VTM NGO Pertama Menganjurkan “Shopping Raya” Bersama Anak Yatim di Banda Aceh

Volunteering Trip Malaysia NGO Pertama Menganjurkan “Shopping Raya” Bersama Anak Yatim di Banda Aceh.

Alhamdulillah, pada 9, 10 dan 11 Jun 2017 yang lalu, Volunteering Trip Malaysia (VTM), badan NGO baru dibawah naungan MVM menganjurkan program pertamanya iaitu Kembara Amal Ramadhan VTM. Kembara Amal Ramadhan ini bertujuan untuk meraikan anak-anak yatim di bulan Ramadhan yang mulia dan membuat persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sambil mengenali budaya dan suasana Ramadhan di Banda Aceh.

Menurut sumber daripada wakil tour guide kami, program “Shopping Raya” seumpama ini tidak pernah lagi dianjurkan oleh mana-mana NGO di Banda Aceh. Ia merupakan pertama kali mereka melihat program “Shopping Raya” bersama anak-anak yatim ini diadakan di negara serambi Mekah tersebut.

Seramai 15 orang sukarelawan VTM telah menyertai kembara amal ini. Kembara Amal Ramadhan yang berkonsepkan melancong sambil beramal ini telah melawan ke beberapa destinasi pelancongan di Aceh. Antara destinasi yang dikunjungi adalah Gampong Nusa, Kuburan Masal, Kapal Tsunami PLTD Apung, Muzium Tsunami dan sekitar Banda Aceh. Para sukarelawan meraikan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Al Munawaroh, Lepung dan Anak Yatim Gampong Nusa.

Kami telah tiba di Banda Aceh seawal pukul 8.10 pagi waktu Aceh di mana kami telah dibawa untuk melawat tempat-tempat pelancongan dan kesan Tsunami sekitar Aceh pada hari pertama disana.

Kuburan Massal

Tempat pertama yang kami kunjungi di Aceh adalah Kuburan Massal. Kuburan Massal ini adalah kubur terbesar yang menempatkan lebih 46,000 mangsa tsunami. Kubur ini dibuat dengan satu liang lahad dan mempunyai 3 lapisan. Jika dilihat secara mata kasar, Kuburan Massal ini seolah-olah taman rekreasi awam, namun hakikatnya ia adalah sebuah kubur besar mangsa tragedi Tsunami.

Muzium Tsunami

Selepas itu, kami telah dibawa untuk merasai sendiri pengalaman dan suasana ketika Tsunami melanda Aceh pada tahun 2004. Muzium Tsunami Aceh telah direka oleh arkitek Indonesia, Ridwan Kamil. Muzium ini adalah berstuktur 4 tingkat. Dalam muzium tersebut, pengunjung akan masuk melalui koridor sempit gelap di antara kedua tembok tinggi air bertujuan untuk mencipta bunyi dan panik tsunami itu sendiri. Dinding muzium yang dihiasi dengan imej orang mempersembahkan tarian Saman iaitu simbolik khusus untuk kekuatan, disiplin dan kepercayaan agama rakyat Aceh.

Seramai hampir 200,000 penduduk Aceh telah terkorban akibat bencana alam Tsunami ini. Sebahagian nama-nama mereka telah diukir di dinding muzium tersebut sebagai tanda peringatan. Selain itu, terdapat juga barangan-barangan yang rosak akibat Tsunami dipamerkan disini serta sejarah dan video tragedi Tsunami.

Kapal Tsunami PLTD Apung

Kemudian, para sukarelawan VTM dibawa pula ke Muzium Kapal Tsunami PLTD Apung. Kapal ini berfungsi sebagai penjana kuasa elektrik dan menjadi salah satu tempat tarikan pelancong di Aceh. Mesin penjana kuasa ini mencapai kekuatan sehingga 10.5 Megawatt yang dahulunya digunakan di dalam kapal di pelabuhan Ulee Lheuh. Pada 26 Disember 2004, kapal ini terseret 5.0 km ke darat akibat gempa bumi dan gelombang tsunami setinggi 9 meter. Kini, kapal ini telah direnovasi menjadi muzium memperingati tragedi tsunami dan sudah dilengkapi 2 menara, sebuah monumen dan air pancut.

Rumah Keluarga Angkat, Homestay Gampong Nusa

 

Selama 3 hari 2 malam kami telah menginap di rumah keluarga angkat di Gampong Nusa, Aceh Besar. Ia terletak kira-kira 30 minit daripada Banda Aceh. Gampong Nusa adalah salah satu kampung di daerah Lhoknga yang menjadi sebuah kampung pelancongan. Ia menerapkan prinsip Ecotourism berasaskan masyarakat tempatan di mana penduduk kampung disitu menawarkan rumah mereka sebagai homestay. Mereka juga menjana ekonomi dengan mengadakan pakej-pakej pelancongan.

Syukur, penduduk Gampong Nusa telah menyambut kedatangan kami dengan mesra sekali. Sukarelawan VTM telah dibahagikan kepada beberapa rumah keluarga angkat tersendiri. Selain bilik penginapan, keluarga angkat ini juga menyediakan juada bersahur untuk para sukarelawan.

Kami juga telah berbuka puasa bersama-sama dengan wakil penduduk Gampong Nusa pada malam pertama. Pada malam kedua pula kami telah mengadakan iftar bersama anak-anak yatim di Gampong Nusa.

“Shopping Raya” bersama Anak-anak Yatim Pesantren Saadatul Al Munawaroh

Rumah Anak Yatim Al Munawaroh ditubuhkan oleh penduduk kampung bertempat di Gampong Layeun. Ia ditubuhkan sejak 2011 dan diasaskan oleh Tengku H. Muhammad Amin Mahmud dan seramai 60 orang anak yatim yang mendapat pendidikan disini. Anak-anak yatim ini tidak menetap disini kerana prasarana yang masih tidak mencukupi. Mereka hanya datang ke rumah ini untuk belajar agama. Majoriti mereka yang belajar disini adalah anak-anak yatim / piatu dan mereka yang kurang mampu akibat korban tsunami.

Selain itu, kelas-kelas agama untuk orang dewasa juga diadakan di rumah ini. Namun begitu, ruangan belajar dan kelengkapan belajar dirumah ini amat daif dan amat tidak mencukupi. Guru-guru agama yang mengajar disini adalah secara sukarela.

Pada hari kedua di Aceh, para sukarelawan telah membawa seramai 15 orang anak yatim untuk “Shopping Raya” di Pasar Aceh. Kami amat gembira sekali melihat gelagat mereka membeli-belah pakaian raya masing-masing. Alhamdulillah, sebanyak RM200 / seorang telah diperuntukkan untuk anak-anak ini “Shopping Raya”.

Terima kasih kepada anda yang telah memberi sumbangan ikhlas dan juga para sukarelawan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan Kembara Amal Ramadhan Volunteering Trip Malaysia ini.

Bina Masa Depan Bersama MVM

Kami amat bersungguh-sungguh dalam misi membangunkan komuniti yang terjejas. Kami mencari individu yang sangat komited seperti anda.

Sertai pasukan kami. Mohon sekarang!

Info Kemanusiaan Terus ke Inbox

Kemaskini terkini projek-projek MVM terus ke inbox emel anda. Banyak perancangan menarik menanti di hari-hari mendatang untuk komuniti MVM.

Usah terlepas peluang untuk bersama-sama kami! Isi maklumat dibawah sekarang.