayar sewa rumah dan terpaksa berpindah dari rumah lain ke rumah yang lain.” Yaya Mohammad memulakan bicaranya.

“Sewa rumah RM50 pun kami tak mampu nak bayar. Sampaikan pernah satu ketika kami tinggal dirumah yang di situlah dapur, di situlah ruang tamu dan di situlah bilik tidur.” Kenangan-kenangan itu pantas terpancul dibibirnya.

Namun dilahirkan dalam golongan yang kurang senang tidak sedikit pun menjadi penghalang untuk Yaya Mohammad mencapai apa yang beliau capai sekarang ini. Bahkan dengan positifnya beliau memanfaatkan segala pengalaman susah dan jerit perih suatu ketika dahulu sebagai pembakar semangatnya untuk mencipta sejarah. Gadis yang berasal dari Mersing, Johor ini telah membuktikan setiap orang mampu berjaya jika ada tekad untuk mengubah hidup.

Bercerita lagi mengenai latar belakangnya, Yaya Mohammad bukanlah juga datang dari keluarga yang mempunyai sejarah perniagaan. Kedua-dua ibu bapanya berasal dari keluarga petani. Tidak pernah wujud dalam salah silah keluarga Yaya Mohammad istilah usahawan dan peniaga.

“Sayalah yang memecah tradisi keluarga kami untuk mula berniaga.” Sambung Yaya Mohammad.

Gaji Pertama Untuk Derma

Telah menjadi mindset orang-orang dahulu kena belajar rajin-rajin dan setelah itu bekerja dengan kerajaan atau pendek kata kerja makan gaji. Seperti juga dengan Yaya Mohammad setelah tamat belajar beliau mula mencari kerja tetap.

“Sebagai seorang anak, pasti bercita-cita untuk membahagiakan ibu bapa. So saya pun sama iaitu ingin menyenangkan ibu bapa bila dah bekerja nanti.”

Selepas tamat pengajian di sebuah universiti, Yaya Mohammad tidak memilih pekerjaan. Kerja pertamanya bergaji RM1000. Beliau bekerja di bahagian teknikal. Turun site. Berpanas berhujan dan berulang alik dari Kajang ke tempat kerja yang terletak di Shah Alam dengan menunggang motosikal. Bagi seorang wanita muda ketika itu, kerjayanya sangat mencabar.

Perkara pertama yang beliau lakukan ketika mendapat gaji ketika itu adalah memperuntukkan sedikit jumlah wang untuk derma. Walaupun dengan gaji yang cukup-cukup makan, Yaya Mohammad berpegang kepada pesan ibunya supaya membiasakan diri untuk menderma.

“Mak saya berpesan jangan lupa untuk menderma walaupun gaji sikit.”

Cukupkah dengan gaji RM1000 untuk beliau bayar sewa rumah, bayar bil, beri pada mak dan ayah dan belanja lain-lain? Menurut Yaya Mohammad ianya cukup. Malah boleh menyimpan lagi. Semua itu beliau lakukan tanpa gagal dengan gaji RM1000. Apa yang penting hidupnya tenang.

“Hidup saya rasa cukup. Hidup tenang, tak ada masalah, happy. Waktu tu saya derma sikit-sikit ikut kemampuan saja.”

Semuanya Untuk Keluarga

Semasa bekerja makan gaji beliau sudah berjinak-jinak dengan dunia perniagaan secara online. Minat yang sangat tebal dalam perniagaan membuat beliau tidak berputus asa sehinggalah pendapatan berniaga secara online telah mencecah RM3000 sebulan. Ketika itu beliau mempunya 2 pendapatan. Duit gaji tetap pula beliau simpan untuk membantu keluarga di kampung.

Nak dijadikan cerita, ketika itu syarikat tempat beliau bekerja sedang dalam proses untuk mengecilkan jumlah kakitangan dan menawarkan skim persaraan awal atau VSS kepada kakitangan yang berminat. Yaya Mohammad melihat perkara itu sebagai peluang. Maka beliau mengambil keputusan untuk menawarkan diri mengambil VSS.

“Hasil dari VSS tu, saya dapat RM30,000 yang saya rasa sangat besar ketika itu. Waktu itu juga semangat untuk berniaga sudah berkobar-kobar. Sebab benda pertama yang saya nak buat hasil dari keuntungan berniaga adalah untuk besarkan rumah keluarga.”

