Di Sebalik Pintu 4.0 – Tangisan Bahagia Puan Noor Huda
Program Di Sebalik Pintu 4.0 berlangsung dengan jayanya dengan melibatkan hampir 50 orang Volunteer MVM dalam misi mentransformasikan rumah keluarga penerima asnaf & miskin.
Program : Di Sebalik Pintu 4.0 – Selangor
Tarikh : 29 April 2017
Tempat : Puchong Utama, Selangor
Masa : 07:00 Am – 07.00 Pm
Penceramah Jemputan : Pencetus Ummah (PU) Izzat
Program Di Sebalik Pintu ini adalah sebuah program kebajikan anjuran Muslim Volunteer Malaysia (MVM) yang bertujuan untuk mengembalikan semula keceriaan di samping meringankan beban kepada keluarga susah yang dibantu.
MVM telah mengambil masa 2 bulan untuk mencari dan meneliti keluarga yang asnaf yang menepati kriteria yang ditetapkan untuk dibantu. Tujuan pencarian ini dijalankan agar MVM dapat membantu keluarga yang terpilih sesuai & layak untuk menjalani fasa-fasa yang telah dirangka sepanjang program Di Sebalik Pintu ini dijalankan.
Untuk Program Di Sebalik Pintu kali ini, penerima bantuan yang terpilih adalah keluarga Puan Noor Huda, 44 tahun yang menetap di sebuah rumah flat di Puchong.
Beliau kini seorang ibu tunggal setelah ditinggalkan oleh suaminya tanpa sebarang khabar berita semasa sedang berpantang anak yang ketiga. Beliau mempunyai 3 orang cahaya mata iaitu seorang perempuan dan dua lelaki. Anak-anaknya berusia 17 tahun (Emilia) , 15 tahun (Amirul) dan 11 tahun (Amizan). Kisah lanjut disini.
Program ini pertama kali dianjurkan pada tahun 2014 dan kali ini telah memasuki siri yang keempat betempatkan di negeri Selangor.
Seramai 50 volunteer telah terpilih dalam menjayakan program ini dimana mereka telah dibahagikan kepada beberapa “Skuad” iaitu Skuad Dekorasi, Skuad Mesra, dan Skuad Dobi. Program ini telah dijalankan seawal jam 07:00 pagi dengan pendaftaran #VolunteerMVM dan seterusnya diberi taklimat oleh ketua projek, Izzat Bazaie.
Skuad Dekorasi merupakan pasukan yang akan memfokuskan kepada mentransofrmasikan rumah Puan Noor Huda,
skuad Mesra pula akan membawa keluarga penerima bantuan ini bersiar-siar dan membeli barangan keperluan manakala skuad Dobi akan membawa pakaian-pakaian kepunyaan keluarga penerima bantuan ini untuk dibersihkan.
Setelah taklimat selesai, keluarga penerima dibawa oleh skuad Mesra untuk keluar bersiar-siar sementara menunggu proses transformasi rumah.
Skuad Mesra
Pada program kali ini, MVM telah membawa keluarga penerima bersiar-siar di Taman Botani Negara, Shah Alam. Mereka berpeluang untuk menikmati keindahan alam semulajadi dan melihat haiwan-haiwan peliharaan disana. Mereka juga mengambil peluang untuk merasai keseronokan menunggang kuda. Selain itu, mereka juga dibawa untuk melawat Rumah 4 Musim iaitu Musim Luruh, Salji, Panas dan bunga yang disediakan untuk pengunjung disana.
Selepas berkunjung Taman Botani Negara, keluarga Puan Noor Huda dibawa untuk membeli-belah barangan keperluan di Aeon Shah Alam. Kemudian, mereka dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Shah Alam untuk slot motivasi bersama PU Izzat. Alhamdulillah, keluarga Puan Noor Huda sangat gembira dan para sukarelawan juga telah memberi kerjasama yang sangat baik.
Skuad Dekorasi
Tranformasi rumah merupakan salah satu tugasan yang paling berat dalam program kali ini. Pelbagai perkara yang telah dilakukan untuk proses transformasi rumah ini, antaranya ialah mengecat, menyusun dan mencantikkan perabot, membaiki peralatan elektrik dan sebagainya. Istimewa kali ini, kami telah mendapat khidmat nasihat dan kerjasama daripada Team Deco-deco Bersama Zianee untuk proses “make over” rumah Puan Noor Huda.
Bermula pada awal pagi, #VolunteerMVM yang bertugas utk Skuad Dekorasi telah berkumpul di Puan Noor Huda dan mula mengeluarkan barang-barang lama dalam rumah berkenaan. Selepas itu, proses pertukangan, mengecat, membaiki paip dan susun atur perabot dijalankan. Proses dekorasi ini telah mengambil masa hampir 12 jam secara keseluruhannya.
Syukur alhamdulillah, program Di Sebalik Pintu 4.0 telah berjalan dengan jayanya. Tahniah kepada semua #VolunteerMVM yang telah bertungkus lumus dalam proses transformasi rumah penerima bantuan kali ini.
Terima kasih juga kepada Team Deco-deco Bersama Zianee, #VolunteerMVM dan semua yang terlibat secara langung dan tidak langsung dalam menjayakan program Di Sebalik Pintu kali ini.