Dengan wang VSS itulah Yaya Mohammad melakukan langkah yang besar dalam hidupnya iaitu memulakan perniagaannya sendiri dengan membuka spa pertamanya Maya Beauty House. Kenapa ketika itu beliau begitu berani untuk berhenti kerja sedangkan gaji tetapnya sudah mencecah RM5000 dan belum tentu lagi perniagaan yang bakal dibina itu akan berjaya. Jawabnya :

“ I have to do something to support family.”

The Power Of Giving

“Bila kita berada di dalam circle yang percaya akan konsep sedekah ini, maka kita rasakan sedekah itu sudah menjadi satu kewajipan bagi kita. Kalau tak menderma ada saja yang tak kena. Jadi kalau saya ditimpa masalah, cepat-cepat saya menderma.”

Bagi Yaya Mohammad derma itu sebenarnya yang memudahkan perjalanan perniagaannya. Rezeki itu menurutnya bukan dari segi wang ringgit sahaja tetapi rezeki itu adalah dari segi ketenangan hati. Kenyataan inilah yang selalu saya dengar apabila menemuramah pengasas-pengasas yang lain. Iaitu kebanyakan daripada mereka merasa tenang apabila menderma.

“Bagi saya kejayaan hidup adalah bukan kerana banyak duit. Tetapi kejayaan hidup apabila kita dapat semua benda termasuk kesihatan, kebahagiaan keluarga dan juga dikurniakan kakitangan yang baik yang bekerja untuk kita. Itu semua adalah rezeki.”

Perkara ini tidak hanya dipraktikkan dalam agama Islam sahaja malah ramai sahabat-sabahat niaga Non-Muslimnya mengamalkan konsep The Power Of Giving. Beliau mengakui kejayaan syarikatnya sekarang bukan sahaja kerana strategi-strategi perniagaan sahaja tetapi  kerana kehebatan derma yang diamalkan sejak beliau makan gaji lagi.

“Sedekah bukan sahaja dari sudut wang ringgit ye. Sedekah paling mudah adalah senyum. Kemudian sedekah juga pada haiwan.” Jelas beliau ringkas.

Sedekah pada haiwan? Bagaimana pula sedekah boleh dilakukan terhadap haiwan? Yaya Mohammad berkongsi satu cerita mengenai kawannya yang suka bersedekah pada haiwan.

“Saya ada kawan dalam satu group bisnes suka bersedekah dengan menanam pokok. Saya tanya kenapa suka tanam pokok? Dia cakap kalau pokok itu berbuah, burung-burung akan makan dan yang paling menarik sekali adalah kawan saya itu adalah bukan Islam.”

Jangan Berkira-Kira Menderma

Sebelum sesi temuramah berakhir, Yaya Mohammad sempat berpesan kepada usahawan di luar sana supaya terus konsisten untuk menderma. Jangan terleka dengan duit yang banyak sehingga membuat kita menjadi lupa untuk menderma.

“Ada satu ketika bila saya stop menderma dan sayang nak menderma, perniagaan saya ditimba musibah. Musibah itu menyebabkan spa pertama saya terpaksa tutup. So selepas daripada itu saya rasa tak kisahlah walau apa pun berlaku, saya tetap kena menderma.” Luah Yaya Mohammad yang merasakan Allah sedang menegurnya ketika itu.

Musibah itu membuatkan dirinya bermuhasabah. Dengan rendah hatinya Yaya Mohammad mengakui mungkin waktu itu beliau sudah berkira-kira untuk menderma. Selepas daripada peristiwa yang menjentik kesedarannya itu, beliau mulai sedar jika ada musibah atau masalah yang menimpanya mesti ada kaitan dengan derma.

“Selepas daripada itu saya tahu kalau ada masalah dalam perniagaan mesti disebabkan saya tidak menderma.” Akui dirinya.

Semoga perkongsian dari Pengasas Moha Group ini memberi inspirasi kepada kita semua. Mendermalah disaat kita tidak punya apa-apa lagi supaya kita mampu untuk terus menderma disaat kita punya segala-galanya.

Pre-Order Buku Ohsemnya Sedekah

Kisah penuh kejayaan Yaya Mohammad dalam membangunkan empayarnya boleh anda baca di dalam buku Ohsemnya Sedekah. Buku ini menceritakan kisah jatuh bangun 6 orang usahawan berjaya di Malaysia. Yang paling penting adalah bagaimana konsep sedekah membantu mereka untuk berjaya. Jangan lupa untuk dapatkannya. Pre Order dibuka! Sebarang tempahan boleh terus menghubungi Azam di talian 011-18698269 atau klik https://www.wasap.my/601118698269

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.